ULASAN JUJUR : Stay Di Cerana Villa Resort Buat Anda Terpukau, Terpesona
3 min read
Di Kelantan, ada sebatang sungai yang cantik dalam jajahan Kota Bharu amat sesuai jika anda mengambil peluang untuk bermalam di sebuah resort yang nampak ringkas tetapi pengalaman yang bakal anda nikmati terlalu istimewa dan mustahil untuk luput dari ingatan.
Tempat yang saya ceritakan ini ialah Sungai Pengkalan Datu yang indah dengan suasana alam semulajadi yang sempurna bagi mereka yang amat menggemari alam indah ciptaan Allah.


Anda datanglah ke Cerana Villa Resort yang terletak hanya 10km dari bandar Kota Bharu, 7km dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan 8km dari Universiti Sains Malaysia (USM). Anda cuba nikmati penginapan di tepi sungai yang luas dengan pemandangan yang mempersonakan mata manusia yang sentiasa mahu melihat yang indah-indah.
Pemiliknya Tuan Haji Mohd Asri Haji Husin berkata resort yang menenangkan ini sudah mula diwujudkan pada tahun 2001 dengan fasa pertama iaitu bangunan kayu iaitu sebuah restoran dengan enam bilik penginapan chalet kayu. Lima tahun kemudian, beliau berkata pihaknya telah memulakan binaan bangunan batu sebanyak enam lagi unit Chalet dengan pemandangan sungai dan restoran dengan binaan terapung.
“Kemudian ada fasa ketiga, kami telah bangunkan chalet berbentuk kabin di mana terletak bersebelahan dengan sungai.
“Falsafah di sebalik Cerana Resort ialah menggunakan falsafah perkataan Cerana sendiri iaitu bahasa loghat Kelantan yang bermaksud Tepak Sirih, di mana dalam Tepak Sirih itu sendiri mempunyai kepelbagaian, iaitu pelbagai elemen seperti Cekati, Gobek, Sirih, Kapur, Pinang dan Gambir yang memberi gambaran serta keharmonian dan keunikan,” katanya.
Beliau berkata perkataan Cerana yang mereka gunakan juga ada tafsiran mengikut keistimewaan resort itu sendiri iaitu “C” bermaksud Culture atau budaya, “E” bermaksud Eco, “R” bermaksud rural yang menggambarkan unsur-unsur kampung atau desa, “A” bermaksud Art atau seni, “N” pula bermaksud Nature atau pun semulajadi dan “A” bermaksud Agro.
Kalau anda sampai ke Cerana Villa Resort anda perlu cuba menempah chalet berbentuk kabin yang dibina betul-betul berdepan dan mengadap ke arah sungai Pengkalan Datu. Hiasan dalamannya ringkas tetapi selesa kerana ia lengkap dengan semua keperluan untuk menginap dengan selesa.

Buka pintu di bahagian belakang, terus anda boleh berehat di bahagian anjung chalet itu dan melihat keindahan Lembangan Sungai Pengkalan Datu sepuas hati anda.
Di Cerana Villa Resort bukan sahaja ada penginapan jenis chalet ala kabin tetapi mereka juga ada chalet yang selesa dibuat daripada batu dan ia kelihatan amat cantik.
Sudah menginap di tempat yang selesa, anda cuba juga aktiviti River Cruise di Sungai Pengkalan Datu yang memang memukau. Menaiki bot menyusuri dan menikmati pemandang serta menikmati angin yang nyaman sepanjang berlayar menggunakan bot.
Menurut Tuan Haji Mohd Asri, mereka yang mengikuti cruise itu juga akan dapat melihat beberapa lokasi menarik termasuk kawasan tempat memproses nipah yang orang ramai boleh meminum airnya, mengambil buah nipah serta melihat proses menghasilkan kerabu nipah.
“Satu lagi aktiviti menarik ialah mencari Lokam di mana pelancong boleh turun ke sungai dan mencari Lokam bersama-sama dengan nelayan tempatan,” katanya.
Paling menarik ialah pada setiap hari Sabtu di Cerana Villa Resort, mereka adakan pasar terapung bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 2 petang. Di pasar itu, nelayan-nelayan tempatan dan juga penduduk di sini menjalankan aktiviti secara bersama berniaga sebanyak kira-kira 10 buah bot.

Anda tidak perlu risau tentang soal harga apabila bercakap tentang Cerana Villa Resort kerana harga yang paling tinggi ditawarkan ketika musim peak season hanyalah kira-kira RM110 hingga RM160 dan ada diskaun lagi jika di musim low season.
Kalau variasi jenis penginapan, di Cerana Villa Resort ada penginapan jenis Wooden Semi-Detached, Deluxe Room, Family Deluxe Room dan Laguna Box Riverside (kabin). Kalau anda menginap di Cerana Villa Resort, pemandangan pada waktu pagi, petang dan ketika matahari terbenam amat cantik sekali.

Anda sudah pasti akan merakamkan suasana indah itu dengan kamera telefon bimbit anda untuk dijadikan kenangan bila pulang ke rumah nanti.