Negeri Terengganu Lokasi Separuh Jelajah 12 Program Inbound Tourism Bootcamp Seluruh Negara
3 min read
Jelajah program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 kini sudah memasuki separuh jalan apabila ia singgah di Kuala Terengganu, di Terengganu untuk edisi ke-6 daripada keseluruhan 12 edisi ITB di seluruh Malaysia.
Program bengkel menyeluruh meningkatkan produktiviti industri pelancongan itu bermula di Pulau Langkawi, Kedah kemudian singgah di Kuantan, Pahang seterusnya ke Lahad Datu, Sabah. Bengkel diteruskan pula di Kota Bharu, Kelantan, Johor Bahru, Johor sebelum sampai di negeri Sang Penyu, Terengganu Darul Iman.
ITB dijayakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah inisiatif Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA). Di negeri Terengganu, program ITB merupakan sebahagian daripada program di bawah Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC) yang membabitkan empat buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.
MARI BACA JUGA : ITB Johor : Industri Pelancongan Johor Bakal Rancak Serancak Irama Muzik Tarian Zapin

Program ITB memilih penggiat industri pelancongan yang berpotensi mampu meningkatkan produktiviti pelancongan selama tiga hari dan diberikan tunjuk ajar secara komprehensif untuk mempromosikan pelancongan di negeri mereka dengan lebih giat dan agresif lagi. Ia diadakan untuk memantapkan lagi industri pelancongan negara selain bersedia untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020, tahun depan.
Menurut MPC, produktiviti pelancongan di negara ini adalah rendah dan pencapaiannya adalah rendah di bawah Tahap Purata Produktiviti Kebangsaan dan sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan produktiviti dalam industri berkenaan.
Negeri Terengganu Darul Iman memiliki banyak tempat yang jadi perhatian para pelancong dalam negara dan luar negara serta kecantikannya sudah berada pada kelas dunia. Lokasi seperti Tasik Kenyir sudah terkenal di peringkat antarabangsa dan menjadi persinggahan ramai pelancong yang menggemari tarikan pelancongan alam semulajadi dan yang paling penting menjadi kawasan tumpuan pemancing.
Selain itu, di Kemaman ada satu pantai yang sudah terkenal lama di Terengganu sebagai satu pantai yang memiliki pemandangan yang cantik dengan air lautnya yang jernih iaitu Pantai Kemasik yang terletak di Chukai. Kerajaan Negeri Terengganu berjaya mengambil langkah konsisten untuk memastikan pantai berkenaan sentiasa bersih dan bebas dari sebarang pencemaran yang akan menjejaskan pantai berkenaan.


Pada bengkel ini, para pengusaha pelancongan dan penggiat indutsri akan secara dekat diberikan bimbingan oleh para jurulatih yang profesional dan berpengalaman dalam bidang pelancongan untuk mendedahkan masalah yang menjadikan industri pelancongan di negara ini terjejas dan cuba mengatasinya.
Kemudian, mereka akan diberikan bimbingan berdasarkan produk pelancongan yang mereka ada untuk menghasilkan pakej lengkap percutian yang menawarkan pengalaman unik tentang negeri Terengganu untuk dipromosikan di peringkat antarabangsa. Bengkel ini melatih para penggiat industri untuk tidak lagi bergantung kepada syarikat ejen pelancongan untuk mendapatkan pelanggan tetapi mereka boleh mempromosikan terus produk mereka kepada pelancong.
Para penggiat pelancongan boleh terus berurusan dengan para pelancong untuk mendapatkan pelanggan, dibayar terus dan menerima kehadiran pelancong dan meraikan kedatangan mereka dengan pakej bertaraf dunia.
Malaysia meletakkan sasaran kehadiran 36 juta pelancong dari luar negara ke negara ini dan sasaran menjana pendapatan ekonomi sebanyak AS$40.8 bilion Dolar Amerika Syarikat (RM168 bilion) pada tahun depan.
Memetik laporan Sinar Harian Online, negeri Terengganu mensasarkan kehadiran 5 juta pelancong pada tahun depan. Akhbar itu memetik kenyataan dari Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman. Pada tahun 2018, seramai 4.79 juta pelancong datang ke negeri itu.
“Berdasarkan pencapaian itu, kita merasakan sasaran untuk mencapai 5 juta pelancong masih lagi relevan.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menjalankan aktiviti promosi seperti pengiklanan di enam lapangan terbang di Semenanjung Malaysia, bekerjasama dengan radio dan menggalakkan penggambaran perfileman.
“Kita juga bekerjasama dengan perantau dan pelantikan Mat Dan sebagai ikon pelancongan Terengganu,” katanya dipetik Sinar Harian Online.
Penganjuran ITB di Kedah, Pahang, Sabah, Kelantan dan Johor sudah pun berjaya mewujudkan banyak pakej percutian yang sudah pun dipasarkan ke luar negara.
Di Kuantan, Pahang sudah ada tarikan melihat buaya liar dalam kawasan bandar Kuantan dan di Lahad Datu, Sabah sudah ada tarikan penyelam skuba iaitu dua Blue Hole yang menjadi tarikan utama penyelam di seluruh dunia. Begitu juga di Kelantan, Pahang dan Johor, para penggiat industri sudah ada pakej percutian yang tersedia dengan pengalaman unik.