September 26, 2023

Muzik Tradisi Masyarakat Lahad Datu Sambut Peserta ITB Sabah Dalam Sesi Lawatan

3 min read

Penduduk setempat di sekitar Lahad Datu, Sabah menyambut kehadiran para peserta Inbound Tourism Bootcamp (ITB) dengan wajah ceria serta persembahan seni tradisional dengan muzik dan tarian membuatkan ITB di Sabah antara yang paling meriah.

Prorgram bengkel pelancongan dalam Malaysia itu sudah diadakan sebanyak dua kali sebelum ini di Pulau Langkawi, Kedah dan Kuantan, Pahang. Seramai 40 wakil syarikat penggiat industri mengikuti program ITB pada kali ini yang diadakan di Pantai Timur Sabah.

ITB diadakan selama tiga hari dua malam bertempat di Hotel My Inn. Program berkenaan diadakan untuk para penggiat industri bersama-sama berbincang dan mencari elemen baru pelancongan di tempat ITB diadakan untuk dipromosikan kepada dunia mengajak pelancong dari luar negara untuk melancong ke Malaysia.

Pada hari terakhir di Lahad Datu, para peserta dibawa melawat sekitar Lahad Datu ke kawasan-kawasan pelancongan yang ada untuk melihat sendiri apa yang istimewa di daerah berkenaan yang disifatkan agak terpencil daripada daerah lain di Sabah.

Kunjungan pertama di Kampung Segangan dihiasi dengan keindahan muzik tradisional etnik Idahan di Lahad Datu serta tarian Mengiluk menyambut ketibaan peserta diketuai oleh Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) dan Champion platform Tourism Productivity Nexus Uzaidi Udanis.

Kampung itu terletak di tepi Sungai Segangan di dalam mukim Silabukan. Menurut sejarah daripada penduduk setempat, orang Idahan adalah etnik pertama di Asia memeluk agama Islam sebelum Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Pemandangan Sungai Segangan yang cantik dengan langit yang cerah di Kampung Segangan, Lahad Datu, Sabah.

Orang kampung Segangan tadi mempersembahkan tarian dengan muzik sambil memakai pakaian tradisional mereka sejak turun-temurun. Mereka merupakan etnik yang turut dikenali sebagai pemungut sarang burung di Gua Madai yang terletak di Kunak sebagai punca pendapatan mereka.

Suasana di sekitar kawasan Kampung Segangan begitu indah dengan pemandangan sungai berkenaan. Di Sungai Segangan juga dikatakan ada buaya dan sesekali buaya akan berenang melalui kawasan kampung berkenaan. Di kawasan kampung itu juga, dikatakan pengunjung boleh melihat monyet yang jarang ditemui iaitu Monyet Proboscis yang sesekali boleh dilihat berhampiran kampung berkenaan.

Turut ditunjukkan kepada pengunjung ialah sarang burung yang diambil dari Gua Madai yang dijual kepada penggemar sarang burung.

Sarang burung layang-layang yang diambil dari Gua Madai di Kunak, Sabah.

Selepas Kampung Segangan, para peserta dibawa ke pusat pelancongan Pulau Buta Agro Tourism Resort yang juga terkenal di Lahad Datu. Seperti kebiasaan, untuk masuk ke dalam kawasan berkenaan kenderaan perlu melalui jalan berbatu yang agak mencabar.

Suasana tenang dan nyaman Pusat Agro Tourism Pulau Buta yang terletak berhampiran dengan kawasan hutan paya bakau di Lahad Datu, Sabah. Di sini juga boleh sesekali melihat kehadiran Monyet Proboscis.

Para peserta disajikan dengan pemandangan yang cantik di Pulau Buta yang merupakan kawasan sungai kawasan hutan paya bakau yang cantik serta bersih. Turut boleh ditemui di kawasan berkenaan ialah monyet yang sama.

Di Pulau Buta, ia didiami oleh penduduk etnik Bajau Balangingi. Turut dipersembahkan kepada peserta ITB Lahad Datu ialah tarian tradisional mereka serta muzik kesenian mereka.

Suasana hari pertama dalam lawatan ke kawasan pelancongan begitu meriah kerana penduduk setempat di Lahad Datu begitu mesra dan begitu teruja menyambut kedatangan pelawat ke kampung mereka.

https://www.facebook.com/OriSepatahDua/videos/332843244011687/
Penulis bersama dengan penari Tarian Mengiluk dari masyarakat Idahan di Kampung Segangan, Lahad Datu, Sabah.

Selepas selesai, para peserta balik ke hotel dan berbincang berkenaan apa yang menarik serta mencari peluang baru untuk mempromosikan pelancongan di Lahad Datu dengan cara berbeza dari sebelum ini. Ia disasarkan untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke daerah berkenaan yang sudah terkenal dengan khazanah alam sekitar yang cantik.

Hasil daripada bengkel intensif tiga hari dua malam, para peserta berjaya menghasilkan kira-kira 10 pakej pelancongan berkualiti yang sudah bersedia untuk dipasarkan ke pasaran pelancongan dunia untuk bawa masuk pelancong dari luar negara.

Program ITB dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) di bawah platform memacu produktiviti iaitu Tourism Productivity Nexus.

#ITBLahadDatu #Sabah #TourismSabah #TravelSabah #PelanconganSabah #MITA #MPC #ThinkTourismActTourism #MemacuProduktivitiNegara #TourismProductivityNexus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *