Tebrau Shuttle : Satu Langkah Kurangkan Kesesakan Sempadan Malaysia-Singapura
2 min read
Perkhidmatan perintis ulang alik dari Singapura ke Johor Bahru dengan keretapi yang dikenali sebagai Tebrau Shuttle, direalisasikan semalam di antara Stesen JB Sentral di Malaysia dan Pusat Pemeriksaan di Woodlands di Singapura. Perkhidmatan berkenaan merangkumi perjalanan ulang alik dari kedua-dua stesen dengan tempoh hanya lima minit sahaja.
Kira-kira 60 orang pengusaha dan pemain industri pelancongan daripada Singapura dan Malaysia dibawa menaiki perkhidmatan tren berkenaan pada 1 Julai lepas, untuk merasai pengalaman itu yang boleh dianggap sebagai satu peristiwa bersejarah untuk industri pelancongan di negara ini.
Tebrau Shuttle dicetuskan dan diilhamkan oleh penggiat industri pelancongan dan dipermudahkan oleh inisiatif Tourism Productivity Nexus (TPN) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Kejayaan merealisasikan perkhidmatan ini adalah kerjasama strategik di antara TPN dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk membolehkan pelancong dari Singapura merasai pengalaman kelas dunia perkhidmatan tren dari sempadan kedua-dua buah negara yang turut dikenali sebagai antara sempadan yang paling sibuk di dunia.
Kerjasama ini turut dijayakan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia dan Tourism Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Liow Cai Tung turut sama meluangkan masa menghadiri majlis sambutan pengusaha pelancongan dari Singapura di stesen JB Sentral.
Beliau berkata perkhidmatan berkenaan diyakini mampu mengurangkan sedikit masalah kesesakan di pintu masuk kedua-dua negara di Tambak Johor yang keadaan trafiknya begitu sesak setiap hari.


Liow juga berasa gembira dengan kerjasama yang ditunjukkan di antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dan ia akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong dari Singapura ke Johor. Semalam, dalam perjalanan dari Stesen Pemeriksaan Woodlands, pengusaha pelancongan Singapura diraikan dengan persembahan Flash Mob tarian tradisional di dalam keretapi.
“Kita sudah mengetahui bahawa sempadan Singapura dan Malaysia merupakan antara sempadan yang paling sibuk di dunia hampir setiap hari ia sesak,” katanya dalam sidang media ketika sambutan ejen pelancongan dari Singapura, semalam.

Persembahan sama turut diadakan di stesen JB Sentral menyambut ketibaan delegasi dari Singapura.
Perkhidmatan keretapi Tebrau Shuttle ini akan beroperasi di peringkat perintis akan bermula pada 15 Julai hingga 19 Julai ini.
Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis yang juga Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) dan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) yang memimpin sektor swasta dalam menjayakan kerjasama ini berharap perkhidmatan ini akan menjadi antara satu penyelesaian bersejarah mengatasi kesesakan di Tambak Johor dan di Link Kedua.

Dengan perjalanan yang tidak memakan masa yang lama, pelancong akan lebih berminat menggunakan perkhidmatan tren ini daripada menggunakan kenderaan lain yang terpaksa berbaris panjang di dalam kesesakan lalu lintas.
Walaupun hanya lima minit, rata-rata syarikat pelancongan dari Singapura gembira dan mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa perkhidmatan Tebrau Shuttle akan dapat mengurangkan masalah kesesakan yang ada di Selat Tebrau yang sudah sekian lama berlarutan.
1 thought on “Tebrau Shuttle : Satu Langkah Kurangkan Kesesakan Sempadan Malaysia-Singapura”