Anak Mr Os Dedikasikan Ijazah Perubatan Kepada Arwah Ayah
2 min read
Walaupun berjaya mendapat ijazah tapi ia ibarat tidak bermakna jika bapa yang amat disayangi sudah tidak ada di sisi. Begitulah perasaan anak kepada pelakon dan pelawak terkenal Mr Os apabila arwah bapanya tidak berkesempatan untuk melihat kejayaannya.
Anak Mr Os itu, Syafiqa Hayra bagaimanapun sebagai seorang yang tabah menganggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai pemangkin semangat untuk terus maju dalam bindang perubatan.
Syafiqa mendapat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Mansoura di Mesir. Memetik berita dari Harian Metro, Syafiqa memberitahu bahawa dia menghadiahkan kejayaan mendapatkan ijazah itu kepada Allahyarham ayahnya.

“Kejayaan ini saya dedikasikan kepada arwah ayah kerana banyak menyokong saya untuk menceburi bidang perubatan.
“Ijazah ini hadiah untuk arwah ayah. Alhamdulillah ijazah ini amat besar maknanya kepada saya dan terima kasih kepada arwah ayah serta keluarga yang sering memberi semangat untuk saya meneruskan cita-cita.
“Arwah selalu berpesan supaya saya menjadi seorang doktor yang akan berbakti kepada masyarakat dan berkhidmat kerana Allah.
“Banyak cabaran dan rintangan yang saya lalui sepanjang belajar di Mesir tetapi orang tua saya tidak pernah berputus asa memberi galakan.
“Saya sudah tetapkan pada diri, setiap pahala yang diperoleh akan disampaikan kepada ibu (Rahayu Muhamed Nadzir) dan arwah ayah,” katanya yang masih menunggu tempat untuk melaksanakan latihan perubatan (houseman).
Menceritakan kembali kisah ketika ayahnya masih hidup, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia sentiasa memberi nasihat kepada ayahnya untuk menjaga kesihatan terutama ketika menerima rawatan radioterapi.
“Saya banyak memberitahu ayah untuk menjaga makan. Nasib baik saya sempat menjaganya ketika dia bertarung dengan penyakit yang dialami.
“Namun, saya sedih kerana tidak sempat menemuinya sebelum dia meninggal. Saya mahu balik sebelum dia dikebumikan tetapi tidak sempat kerana tiada penerbangan ketika itu,” katanya sambil memberitahu sentiasa menziarahi kubur ayah setiap kali balik bercuti.
Mr Os meninggal pada 8 April 2016 di Hospital Selayang akibat kanser paru-paru.

Di laman media sosial Twitter, tweet Syafiqa menyatakan kejayaannya mendapat ijazah ini mendapat sambutan positif daripada pengguna Twitter lain dengan memberikan ucapan tahniah dan ucapan selamat di atas kejayaannya. Kini anak Allahyarham Mr Os sudah pun bergelar seorang doktor.
Sumber : Twitter Syafiqa Hayra