September 26, 2023

Jom!! Layan Ketenangan Dan Lihat Burung-Burung Cantik Di Mangala Resort and Spa

5 min read

Kawasannya luas, persekitaran amat tenang, suasana redup dan keadaan alam semulajadi di sini memang mencuit hati sesiapa yang datang ke resort yang mewah dan tenang ini. Tempatnya di Gambang, Kuantan ibu negeri Pahang Darul Makmur. Tidak jauh dari Plaza Tol Gambang anda boleh sampai ke Mangala Resort and Spa yang mewah dan amat menenangkan.

Jika sekali-sekala anda hendak merasai pengalaman menginap dekat resort yang tenang dan memang boleh disahkan akan sentiasa rasa nyaman dan redup, anda perlu menginap di Mangala Resort and Spa, Gambang yang pasti boleh memberikan pengalaman berkenaan kepada anda.

Pemandangan ruangan lobi Mangala Resort and Spa

Kalau anda minat tengok burung pakai teropong atau ada kamera canggih, resort ini juga cocok untuk anda kerana ia adalah rumah kepada lebih 100 spesis burung termasuk spesis burung yang berhijrah dan juga ada Burung Enggang atau dipanggil Hornbill.

Hanya Tanah Terbiar

Tapak Mangala Resort and Spa pada awal kelahirannya ialah sebidang tanah terbiar. Sejak tahun 1930 sehingga penghujung 1970, kawasan tanah itu adalah tempat perlombongan bijih timah kemudian menjadi tempat melombong pasir dari tahun 1970 hingga sekitar tahun 2000. Kebanyakan pasir yang diambil dari tapak resort pada masa itu dihantar ke Pelabuhan Kuantan.

BACA : Inbound Tourism Bootcamp Dedahkan Rahsia Tingkatkan Produktiviti Pelancongan

Lebih 80 peratus dari tapak Mangala Resort and Spa merupakan hanya tanah liat yang tidak kukuh dan tidak ada banyak tumbuh-tumbuhan di atasnya.

Hasil daripada perubahan drastik memulihkan tanah di kawasan itu lebih kurang 15 tahun, lahirlah Mangala Resort and Spa, resort lima bintang yang amat tenang dan ia dikategorikan antara Small Luxury Hotels Of The World setaraf dengan hotel-hotel terkenal seperti di Maldives.

Syurga Para Pemerhati Burung

Bagi Mangala Resort and Spa, antara pencapaian yang hebat dengan landskap alam semula jadi yang cantik ialah kehadiran lebih 100 spesis burung termasuk jenis burung yang berhijrah. Ada juga spesis burung yang jarang dapat dilihat di mana-mana tetapi boleh dilihat muncul di resort

Burung yang berhijrah ini hadir ke resort ini apabila mereka terbang menggunakan laluan burung Asia Timur hijrah dari tempat pembiakan mereka di Asia Utara dan kemudian berada di Mangala Resort and Spa di Gambang. Di sini banyak bekalan makanan, tempat berteduh serta keadaan cuaca yang stabil membuatkan mereka memilih resort yang memang penuh dengan benda best ini.

Jala Villa

Saya diberikan peluang menginap di Mangala Resort and Spa untuk berkongsi dengan anda bagaimana rasanya menginap di resort lima bintang yang penuh dengan keindahan ini. Jawapannya, tidak ternilai pengalaman menginap di sini jika dibandingkan dengan resort lain di tempat lain. Di Kuantan, masih tidak ada rasanya resort yang memberikan pengalaman ketenangan sebegini melainkan Mangala Resort and Spa.

“Weekend, tempahan bilik tak terlalu penuh di Mangala Resort and Spa, Apa tunggu lagi? nikmati ketenangan anda di sini pada hujung minggu!”

Harganya tidaklah terlalu mahal. Jika anda boeh membelanjakan wang sesekali menginap di Port Dickson di resort yang ada kolam renang peribadi, apa kata sesekali datang ke Mangala Resort and Spa. Bermula dari hanya RM600++ anda sudah boleh menikmati pengalaman yang memang menarik. Kolam renang di Mangala Resort and Spa juga luas dan selesa di mana sambil anda berenang, anda boleh melihat keindahan tasik yang luas di depan mata anda.

Jala Villa di Mangala Resort and Spa berkeluasna 50 meter persegi di atas kawasan tasik di resort ini.

Saya menginap di Jala Villa yang terletak di atas air, di atas tasik Mangala yang penuh ketenangan. Keluasannya ialah 50 meter persegi dengan katil saiz King serta hiasan dalaman yang amat cantik. Balkoni untuk melihat keindahan tasik juga luas dan ada disediakan dua kerusi dan meja untuk anda duduk rehat menikmati keindahan yang tersergam indah.

Bilik air Jala Villa juga cantik. Di dalamnya ada jacuzzi yang boleh dihidupkan dan menyediakan pengalaman berendam dalam tab berbuih untuk anda yang mana sudah pasti hanya sekali sekala sahaja boleh dirasakan.

Jika mandi dengan pancuran air pula, ia disediakan dengan pancuran air yang terletak di bawah pancaran matahari semula jadi. Anda boleh melihat langit dan awan ketika mandi dan ia memang membuatkan anda tenang.

Mangala Resort and Spa Sarat Aktiviti “Nature”

Dalam resort yang cantik ini, ia sarat dengan aktiviti berkaitan alam semulajadi yang semuanya percuma untuk anda gunakan dan rasai pengalaman di sini. Anda boleh berbasikal dalam kawasan resort seluas kira-kira 60 ekar. Anda boleh pergi ke kebun buah-buahan di Mangala Resort and Spa. Anda boleh berkayak dan bermain paddle boat di kawasan tasik yang luas.

Jika anda menginap di Jala Villa, anda boleh beri makan kepada ikan yang ada di dalam tasik di bawah Villa anda. Anda boleh berjalan kaki hiking di sekitar resort sampai ke kawasan ladang kelapa sawit. Anda boleh mandi di kolam renang yang digelarkan sebagai Infinity Pool yang turut disediakan Jacuzzi sekali di sana untuk anda bersantai.

Ambil perhatian, di Mangala anda tidak perlu memakai pakaian renang yang sesuai cukup sekadar menutup aurat. Anda boleh memakai t-shirt lengan panjang dan tudung kerana Mangala mengutamakan keselesaan para tetamu mereka ketika menginap di sini.

Rasa Air Kelapa Pandan Mangala Resort and Spa

Kalau anda berpeluang minum di Coffee House atau membuat pesanan ke bilik, pesanlah Air Kelapa Pandan Mangala Resort and Spa yang sedap. Air kelapa ini adalah hasil daripada buah kelapa pandan yang ditanam oleh pihak resort sendiri di dalam kawasan resort.

Ia memang sedap dan boleh dianggap sebagai tanda hati jika anda datang ke Mangala Resort and Spa, anda kena rasa Air Kelapa Pandan mereka.

Air Kelapa Pandan hasil dari buah kelapa yang ditanam sendiri di Mangala Resort and Spa, Gambang, Kuantan

Tidak seperti resort lain, ketenangan Mangala Resort and Spa masih lagi terselindung dan tidak diketahui ramai dengan harganya yang agak sederhana dan pengalamannya mampu dirasai oleh para pengunjung, datanglah ke Mangala Resort and Spa kerana pada waktu hujung minggu, masih ada Villa yang kosong untuk anda merasai pengalaman magic menginap di Mangala.

Bagi Mangala Resort and Spa, mereka amat mengalu-alukan kehadiran anda ke Mangala Resort and Spa kerana mereka ada 65 Villa menanti anda dan jika pada waktu hujung minggu, ada hanya sekitar 20 Villa sahaja yang ditempah.

Anda masih ada peluang untuk menginap di Mangala dan merasai sendiri ketenangan berada di sana.

Untuk urusan tempahan bilik dan maklumat lanjut, anda boleh rujuk laman web Mangala Resort and Spa di www.mangalaresortandspa.com dan hubungi mereka di talian +609-505 7788.

Dengan rendah hati dan jujur saya mengajak anda untuk sama-sama merasai pengalaman yang tenang dan mengujakan di Mangala Resort and Spa, Gambang, Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *