Nasi Dagang Din Cerita Sukses ITB Terengganu
2 min read
Nama diberi Mohamad Mahyudin Hasan dan beliau merupakan seorang peniaga Nasi Dagang dengan jenama sendiri iaitu Nasi Dagang Din. Beliau merupakan antara peserta yang berjaya dalam bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 Terengganu yang diadakan pada 23 hingga 25 April lepas.
Beliau merupakan seorang pengusaha perniagaan makanan yang membuktikan bahawa seseorang itu tidak perlu pandai memasak untuk memulakan sebuah perniagaan kedai makan tetapi hanya perlukan kesungguhan untuk menguasai ilmu prosedur gerak kerja standard (SOP).
Menurut beliau, pada mulanya beliau merupakan seorang yang tidak minat memasak tetapi apabila menceburi bidang perniagaan makanan dengan sebuah rangkaian kedai kopitiam terkemuka, beliau baru mendapat tahu SOP membolehkan seseorang itu membuka sebuah perniagaan Nasi Dagang.
Selepas jatuh bangun beberapa kali, kini beliau mengusahakan Nasi Dagang di Medan Selera MBKT di tepi Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu.
Pada hari kedua ITB Terengganu, Mohamad Mahyudin membawakan Nasi Dagang masakannya untuk diperkenalkan kepada sekratariat dan peserta bengkel.


Kini, Mohamad Mahyudin sudah berjaya mendapatkan tempahan secara tetap harian dengan pemilik Homestay Pantai Pandak Chendering Juliana Hassan untuk membekalkan Nasi Dagang sebagai hidangan sarapan tetamu homestay beliau.
Program ITB adalah anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) dibawah inisiatif Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN). Program di Terengganu merupakan satu antara program di bawah Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC).
Menurut Presiden MITA dan Champion TPN, Uzaidi Udanis negeri Terengganu adalah antara negeri yang terbaik untuk pelancongan kerana ada pelbagai tarikan di seluruh negeri Terengganu yang boleh dipromosikan sebagai destinasi percutian dunia.
Beliau berkata negeri Terengganu amat popular dengan destinasi pulau-pulaunya yang cantik seperti Pulau Perhentian dan Pulau Kapas yang menjadi tarikan pelancong serata dunia.
“Di Kuala Terengganu ini sahaja ada tempat makanan, tempat kraftangan, semuanya ada di sini di kawasan ini (Kuala Terengganu) dekat dengan kita.
“Tapi bagaimana kita hendak dapatkan manfaat itu? Adakah kita hanya bergantung pada pulau sahaja. Adakah kita bercuti bulan 10 sehingga bukan 1, adakah kita cuti? Adakah kita bergantung pada aset pulau sahaja?” kata Uzaidi ketika memberikan ucapan ringkas kepada peserta ITB Terengganu.
Pulau-pulau di Terengganu pada bulan Oktober hingga bulan Februari biasanya ditutup kepada pengunjung ekoran perubahan angin monsun yang menyebabkan laut bergelora sehingga ia boleh membahayakan pelancongan di pulau-pulau.
Dalam bengkel ITB, para pengusaha dan penggiat industri diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan sepenuhnya tarikan pelancongan yang ada di Terengganu, seperti makanan, tempat-tempat bersejarah dan kawasan menarik di negeri berkenaan untuk dipromosikan ke peringkat antarabangsa.
Semua peserta akan diajar menggunakan platform digital pelancongan untuk mempromosikan produk pelancongan masing-masing untuk menarik pelancong berbelanja tinggi datang ke negeri Terengganu.