September 27, 2023

Jangan Sampai Cameron Highland Jadi Aset Susut Nilai Pelancongan

3 min read
Pusat peranginan Tanah Tinggi Cameron atau biasa dikenali sebagai Cameron Highland perlu dipelihara dan dijaga dengan lebih baik bimbang nanti khazanah bernilai negara ini akan berubah jadi satu aset yang susut nilai atau liabiliti kepada negara.

Pusat peranginan Tanah Tinggi Cameron atau biasa dikenali sebagai Cameron Highland perlu dipelihara dan dijaga dengan lebih baik bimbang nanti khazanah bernilai negara ini akan berubah jadi satu aset yang susut nilai atau liabiliti kepada negara.

Kalau diperhatikan, perkembangan pembangunan di kawasan tanah tinggi itu, nampak seakan-akan tidak terkawal dalam pertanian di Cameron Highland. Tempat penanaman sayur, tanaman bunga dan tanaman lain berkembang begitu pesat dan ia turut menyumbang kepada kesesakan yang kini merupakan masalah utama di pusat peranginan di negeri Pahang itu.

Saya pernah memandu untuk ke Ladang Teh Sungai Palas yang diuruskan oleh syarikat pengeluar teh terkemuka Boh dan sepanjang laluan yang sempit, tanaman sayur begitu banyak sehinggakan pekebun itu menanam sayur betul-betul di bahu jalan yang sempit.

Itu belum lagi perjalanan dari Ringlet ke Berinchang, kawasan sekeliling dipenuhi dengan kebun-kebun sayur dan bunga yang status sebenar mereka diragui sama ada benar-benar sah ataupun pusat penanaman yang haram.

Oleh itu, dalam satu program Pahang Tourism Trade Networking pada 26 Februari lepas di restoran House of Patin di ibu negara, Exco Pelancongan negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin memberi jaminan langkah memulihkan kembali keadaan asal Cameron Highland satu masa dulu akan dilaksanakan.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, Cameron Highland merupakan pusat pelancongan tanah tinggi dan juga pusat pertanian di atas tanah tinggi.

“Cameron Highland ini ada dua sebenarnya, satunya sebagai pertanian tanah tinggi dan kerana kita dapati di Cameron Highland ini pokok atau bunga dan sayuran sangat subur jadi Cameron Highland merupakan pusat pengeluaran pertanian dan sebagai pusat pelancongan di Malaysia.

Presiden MITA Uzaidi Udanis (kiri sekali) mendengar penjelasan dari Datuk Seri Mohd Sharkar dalam sidang media selepas program di House of Patin.

“In Sha Allah, kerajaan negeri akan dalam masa terdekat akan mengumumkan apa yang kita panggil inisiatif baru iaitu rancangan kita untuk pelan pembangunan Cameron Highland untuk 10 hingga 15 ke 20 tahun akan datang,” kata Mohd Sharkar.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) dan Champion Tourism Productivity Nexus, Uzaidi Udanis.

Beliau berkata, Cameron Highland nanti mungkin akan ada badan yang menjaganya kerana keadaan kawasan tersebut agak kronik dan memerlukan perhatian yang sepenuhnya.

Mohd Sharkar berkata kerajaan negeri pun tidak pernah menjangkakan Cameron Highland akan menjadi sebegitu rupa.

“Kita akan buat relocation, menempatkan semula tempat penanaman sayur dan bunga, kita hendak cantikkan kembali Cameron Highland seperti sebelum ini dan kita akan pastikan setiap aspek yang diperlukan oleh pelancong terutamanya dari segi jalan dapat kita selesaikan,” katanya.

Pada majlis itu, pelbagai pihak yang terlibat dalam industri pelancongan berkumpul di restoran berkenaan sama-sama melihat apa keistimewaan yang ada di Pahang khususnya masakan Ikan Patin Tempoyak yang amat popular di negeri itu.

Serentak dengan program berkenaan juga, Mohd Sharkar mengumumkan satu acara akan diadakan tidak lama lagi untuk menyambut ulangtahun ke-100 tahun pembukaan Bukit Fraser, sebuah lagi pusat peranginan tanah tinggi di negeri Pahang yang ada sejarah tersendiri.

Beliau memberikan jaminan bahawa Bukit Fraser tidak akan disentuh dari segi pembangunan dan kerajaan negeri mahu ia dikekalkan sebegitu rupa tanpa pembangunan pesat seperti hotel, pusat rekreasi atau taman tema. Bagaimanapun, Mohd Sharkar berkata beberapa kerja pembaikan akan dilakukan untuk membaik pulih infrastruktur di Bukit Fraser yang semakin dimamah usia.

Ikan Patin Masak Tempoyak dari House Of Patin, Kuala Lumpur

Pada majlis di House of Patin, para tetamu dijamu masakan Ikan Patin Tempoyak dan Ikan Patin Kukus serta makan durian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *