Kelantan Bakal Sohor, Dilawati Ramai Pelancong Kelas Dunia Tidak Berapa Lama Lagi
3 min read
Negeri Cik Siti Wan Kembang tidak berapa lama sahaja lagi akan muncul di pentas dunia sebagai kawasan tumpuan pelancongan hebat penuh dengan tarikan seni, budaya serta syurga makanan dunia sesuai dengan identiti negeri berkenaan selama ini.
Pada Rabu lepas, usai sudah siri ke-4 program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 di Kota Bharu, Kelantan mengumpulkan kira-kira 50 penggiat industri pelancongan di seluruh negeri berkenaan.
Program ITB adalah satu program berbentuk bengkel intensif untuk pengusaha pelancongan mengenalpasti masalah berkaitan industri pelancongan dan mencari cara yang lebih segar dan kreatif untuk mempromosikan negeri Kelantan kepada dunia supaya lebih ramai orang melancong ke Kelantan.
Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim dalam ucapan penutup ITB Kelantan berharap program seperti itu dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri itu serta merta dapat meningkatkan pendapatan untuk Kerajaan Negeri Kelantan.
“Saya berharap dengan bengkel seperti ini, semua boleh berkumpul bersama dan berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 1 peratus daripada sasaran RM80 bilion, satu peratus daripada RM80 bilion ialah RM800 juta, ia bukan kecil.

“Pendapatan kerajaan negeri Kelantan adalah di antara RM400 juta hingga RM500 juta setahun,jadi kalau para pengusaha berkumpul dan rancang betul-betul, dan boleh bawa masuk RM800 juta, pendapatan itu adalah melebihi daripada pendapatan yang biasa kerajaan negeri perolehi,” katanya.
Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan sasaran kehadiran 5.5 juta pelancong ke negeri itu melalui pintu masuk sempadan Thailand dan lapangan terbang sehingga hujung tahun ini.
Sementara itu Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) dan Champion Tourism Productivity Nexus (TPN), Uzaidi Udanis berkata pada masa kini, pihak yang membawa pelancong dalam jumlah yang besar bukan lagi ejen pelancongan yang tradisional tetapi ia datangnya dari platform digital antaranya seperti Trip Advisor, Trivago dan Booking.com.
“Adakah kita sebagai hotel, ejen yang mengamalkan cara biasa atau tradisional, kita biarkan dan kita tidak mahu dalam kelompok yang menggunakan platform digital berkenaan, amatlah rugi kalau kita tidak ada dalam kelompok berkenaan.

“Kita cuba dalam ITB ini, tukar minda kita bagaimana kita hendak ambil kesempatan untuk sama-sama bersaing dengan cara yang lebih baik,” katanya yang turut berucap pada majlis itu.
Selepas tiga hari dua malam bermastautin di Hotel Perdana di ibu negeri Kelantan, para peserta berjaya membentuk pakej-pakej pelancongan dengan pengalaman baru dan unik untuk dipromosikan ke persada dunia menggunakan aplikasi digital melalui gerbang internet.
Kawasan-kawasan tumpuan seperti Gelanggang Seni, Istana Jahar, Bank Kerapu, Pasar Siti Khadijah, Wakaf Che Yeh, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama dan masjid-masjid indah di sekitar negeri Kelantan akan dibanjiri para pelancong luar negara selepas pakej berkenaan dipasarkan tidak lama lagi.
Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri Syarifah Azwan Tuanku Syed Putra Jamalullail turut hadir sebagai peserta sepanjang program ITB Kelantan.
Pada hari terakhir program, para peserta dibawa melawat ke beberapa lokasi pelancongan di Kelantan antaranya Istana Jahar di Bandar Kota Bharu, kedai menjual batik Asni Boutique House dan Muzium Koleksi Permainan atau Collectibles Museum.
Muzium berkenaan adalah antara destinasi unik kerana ia merupakan sebuah muzium yang mempamerkan koleksi kereta Hot Wheels yang terbesar di Malaysia. Jumlah terkini kereta permainan koleksi Hot Wheels di muzium berkenaan ialah lebih 30,000 buah.
Program ITB dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama MITA di bawah platform TPN di bawah Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC).
Di dalam bengkel ITB, bimbingan dan tunjuk ajar diberikan oleh Jurulatih yang pakar dan berpengalaman dalam bidang pelancongan khususnya dalam pemasaran digital.
Jurulatih yang menjadi Penceramah sepanjang kursus ialah Isvaran Ramasamy dibantu oleh Pakar Pemasaran Pelancongan Ahmad Najib Ariffin dan Pakar Mereka Pakej Pelancongan Muzammil Mardzuki. Selama tiga hari dua malam, para peserta akan diberikan bimbingan secara dekat untuk membentuk pakej pelancongan sehingga lengkap termasuk pengiraan kos yang sepatutnya.
Beberapa tumpuan pelancongan di Kelantan khususnya makanan sudah pun dilawati oleh ikon Youtube dan blogger terkenal Mark Wiens yang mencuba Nasi Kerabu, takkanlah Kelantan tidak boleh jadi terkenal di mata dunia tidak lama lagi.
Mereka juga diberi tunjuk ajar rahsia tentang pemasaran pelancongan bagaimana untuk mempromosikan kawasan tumpuan pelancongan di sesebuah negeri menggunakan platform digital berkenaan.
Selepas Kota Bharu, Kelantan, program bengkel ITB seterusnya akan diadakan di Johor Bahru pada 8 hingga 10 April depan.
