September 24, 2023

ITB Lahad Datu Berjaya Hasilkan 10 Pakej Pelancongan Sedia Dipromosi Di Peringkat Global

3 min read
Sudah tersedia kira-kira 10 pakej pelancongan berkualiti tinggi dengan pengalaman istimewa untuk para pelancong luar negara yang berpendapatan tinggi "high-end" datang melawat daerah Lahad Datu dan negeri Sabah selepas Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Lahad Datu melabuhkan tirai 24 Februari lepas.

Sudah tersedia kira-kira 10 pakej pelancongan berkualiti tinggi dengan pengalaman istimewa untuk para pelancong luar negara yang berpendapatan tinggi “high-end” datang melawat daerah Lahad Datu dan negeri Sabah selepas Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Lahad Datu melabuhkan tirai 24 Februari lepas.

Persiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata kesemua pakej berkenaan dirangka oleh para penggiat industri pelancongan yang ada di Sabah dibimbing oleh pakar pelancongan bertauliah selama tiga hari dua malam.

Beliau berkata, sejak hari pertama program itu yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama MITA di bawah platform Produktiviti Pelancongan Nexus membimbing kira-kira 40 orang pemain aktif industri negeri di bawah bayu itu.

Para penggiat industri peserta ITB Lahad Datu bergambar bersama ADUN Tungku, Assafal P. Alian selepas selesai majlis penutup.

“Melalui aplikasi pelancongan digital “showaround”, ada beberapa orang peserta ITB di Sabah ini sudah pun memuatnaik pakej pelancongan mereka di peringkat global dan sudah sedia untuk dibeli oleh pelancong luar negara seterusnya datang ke Sabah.

“Pakej-pakej ini semua dibentuk semasa ITB di Lahad Datu dan ia adalah pakej yang mempunyai kualiti tersendiri, pengalaman unik dan ia adalah berbeza daripada pakej pelancongan biasa yang pernah dipromosikan sebelum ini,” kata Uzaidi yang juga merupakan Champion di bawah Produktiviti Pelancongan Nexus.

BACA : Malaysia Tersenarai 10 Negara Terbaik Untuk Persaraan

Lahad Datu ialah sebuah daerah yang kaya dengan tempat tumpuan pelancong yang cantik dari segi alam sekitar, flora dan fauna kerana di sinilah terletaknya Lembah Danum dan Rizab Hidupan Liar Tabin yang cukup popular di dunia untuk para pencinta alam sekitar.

Pada majlis penutup ITB Lahad Datu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku yang juga Pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Assafal P. Alian berkata, di daerah itu industri pelancongan kekurangan penggiat yang betul-betul aktif yang boleh menguruskan pelancong yang datang ke Lahad Datu.

Beliau berkata dalam ucapannya, kebanyakan pelancong diuruskan oleh ejen pelancongan luar negara dari negara asal pelancong dan wang sudah dibayar kepada pengusaha berkenaan di negara luar dan bukan kepada pengusaha di Lahad Datu.

Assafal berharap selepas ITB Lahad Datu, para penggiat industri di dearah berkenaan akan mengambil kesempatan melalui platform pemasaran digital yang mudah dan cepat untuk mempromosikan daerah Lahad Datu kepada pelancong di luar negara supaya datang dan menginap lebih lama di Lahad Datu.

“Biasanya, pelancong kalau datang ke Lahad Datu akan pergi ke Lembah Danum atau Tabin kemudian balik ke lapangan terbang dan berlepas pulang,” kata Assafal yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohammaddin Ketapi yang juga Ahli Parlimen Silam.

Jumlah 10 pakej dan ada pengusaha yang sudah mula mempromosikan pakej pelancongan mereka di aplikasi antarabangsa adalah bukti program bengkel ITB yang baru kali pertama diadakan di Malaysia berjaya mewujudkan penggiat yang lebih agresif serta peka teknologi serta yang bersedia di peringkat antarabangsa.

Bukan sahaja Lahad Datu, pakej pelancongan lain sudah mula dipasarkan di lokasi edisi terdahulu ITB sebelum ini iaitu di Pulau Langkawi, Kedah dan Kuantan, Pahang.

Program ITB diadakan di seluruh negara khusus untuk membimbing penggiat industri pelancongan mencari elemen serta cara baru untuk membuat promosi pelancongan di Malaysua supaya lebih ramai pelancong datang ke Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia tahun depan.

Malaysia meletakkan sasaran seramai 36 juta pelancong datang melawat Malaysia membawa pulangan ekonomi kira-kira RM168 bilion.

#ITBLahadDatu #Sabah #TourismSabah #TravelSabah #PelanconganSabah #MITA #MPC #ThinkTourismActTourism #MemacuProduktivitiNegara #TourismProductivityNexus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *