Malaysia Destinasi Sleep Medical Tourism Pertama Di Dunia
3 min read
Tahukah anda? Di Malaysia ada satu aktiviti yang menawarkan pengalaman yang berbeza sambil bercuti iaitu Sleep Medical Tourism iaitu sejenis pelancongan perubatan untuk penyakit Sleep Apnea. Penyakit Sleep Apnea ialah penyakit berkaitan masalah tidur.
Untuk pengetahuan anda, perkataan apnea bermaksud ‘tiada nafas’. Dalam penyakit Sleep Apnea ini, ada kategori iaitu Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang disebabkan oleh saluran pernafasan terhalang. Jika anda berdengkur kuat, anda berisiko tinggi menghidap penyakit berkaitan Sleep Apnea.
Penghidap OSA akan mengalami nafas terhenti antara 10 hingga 60 saat setiap kali, sehingga 400 kali setiap malam.
BACA : Ikan Patin dan Ikan Keli Bakar Di D’Kayangan Steamboat Grill
Penghidap OSA juga mungkin akan beberapa kali terjaga secara tidak sedar setiap malam akibat tidak dapat bernafas.
Mereka juga selalunya berada dalam keadaan separa sedar dan biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.
Oleh sebab ini lah satu pakej berkaitan Sleep Medical Tourism yang pertama di dunia diilhamkan oleh Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia Prof Dr Louis Adaikalam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Alpha International Training And Consultancy.
Di Amerika Syarikat, satu daripada lima kemalangan melibatkan kenderaan motor adalah disebabkan kelalaian kerana tertidur sekejap.
Menurut Dr Louis, penyakit Sleep Apnea boleh menyebabkan pelbagai kesan kesihatan yang negatif antaranya boleh menyebabkan Diabetis, tekanan darah tinggi, kemandulan, barah, obesiti, depresi, Dementia, penyakit strok, penyakit jantung dan sakit kepala.
Dalam maklumat yang dikumpulkan oleh beliau, masalah kekurangan tidur menyebabkan negara Jepun kerugian AS$138 bilion setahun iaitu kira-kira 2.9 peratus daripada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Jepun.
Di China pula, kira-kira 60 juta orang menderita akibat masalah kesihatan akibat tidur, memetik laporan Beijing News.
Oleh itu, beliau menawarkan perkhidmatan yang pertama di dunia untuk menyelesaikan masalah tidur dalam kalangan manusia memandangkan masalah itu adalah masalah yang begitu pantas berkembang dalam isu kesihatan. Rawatan berkaitan masalah tidur boleh meningkatkan tahap kesihatan dan jangka hayat manusia dengan lebih baik.
“Dengan Malaysia sudah sedia ada di dalam peta dunia tentang pelancongan kesihatan, Sleep Medical Tourism di Malaysia akan menjadi satu perkara besar seterusnya yang akan menarik perhatian dunia.
“Kami percaya, jika berjaya direalisasikan, Pulau Langkawi akan menjadi destinasi utama untuk Sleep Medical Tourism oleh ramai pelancong di dunia,” kata Dr Louis.

Beliau telah memeterai satu perkongsian pintar strategik bersama dengan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia untuk 10 tahun berturut-turut dalam program Sleep Medical Tourism ini.
“Di bawah perkongsian ini, Air Asia akan menjadi rakan kongsi pakej Sleep Medical Tourism di Malaysia,” kata Dr Louis.
Dalam pakej percutian kesihatan berkenaan, pelanggan akan berpeluang menjalani ujian penilain tidur, laporan tidur, penginapan selama tiga malam dan berpeluang melawat kawasan-kawasan tumpuan pelancongan di Malaysia.
Dalam majalah travel360 yang ada diletakkan di dalam pesawat Air Asia, ada artikel khas tentang masalah tidur yang ditulis oleh Dr Louis boleh dibaca oleh para penumpang pesawat Air Asia.
Dr Louis berkata, Sleep Apnea adalah masalah besar di negara ini.
Dalam satu artikel laporan Sinar Harian bertarikh 27 Disember tahun lepas, seorang bapa tidak menyangka percutian beliau dengan anaknya di Kampung Surau, Baling di Kedah adalah kali terakhir mereka bersama bercuti kerana kematian anaknya yang juga seorang anggota bomba.
Ismail Ahmad, 63, berkata anaknya Muhammad Asyraf, 21, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat, Bidor di Perak ditemui meninggal dunia oleh rakan serumahnya pada pukul 6.30 pagi.
Dengan program Sleep Medical Tourism yang pertama seumpamanya di dunia ini, diharapkan lebih ramai pelancong akan datang ke negara ini dan masalah tidur di negara ini akan berjaya diselesaikan dan lebih ramai orang akan menikmati tidur yang lebih lena.

Terdahulu, beliau hadir dalam program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Pulau Langkawi di Hotel HIG mempromosikan Sleep Medical Tourism sebagai satu tarikan pelancongan inbound untuk membawa pelancong dalam negara.