Balik Kampung Hari Raya, Pilih Highway Ke Jalan Lama?
3 min read
Walaupun baru masuk hari ke-11 umat Islam berpuasa di Malaysia tapi mesti ramai yang sudah mula memikirkan tentang perkara ini dan mungkin sudah mula berbincang dengan pasangan apa keputusan yang akan diambil untuk berdepan dengan masalah sejagat ini.
Masalahnya ialah kesesakan trafik sewaktu sebahagian besar umat Islam pulang berhari raya di kampung dari bandaraya besar khususnya Kuala Lumpur. Orang panggil warga kota lah pulang beraya ke kampung. Bila ramai-ramai balik berjemaah, kesesakan trafiknya amat teruk sehinggakan dalam lebuh raya yang ada banyak lorong pun boleh jadi sesak.
Keputusan yang perlu diambil ialah hendak ikut lebuhraya atau jalan lama. Nama lainnya jalan persekutuan atau jalan negeri. Isu ini mungkin hanya terpakai kepada mereka yang duduk di negeri-negeri selain negeri Kelantan. Ini kerana, negeri Kelantan laluan paling dekat hanyalah mengikut jalan lama iaitu di Kuala Lipis-Gua Musang.
Dalam tulisan ini, saya hanya memberikan cadangan sahaja kepada anda berdasarkan pengalaman sendiri dan juga pemerhatian mata kepala manusia ini sejak beberapa tahun yang lalu apabila kesesakan trafik berlaku apabila tiba perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Jika anda ingin pulang ke kampung di Pahang, saya cadangkan anda ikut jalan lama bermula dari plaza tol Gombak sehingga ke Genting Sempah. Apabila hampir dengan Genting Sempah, gunakan aplikasi Waze atau GPS anda, perhatikan keadaan lalu lintas yang ada, jika masih sesak teruskan perjalanan mengikut jalan Janda Baik terus ke pekan Bentong menggunakan jalan dalam.

Ini kerana Lebuhraya Karak dari Gombak ke Bentong hanyalah satu laluan pendek dan tidak banyak susur keluar. Sekali anda terperangkap, anda akan menghabiskan masa berjam-jam di dalam kereta. Mungkin anda akan sampai ke destinasi tujuan anda selepas berbelas jam di dalam kereta.
Selepas pekan Bentong baru anda boleh gunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk ke destinasi sekitar Pahang dan Terengganu. Jika jalan di dalam LPT sesak, anda perlu ambil keputusan keluar dari lebuhraya dan gunakan jalan dalam sementara dan perhatikan keadaan trafik di dalam Waze. Sekiranya trafik agak lancar, anda boleh masuk semula ke lebuhraya dan meneruskan perjalanan.
Jika anda balik ke utara ke Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak percaturan anda kena bijak dalam memandu pulang ke kampung kerana ada laluan yang kurang sesak, ada laluan dalam yang jauh tapi trafik lancar. Ia bergantung kepada perancangan anda dan keputusan yang anda ambil.
Dalam perjalanan ke utara, anda mesti gunakan aplikasi Waze untuk pantau keadaan trafik. Setakat ini, sebagai pemandu berpengalaman di jalan raya kerana banyak memandu membuat liputan, Waze adalah aplikasi terbaik dan tepat untuk memantau keadaan trafik.
Biasanya, dari Kuala Lumpur, gunakan jalan dalam dari Rawang dan terus sampai ke Tanjung Malim. Biasanya keadaan akan mula tenang di plaza tol Tanjung Malim tetapi jika keadaan masih teruk gunakan jalan lama sampai ke Bidor dan baru cuba masuk ke dalam lebuhraya dan teruskan perjalanan.
Kadangkala anda memang akan terperangkap dalam kesesakan trafik kerana suasana perayaan. Bagaimanapun, percaturan yang betul tidak akan membuatkan anda terperangkap terlalu lama dalam kesesakan.

Untuk perjalanan ke selatan ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan anda boleh gunakan perancangan yang sama iaitu bergilir-gilir menggunakan antara lebuhraya dan jalan dalam.
Jika anda tetap mahu menggunakan lebuhraya sepanjang jalan dan bersabar sepanjang kesesakan, anda sebenarnya sudah rugi membayar tol berpuluh ringgit untuk sampai ke destinasi kerana anda tidak boleh menggunakan kemudahan dalam lebuhraya dengan efisien.
Hendak guna tandas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ketika perayaan Aidilfitri pun susah kerana barisan kereta yang ingin masuk ke dalam kompleks Rehat dan Rawat (R&R) begitu sesak. Saya pernah melihat kereta diparkir di luar bahagian R&R dan orang ramai berjalan di atas rumput untuk sampai ke R&R.
Sekurang-kurangnya, jika anda memandu ikut jalan dalam, banyak masjid, restoran, surau dan hentian sebelah yang juga cantik dan bersih disediakan untuk kemudahan anda. Pemandangan sekitar jalan dalam juga cantik dengan suasana kampung dan ada kedai serta gerai menjual lemang dan pelbagai barangan yang boleh anda singgah dan membeli-belah.

Apapun, pada Aidilfitri kali ini yang akan menjelang nanti, hampir pasti anda akan terperangkap di dalam kesesakan trafik, rancang pemanduan anda dan bersabar sepanjang perjalanan.
Berhati-hati kerana kegopohan hanya akan dihukum dengan kemalangan membuatkan anda terbantut untuk merasai keseronokan sambutan Hari Raya.