Sky Mirror Sudah Ditemui Di Sarawak, Kini Hanya Tunggu Masa Jadi Viral Dan Diserbu Pelancong
3 min read
Tarikan Sky Mirror kini sudah ditemui di Sarawak dan kini hanya menunggu masa untuk diperkenalkan dan menerima pelancong yang ramai ke negeri Bumi Kenyalang untuk merasai pengalaman berbeza di sana.
Sebelum ini, orang ramai berpusu-pusu pergi ke Kuala Selangor untuk merasai pengalaman Sky Mirror tetapi tidak lama lagi dengan promosi yang giat, di Sarawak dan tidak jauh dengan Kuching nanti pun akan ada Sky Mirror.
Berita penemuan Sky Mirror Sarawak itu didedahkan oleh Pengarah Urusan Demak Travel Sdn Bhd Wan Muhd Fahrurrazi Wan Abdul Wahab ketika membuat pembentangan kumpulan semasa menyertai bengkel intensif Inbound Tourism Bootcamp 2019 (ITB) Sarawak di Kuching yang berakhir semalam.
Bukan hanya Sky Mirror tetapi di kawasan berdekatan turut ada pantai yang airnya jernih dan serta pasir yang putih bakal menjadi kegemparan serta tarikan terbaru di negeri Sarawak dan mungkin juga di seluruh negara nanti.
Wan Muhd Fahrurrazi ketika sesi berkenaan membentangkan pakej dengan tajuk The Tip Of Borneo yang akan membawa pelancong ke Taman Negara Tanjong Datu iaitu di mana penghujung sekali Borneo terletak di bahagian Sarawak. Dalam pakej itu juga para pelancong akan dibawa melawat ke Teluk Melano di mana adanya tempat dengan kiraan jarak kilometer 0.

Wan Muhd Fahrurrazi menerima sijil penyertaan menyertai ITB Sarawak daripada Pengerusi Tourism Productivity Nexus dan Presiden MITA, Uzaidi Udanis.
Ia adalah tempat di mana kerja mengukur jarak di Sarawak bermula di situ.
Sky Mirror di Sarawak pula terletak di Pantai Lundu tetapi lokasi yang tepat tidak akan didedahkan lagi bila sampai masanya.
Program ITB diadakan selain meningkatkan produktiviti, ia diadakan untuk mengenalpasti dan mengambil tahu jika ada penemuan baru tentang tarikan terbaru untuk dipromosikan dan dibentuk satu pakej pelancongan yang sistematik untuk pelancong di bawa ke sana untuk merasai pengalaman berkenaan di negara kita.
Disebabkan itu, pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui inisiatif Tourism Productivity Nexus (TPN) memilih peserta daripada pelbagai bidang pelancongan seperti syarikat ejen pelancongan, pengendali produk pelancongan, pengusaha makanan dan minuman, pengamal media sosial serta penyedia khidmat pengangkutan.

Sepanjang sesi perbincangan dalam ITB, dengan tarikan terbaru yang diilhamkan mereka akan membentuk pakej dengan penglibatan semua peserta dari pelbagai bidang pelancongan untuk menyempurnakan pakej dengan kemudahan-kemudahan penting untuk memastikan pelancong selesa.
Masing-masing dengan tugas tersendiri. Penyediaan pengangkutan, penyediaan makanan dan penyediaan tempat untuk lawatan.
Selain pakej The Tip Of Borneo, ada lagi pakej lain yang juga unik iaitu 8Fashionista, Coffee Trip, Enchanting Kuching Memorable Tour, Hidden Secrets Of Dayak Warriors, Lobak Bodo’s Cruise Trip dan Vermi Tour.
Pada hari terakhir, Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) dan Pengerusi atau Champion TPN Uzaidi Udanis berharap negeri Sarawak akan kembali dikenali dan dikunjungi ramai pelancong seperti zaman sekitar tahun 1986 dulu.

Beliau yang berucap sebelum merasmikan penutup ITB Sarawak berkata dengan pengusaha pelancongan yang menyertai ITB berkenaan beliau percaya Sarawak mampu menjadi tarikan semula di kalangan pelancong dari luar negara.
“Kita juga harap para pengusaha pelancongan di Sarawak ini mampu untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong yang datang nanti.

“Kita kena mula buat bekerja bukan cara biasa kita bekerja dulu, kita kena bekerja secara luar biasa, lebih agresif dan aktif mempromosikan pelancongan di negeri Sarawak sendiri kepada pelancong.
“Tolak tepi sikap yang suka merungut tapi kita mula bekerja dengan cara berbeza, dengan pakej baru, tarikan baru dengan promosi yang luar biasa, saya yakin anda boleh lakukan,” kata Uzaidi.

ITB Sarawak menutup tirai semalam dan ia akan bersambung di Putrajaya pada 8 – 10 Julai nanti.