March 23, 2023

Jurulatih ITB Berharap Jiwa Peserta Bengkel Akan Bersatu Dengan Industri Pelancongan

4 min read
Program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 mempunyai sasaran untuk mentransformasikan dunia pelancongan di Malaysia kepada industri yang lebih dekat dengan rakyat dengan produk pelancongan lebih inovatif tidak seperti produk sebelum ini yang semakin kurang nilai mengikut masa.

Program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 mempunyai sasaran untuk mentransformasikan dunia pelancongan di Malaysia kepada industri yang lebih dekat dengan rakyat dengan produk pelancongan lebih inovatif tidak seperti produk sebelum ini yang semakin kurang nilai mengikut masa.

Bengkel intensif ITB kini sudah masuk kali kelima dan ia diadakan di Johor Bahru. Ia adalah sebahagian daripada 12 program ITB yang sudah dijadualkan di seluruh negara di atas platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN).

Bertempat di KSL Hotel & Resort, selama tiga hari tiga orang jurulatih berpengalaman dalam bidang pelancongan akan membimbing kira-kira 50 orang usahawa pelancongan dari Johor dalam usaha mencapai sasaran program berkenaan.

ITB dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA). Johor adalah negeri yang menyertai Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC) yang dibentuk. Empat buah negeri ini sudah bersetuju dengan ECTC untuk bekerjasama meningkatkan produktiviti pelancongan.

Bagi Penceramah Utama ITB, Isvaran Ramasamy, dalam setiap sesi beliau dalam kursus berkenaan beliau berharap dapat mengubah corak dunia pelancongan supaya industri pelancongan sebati dengan rakyat seterusnya memberikan manfaat kepada mereka.

“Apa yang saya harapkan sebenarnya ialah satu transformasi pelancongan di negara ini di mana sebelum ini kerajaan telah pun ada Pelan Transformasi Pelancongan untuk menganjakkan lagi pembangunan industri pelancongan tiga kali ganda.

“Kerajaan telah membuat pelbagai usaha untuk memperkenalkan produk pelancongan Malaysia sebagai mampu milik dan pada masa sama mewah serta ada pelancongan semulajadi dengan cabaran. Di samping itu, perkenalkan Malaysia sebagai negara penuh budaya dan seni kraftangan dan pelbagai aspek tarikan pelancongan yang lain,” kata Isvaran.

Isvaran berbaju kot memberikan bimbingan tentang industri pelancongan kepada peserta ITB Johor di Johor Bahru.

Bagaimanapun, menurut beliau sekiranya tidak berlaku transformasi sikap apa sahaja usaha kerajaan tidak berguna dan akan menjadi sia-sia begitu sahaja.

“Kerajaan sudah ada perancangan yang terbaik jadi sebagai rakyat apa yang kita perlu buat? Itulah yang saya harapkan sepanjang kursus ITB supaya kita boleh mentransformasikan masyarakat Malaysia menjadi sebati dengan pelancongan, iaitu pelancongan jadi nyawa masyarakat, dan masyarakat adalah nyawa pelancongan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih ITB untuk tahun ini yang pakar dalam bidang pemasaran produk pelancongan secara digital, Ahmad Najib Ariffin berkata beliau hendak semua peserta memahami apa keperluan, kehendak dan harapan yang dijangkakan oleh pelancong yang datang ke Malaysia.

“Kita kena pastikan semua peserta dan semua orang dalam industri pelancongan negara memahami bagaimana hendak membuat tarikan, membuat pakej, membuat harga yang sesuai dengan citarasa dan kehendak para pelancong.

Ahmad Najib Ariffin ketika menyampaikan ceramahnya di bengkel ITB Johor.

“Cara saya, saya banyak membuat cara intensif biar mereka berfikir sendiri. Saya kalau bagi ceramah, saya tidak akan duduk diam di depan, saya akan pergi ke meja, kerusi ke kerusi, orang ke orang dan saya akan minta mereka berinteraksi, bertanya soalan biar mereka fikir sekali sebab kalau tidak nanti ada yang mengantuk.

“Dengan cara saya mereka semua akan terpaksa berfikir jadi mereka cergas dan mereka aktif otak mereka berputar, sama-sama berfikir, sama-sama belajar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata beliau suka membawa sesi itu dengan membawa sesi bercerita memetik kenangan peribadi mereka dalam bidang pelancongan suasana bengkel pelancongan ke dalam Malaysia itu tidak akan menjadi bosan.

Jurulatih seterusnya iaitu pakar dalam membentuk pakej pelancongan, Muzammil Mardzuki pula menyifatkan betapa pentingnya rakyat Malaysia kini berfikir sebagai penggiat pelancongan kerana ada orang yang tidak sedar, tarikan pelancong yang begitu bernilai ada berdekatan sahaja dengan mereka padahal mereka terlepas pandang.

Beliau dalam bidang pelancongan merupakan pakar dalam menganjurkan lawatan melancong secara pengalaman khusus dalam kumpulan kecil atau dikenali sebagai “Experience Host”.

Menurutnya, Experience Host ini masih baru tetapi sebenarnya untuk para penggiat industri konsep itu sebenarnya sudah ada dalam jiwa mereka cuma mereka tidak sedar.

“Tugas kita ialah untuk membangkitkan satu pendekatan iaitu merakyatkan pelancongan, ibaratnya saya sebagai seorang tempatan saya hendak meraikan pelancong saya patut berbangga dengan apa yang saya ada.

“Jangan memandang pakej pelancongan berkenaan semata-mata untuk tujuan perniagaan kerana kita tidak akan dapat menghasilkan pakej yang begitu menarik dan ikhlas menawarkan pengalaman yang unik.

“Tugas kami dalam ITB dari segi pendekatan digital ialah kita memberitahu bahawa apa yang kita ada adalah sesuatu yang boleh dikongsi, boleh melahirkan sesuatu yang indah yang boleh menaikkan nama tempat di mana produk berkenaan,” kata Muzammil.

Muzammil Mardzuki (belakang) bergambar bersama Ahmad Najib (kanan) dan Isvaran (tengah) bersama seorang peserta ITB Johor dari Lahad Datu, Sabah.

Bukan semua orang boleh mengajak para pelancong untuk sama-sama menangkap ketam, memancing secara fly-fishing dan banyak lagi pengalaman unik yang lain, ini lah yang boleh dikongsikan kepada dunia untuk mengajak pelancong untuk datang ke Malaysia.

Dalam kursus ITB ini selama tiga hari, para penggiat industri yang jadi peserta akan diberi tunjuk ajar membentuk pakej termasuk dengan penentuan harga sebelum pakej yang sudah siap untuk dipromosikan akan dimuatnaik melalui aplikasi perkongsian pakej pelancongan yang banyak sekarang ini di internet.

Dalam ITB, para peserta akan dibimbing untuk mendaftar dengan laman web Tourplus.my dan juga showaround.com yang begitu popular sekarang untuk orang persendirian yang boleh menawarkan pengalaman menarik mempromosikan produk pelancongan secara terus kepada pelancong tanpa perlu melalui ejen pelancongan.

Setakat ini, ITB sudah diadakan di lima negeri iaitu Langkawi, Kedah; Kuantan, Pahang; Lahad Datu, Sabah; Kota Bharu, Kelantan dan Johor Bahru, Johor. Selepas ini, bermula dari 23 hingga 25 April, ia akan diadakan di Kuala Terengganu pula.

#ITBJohor #AyuhJohor #LuaskanKuasamu #MITA #MPC #TourismProductivityNexus #TravelJohor #Malaysia #MemacuProduktivitiNegara #Pelancongan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *