October 3, 2023

ITB Johor : Industri Pelancongan Johor Bakal Rancak Serancak Irama Muzik Tarian Zapin

3 min read
Suasana dunia pelancongan di Johor akan lebih rancak sama rancak dengan rentak irama Zapin iaitu irama tradisional negeri itu sejurus bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 Johor melabuhkan tirainya Rabu lepas di KSL Hotel & Resort, Johor Bahru.

Suasana dunia pelancongan di Johor akan lebih rancak sama rancak dengan rentak irama Zapin iaitu irama tradisional negeri itu sejurus bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 Johor melabuhkan tirainya hari ini di KSL Hotel & Resort, Johor Bahru.

Seramai lebih kurang 50 orang peserta terdiri daripada syarikat ejen pelancongan, pengendali produk pelancongan dan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan selama tiga hari di hotel berkenaan. Mereka berkumpul untuk mengenalpasti masalah yang membelenggu peningkatan produktiviti pelancongan seterusnya membentuk pakej yang berkualiti untuk para pelancong datang dan melawat negeri selatan tanah air itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor Liow Cai Tung berkata beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta ITB Johor yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan mengambil manfaat untuk memperbaiki ruang-ruang yang ada untuk memantapkan lagi prestasi masing-masing.

“ITB Johor yang merupakan siri ke-5 dari 12 siri ITB diadakan bertujuan untuk memberi bimbingan kepada para ejen pelancongan di negeri Johor untuk memupuk juara atau penggiat pelancongan yang mampu menarik pelancong untuk datang ke negeri Johor dan seterusnya memberikan pulangan produktiviti pelancongan yang melonjak untuk Malaysia,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Tourism Johor, Zihan Ismail.

Pengarah Tourism Johor, Zihan Ismail ketika berucap menyempurnakan majlis penutup ITB Johor.

Bengkel ITB di Johor berbeza dari semua empat siri ITB sebelum ini kerana bermula hari ke-2 bengkel, ia ditutup dengan para peserta dan jurulatih sama-sama menari Zapin diiringi muzik Zapin yang sememangnya popular di Johor.

Persembahan tarian itu membangkitkan semangat para peserta untuk memupuk sifat ingin maju dalam diri mereka dalam industri pelancongan bersama matlamat membawa lebih ramai pelancong datang ke Johor dari luar negara. Pelancong yang akan dibawa ialah pelancong yang akan berbelanja besar dan tinggal lama di Johor.

Zihan dalam ucapannya juga berkata pada September ini dijangka puluhan ribu penunggang motosikal akan membanjiri pantai Desaru pada bulan September nanti untuk Desaru International Bike Week 2019 secara besar-besaran menghimpunkan bukan sahaja penunggang motorsikal berkuasa tinggi tetapi penunggang motosikal berkuasa rendah seperti Kapcai berkumpul memperagakan jentera masing-masing.

Menurut beliau, para peserta ITB Johor perlu bersedia untuk memastikan pantai Desaru mempunyai penginapan yang cukup untuk menampung para penunggang dan pengunjung yang datang bermula 13 hingga 16 September nanti.

“Desaru International Bike Week ini saya difahamkan bukan sahaja untuk motor-motor besar seperti jenis Harley (Davidson) sahaja, tetapi sampai ke motor Kapcai dan kemungkinan konvoi penunggang motosikal itu akan menjadi sepanjang 10 kilometer.

“Bukan sahaja produk penginapan tetapi produk makanan pun kena bersedia untuk menerima tetamu yang ramai,” katanya.

Selepas selesai bengkel ITB selama tiga hari itu, para penggiat industri yang turut serta sudah bersedia dan berjaya membentuk banyak pakej percutian yang unik dengan pengalaman amat berbeza yang menyentuh terus dengan budaya serta cara hidup masyarakat tempatan di Johor.

Tidak ada lagi pakej yang biasa seperti hanya melawat tempat bersejarah dan hanya singgah tempat-tempat jualan tetapi lebih kepada memberitahu kepada dunia apakah keistimewaan negeri Johor yang ada untuk dikongsikan dengan seluruh dunia. ITB Johor dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA).

Presiden MITA dan Champion atau Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis berkata ada pihak yang pernah mengatakan bahawa di negeri Johor tidak ada apa-apa produk pelancongan yang menarik sehingga ada syarikat penerbangan menukar saiz pesawat yang terbang ke Johor daripada saiz yang besar kepada saiz yang lebih kecil.

Bagaimanapun, menurut beliau apa yang diperkatakan tentang negeri Johor adalah silap sama sekali.

“Apabila saya hadiri program ini, program tiga hari ini (ITB Johor), saya dengar pembentangan, saya bincang, berbual dengan rakan-rakan kita di sini, saya rasa banyak produk pelancongan yang patut kita ketengahkan, saya negeri Johor ini antara negeri yang paling banyak produk-produk pelancongan yang patut kita promosikan.

“Saya tidak faham, kenapa ia tidak dipromosikan? saya berharap dengan adanya penggiat-penggiat industri di sini kita bersama-sama bergabung untuk kita promosikan. Kita jangan harap, katakan saya ada produk kenapa kerajaan tak tolong, saya ada produk kenapa Tourism Malaysia tak tolong, forget about it, it is our business we have to help ourselves,” kata Uzaidi.

Presiden MITA dan Champion Nexus Produktiviti Pelancongan, Uzaidi Udanis

Pada majlis penutup itu, Zihan turut menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta ITB Johor dan beliau turut menari lagu Zapin yang dimainkan semasa majlis penutup sebagai simbolik melabuhkan tirai ITB Johor dengan jayanya.

Program ITB Johor merupakan sebahagian acara untuk inisiatif Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC). ECTC terdiri dari empat buah negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Program ITB akan bersambung pada 23 April ini di Kuala Terengganu, Terengganu selama tiga hari.

#ITBJohor #AyuhJohor #LuaskanKuasamu #MITA #MPC #TourismProductivityNexus #TravelJohor #Malaysia #MemacuProduktivitiNegara #Pelancongan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *