Masak, Makan Atas Serambi Di Homestay Kampung Ayer Limau
3 min read
Kalau makanan dimasak sendiri biasanya dan makan beramai-ramai, sudah tentu ia akan berasa sedap tambahan lagi makan sama-sama dengan rakan atau keluarga. Bayangkan pulak anda makan di atas serambi pula tu. Ditiup angin sepoi-sepoi bahasa pula tu.
Pengalaman itu anda boleh nikmati dan rasa di Homestay Kampung Ayer Limau di Masjid Tanah, Melaka. Masak menu masakan tradisi, kemudian makan beramai-ramai sambil berborak dan gelak ketawa. Hubungan anda dengan orang tersayang akan menjadi semakin rapat.
Baru-baru ini, saya datang ke homestay berkenaan lagi atas jemputan Presiden Persatuan Homestay dan Kampungstay Malaysia yang juga Pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau Zohaime Muhamad Sori untuk sama-sama menikmati masakan kampung yang disediakan oleh Pengusaha Katering di kampung berkenaan Norhashikin Ali. Jangan salah sangka, tukang masak yang terkenal ini sebenarnya lelaki dan amat segak.
Masakan Norhashikin sudah pun dikenali seluruh negeri Melaka dengan sedap dan perkhidmatan yang efisien dalam penyediaan makanan untuk majlis-majlis.
Beliau memasak Rendang Itik, Kari Kambing dan Sayur Tauge serta Ikan Belanak Masin dan sambal belacan yang sedap.



Masak-memasak bermula kira-kira pukul 10 pagi dan selesai kira-kira dua jam kemudiannya. Bukan senang hendak masak Rendang Itik. Ia perlu dimasak sehingga Daging Itik berkenaan lembut dan mudah dimakan.
Kebetulan pada hari berkenaan 12 Mac, Naib Presiden Kebudayaan dan Kesenian Persatuan Homestay dan Kampungstay Malaysia Dr Ruzaif Daud datang ke Kampung Ayer Limau bersama model-model jelita dan rakan beliau iaitu Duta produk kamera Canon bergambar di rumah tradisional Melaka yang sangat cantik di kampung itu.

Rumah berkenaan memang kemas dan teliti seni binanya. Ia dibina dari kayu dan amat sesuai jika anda hendak jadikan rumah ini sebagai tempat bergambar sempena perkahwinan atau saat-saat bermakna dalam hidup anda.
Selepas selesai masak-memasak, masakan dihidangkan di dalam pinggan mangkuk yang antik yang memang susah kalau nak dicari dan dibeli masa sekarang ini.




Sesudah makan, Zohaime dan para tetamu bertukar persalinan memakai busana lelaki Melayu dan bergambar di rumah tradisional Melaka itu bersama model dan jurugambar dari Canon berkenaan.
Sudah pasti gambar yang dirakamkan amat cantik dengan binaan rumah yang memang indah.






Itu antara pengalaman unik yang jarang ada di mana-mana dalam Malaysia, anda boleh rasa pengalaman memasak di rumah yang cantik di kampung di Melaka kemudian makan beramai-ramai di atas serambi. Saya rasa itu adalah pengalaman yang menarik tambahan pula kalau makan beramai-ramai dan bersembang hal keluarga.

Oleh itu, nanti hubungilah Encik Zohaime di talian +6019-275 3707 untuk menempah tempat anda di Homestay Kampung Ayer Limau yang memang unik serta amat menghargai nilai-nilai tradisi budaya Melayu.
Homestay itu pun tidak jauh dari ibu negara Kuala Lumpur, jadi tak jauh bagi anda warga kota yang mahu datang ke sini untuk merasai pengalaman unik di Kampung Ayer Limau.