Seruan Mengajak Dunia Melawat Malaysia Jadi Semangat Inbound Tourism Bootcamp Langkawi
3 min read
Para peserta Inbound Tourism Bootcamp (ITB) edisi pertama di Pulau Langkawi digesa untuk mengajak seluruh penduduk dunia untuk datang dan melawat Malaysia dalam usaha mempromosikan tarikan pelancongan di Malaysia ke persada global.
Program itu dilancarkan oleh Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) yang juga Champion Tourism Productivity Nexus, Uzaidi Udanis.
Seruan itu dilontarkan oleh Penceramah Program Isvaran Ramasamy dalam topik “Identifying Niche Inbound Tourism Product” pada sesi ke-2 program berkenaan yang diadakan di Hotel HIG, Langkawi. Beliau adalah seorang penceramah bertauliah untuk Malaysia yang banyak memberikan bimbingan berkaitan pelancongan berpandukan modul ASEAN.
Selain itu, dalam sesi beliau, beliau menyarankan betapa penting kerjasama di antara pemain industri pelancongan dalam mempromosikan industri pelancongan di negara ini.

Dalam satu aktiviti kumpulan beliau memberikan beberapa dek daun terup dan ia perlu disusun sama mengikut bentuk dan turutan nombor tetapi dengan syarat di antara sesama peserta tidak boleh bercakap untuk menyelesaikan tugasan supaya bersatu padu dan menjalankan tanggungjawab bersama.
“Jika ada kumpulan yang sudah selesai, tepuk tangan anda supaya saya tahu anda sudah berjaya menyiapkan tugasan,” katanya.
Tidak lama selepas itu, ada kumpulan yang bertepuk tangan bahawa mereka sudah selesai tugasan.


Bagaimanapun, Isvaran menyatakan bahawa kumpulan berkenaan tidak mengikut tugasan yang diberikan iaitu bersatu padu dan menjalankan kerja sebagai tanggungjawab bersama.
“Ini adalah buktinya, ada ejen pelancongan yang pada awalnya nampak mahu bekerjasama dan bersatu padu tetapi apabila mahu mencipta kejayaan mereka mahu berjaya secara sendiri-sendiri sahaja.
“Anda tidak mengikut apa amanah saya,” katanya.
Selepas agak lama akhirnya semua kumpulan peserta dapat menyiapkan tugasan dengan keputusan bersama, bersatu padu hasil mengambil tanggungjawab bersama.
Menurut Isvaran, sebagai penggiat industri pelancongan semua persatuan perlu menyelesaikan masalah secara bersama dan menyuarakan segala masalah kepada persatuan pelancongan yang mereka anggotai dan menyelesaikan isu menggunakan saluran yang betul.
Para penggiat industri seboleh-bolehnya tidak cuba untuk menyelesaikan sendiri kerana ia mungkin akan menyebabkan indusrti pelancongan terjejas seterusnya memberikan kesan negatif kepada pengusaha pelancongan sendiri.
Dalam program ITB ini, para penggiat industri dibimbing tentang memberikan ucap selamat menyambut pelancong cara Malaysia. Mereka juga akan dibimbing untuk merangka pakej pelancongan yang akan memberikan pulangan kepada mereka seterusnya menarik pelancong untuk datang ke negara ini.
Dengan kerjasama semua pihak daripada kerajaan, persatuan pelancongan, ejen pelancongan, pengendali kawasan pelancongan berjaya dilaksanakan, sasaran kehadiran pelancongan seramai 36 juta orang menjelang tahun 2020 berjaya dicapai dengan dan menjana ekonomi kira-kira RM168 bilion.
Menurut Isvaran, dengan gaya yang sopan serta menghargai pelancongan dengan ramah ikut acuan Malaysia, pelancong dari luar negara akan lebih ramai datang melawat dan menjadi tetamu kita serta mereka akan berulang kali datang ke Malaysia selepas itu.
ITB kali pertama ini diadakan bertujuan memberikan bimbingan kepada para ejen pelancongan di Pulau Langkawi dan Kedah untuk mewujudkan juara atau penggiat pelancongan yang mampu menarik pelancong untuk datang ke negeri Kedah seterusnya memberikan pulangan produktiviti pelancongan yang melonjak untuk Malaysia.


Program berkenaan dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang mengilhamkan platform Tourism Productivity Nexus sebagai pentas untuk melonjakkan produktiviti pelancongan di negara ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis yang juga Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA).
Program ITB akan diadakan selama 3 hari 2 malam bermula hari ini. Pada hari terakhir para peserta akan turut dibawa melawat lokasi-lokasi pelancongan terpilih yang ada di sekitar Pulau Langkawi.
#TourismProductivityNexus #ITBLangkawi #MPC #TravelLangkawi #Malaysia #TourismMalaysia