Inbound Tourism Bootcamp Buka Mata Pengusaha Pelancongan Nampak Realiti Sebenar Industri
3 min read
Program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 yang diadakan ketika ini nampaknya membuka mata para pengusaha industri pelancongan tentang realiti sebenar landskap pelancongan di negara ini khususnya tentang kewujudan tempat-tempat yang menjadi tarikan untuk menjadi tumpuan pelancong yang selama ini tidak disedari.
Hari ketiga program ITB yang sedang berlangsung di Selangor hari ini, semua peserta dibawa melawat Muzium Petaling Jaya yang terletak di Petaling Jaya iaitu sebuah muzium yang mempamerkan segala-galanya tentang sejarah awal tentang kelahiran daerah berkenaan sehinggalah kepesatan pembangunannya pada hari ini.

Rata-rata para peserta ITB Selangor yang menyertai program sendiri tidak tahu bahawa Petaling Jaya mempunyai sebuah muzium yang amat menarik untuk dikunjungi.
Realiti yang para peserta nampak bukan sahaja perkara berkenaan tetapi banyak lagi kebenaran dan ada di antaranya pahit dan terpaksa ditelan.
Antara pahit yang terpaksa ditelan ialah bagaimana rakyat Malaysia melayan kedatangan pelancong asing yang datang melawat negara ini. Jurulatih ITB Selangor Isvaran Ramasamy membuat adegan lakonan di hadapan peserta pada hari pertama ITB pada 17 Jun lepas, tentang layanan sambil lewa yang diberikan rakyat Malaysia kepada mereka.
Bukan sahaja rakyat tetapi juga kadang-kadang pengusaha pelancongan sendiri pun tidak menghargai kedatangan pelancong.
Melalui program bengkel intensif ITB ini lah mereka dikejutkan dari lena dan mesti berubah supaya lebih menghargai kedatangan pelancong ke negara ini demi masa depan produktiviti industri pelancongan supaya lebih mapan pada masa akan datang.
Hari ini, ITB Selangor berakhir dengan jayanya dan beberapa pakej pelancongan baru berjaya dihasilkan melalui perbincangan dan kerjasama di antara pengusaha pelancongan dan pengendali produk pelancongan yang ada di sekitar Selangor.
Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata dengan wujudnya banyak tarikan pelancongan di negeri ini, amat rugi jika pengusaha industri pelancongan sekitar Selangor yang menyertai program ITB ini tidak mengambil kesempatan aktif dalam bidang mempromosikan pelancongan ke dalam (inbound) Malaysia ini.
“Saya rasa Selangor ini banyak produk, produk ada macam-macam, depan mata pun ada produk. Apa yang kita tengok di sini banyaknya ialah produk pelancongan.
“Jadi, amat rugilah kalau kita sebagai anak Selangor, sebagai usahawan yang menetap di Selangor ini tidak mengambil bahagian,” katanya ketika berucap pada majlis penutup ITB Selangor di Subang, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha untuk mempromosikan industri pelancongan di negeri itu.
“Kami berbesar hati untuk setiap kali menyokong semua ikhtiar untuk mempertingkatkan profil negeri Selangor untuk dikenali dan diiktiraf sebagai pemain utama dalam industri pelancongan global.
“Industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama pendapatan untuk negara ini, kerajaan negeri khususnya melalui Tourism Selangor sudah mengambil semua langkah untuk terus memartabatkan pelancongan di negeri ini,” katanya dalam ucapan merasmikan majlis penutup ITB Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berucap merasmikan penutup ITB Selangor hari ini.
Secara keseluruhan, ITB Selangor yang diadakan selama tiga hari bermula dari 17 Jun lepas berjaya mencapai matlamatnya dengan kewujudan pakej-pakej pelancongan baru dengan pengalaman unik dan berbeza untuk dinikmati para pelancong.
Mereka juga kini lebih bersedia untuk menggunakan platform digital untuk mempromosikan pakej pelancongan mereka



Bengkel pelancongan ITB akan diteruskan lagi dengan edisi seterusnya di Kuching, Sarawak pada 24 Jun nanti.