Inbound Tourism Bootcamp : Daerah Lahad Datu Sarat Dengan Tarikan Pelancongan ‘Adventure’
3 min read
Daerah Lahad Datu di Sabah akan menjadi tumpuan pelancong yang meminati pengalaman pelancongan penuh mencabar serta penuh dengan suasana indah alam semulajadi negeri Sabah. Ada banyak kawasan pelancongan di Sabah yang memerlukan pengangkutan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan berkenaan.
Bagi pelancong dari luar negara, kawasan pelancongan alam semulajadi yang amat popular di daerah Lahad Datu adalah kawasan yang dikenali dengan kekayaan flora dan fauna yang amat cantik iaitu kawasan perlindungan hutan simpan.
Paling popular ialah Lembah Danum yang dipanggil Syurga Alam kerana mempunyai kawasan alam semulajadi yang sangat menakjubkan. Ia merupakan kawasan pemuliharaan ekosistem yang kini menjadi tempat tinggal untuk hidupan liar antaranya Gajah Asia, Harimau Akar, Orang Utan dan Monyet Proboscis.
Lembah Danum ini terletak kira-kira 83 kilometer ke barat daya Lahad Datu dan diliputi kawasan hutan simpan seluas 440 kaki persegi. Hutan cantik yang terpencil ini dilindungi sepenuhnya supaya kawasan alam sekitarnya tidak terjejas dek kerakusan manusia.
Selain Lembah Danum, turut popular ialah Rizab Hidupan Liar Tabin yang diwartakan pada tahun 1984 di bawah Enakmen Hutan 1968 dan dikategorikan sebagai Hutan Simpan Kelas VII. Rizab ini berkeluasan 120,521 hektar dan merupakan kawasan dilindungi (Protected Area) yang paling besar di negeri Sabah.
Tidak kurang juga Menara Kayangan iaitu lokasi untuk penggemar hiking dan treking serta memanjat sebuah menara tinjau untuk melihat pemandangan indah gugusan pulau yang ada di kawasan laut di Lahad Datu, Sabah.


Daerah yang begitu indah di Sabah inilah yang dipilih menjadi lokasi seterusnya untuk edisi ketiga bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) selepas edisi pertama di Pulau Langkawi, Kedah dan edisi kedua di Kuantan, Pahang.
Kira-kira 40 wakil syarikat penggiat industri berkumpul di Hotel My Inn di Lahad Datu untuk bersama-sama mencari gaya baru serta cara baru untuk mempromosikan Lahad Datu khususnya serta negeri Sabah ke luar negara untuk bawa pelancong masuk ke Malaysia.



Selain jumlah kehadiran pelancong bertambah, mereka juga akan membawa masuk pendapatan untuk negara apabila mereka berbelanja di negara ini untuk melancong. Lahad Datu merupakan daerah di bawah kawasan Parlimen Silam yang diwakili oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Boleh dikatakan kebanyakan kawasan pelancongan di Lahad Datu yang akan dipromosikan mempunyai elemen cabaran atau adventure kerana untuk masuk ke sana kebanyakannya perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda.


Selain alam sekitar, Lahad Datu juga terkenal sebagai lokasi tumpuan makanan laut memandangkan lokasinya yang begitu dekat dengan pantai dan akses kepada makanan laut yang segar begitu mudah. Kalau makan beramai-ramai pun makanan laut, harga di Lahad Datu jauh lebih murah jika makan di Semenanjung Malaysia.
Program ITB dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) di bawah platform memacu produktiviti iaitu Tourism Productivity Nexus.
Program ITB Lahad Datu dirasmikan pembukaanya oleh Presiden MITA dan Champion Tourism Productivity Nexus Uzaidi Udanis.