Lebih Ramai Pelancong Singapura Akan Lawat Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar Bermula 15 Julai Ini
3 min read
Perkhidmatan keretapi Tebrau Shuttle yang bersejarah yang bakal bermula 15 Julai nanti akan turut membuka lembaran baru dalam dunia pelancongan di Johor apabila para pelancong dari Singapura akan dibawa melawat Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) di Johor Bahru iaitu pusat sehenti pameran elemen budaya dan warisan negeri Harimau Selatan itu.
Pada 1 Julai lepas, kira-kira 60 orang wakil syarikat dan ejen pelancongan dari Singapura dan Malaysia dibawa menaiki perkhidmatan keretapi ulang alik itu dan melawat KWSAB untuk melihat khazanah sejarah yang dipamerkan di situ dalam Heritage Familiarisation Trip di bawah Tourism Productivity Nexus (TPN) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Pengerusi TPN yang turut dikenali sebagai Champion, Uzaidi Udanis berkata beliau amat gembira kerana inisiatif perkhidmatan Tebrau Shuttle disambut baik oleh pihak Kerajaan Persekutuan, pihak Kerajaan Negeri Johor, dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Saya sangat terharu kepada dapat bersama-sama menzahirkan program kerjasama yang unik dan julung-julung kali diadakan.

“Inisiatif yang lahir dari cetusan idea bersama kerajaan dan penggiat-penggiat industri pelancongan sendiri melalui platform Tourism Productivity Nexus,” kata Uzaidi dalam ucapannya kepada para ejen pelancongan di KWSAB ketika menyambut ketibaan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar meluangkan masa untuk hadir dan menyambut wakil-wakil ejen pelancongan berkenaan.
Setibanya para ejen dengan dua buah bas dari Stesen Keretapi JB Sentral selepas tiba dari Woodlands Checkpoint, mereka disambut oleh Pemandu Pelancong bertaraf ASEAN, Isvaran Ramasamy untuk menerangkan kepada mereka tentang kompleks berkenaan.
Para ejen juga disambut dengan persembahan silat dan mereka kemudian dibawa melawat sebuah rumah iaitu rumah yang dibina dengan seni bina tradisional negeri Johor iaitu Rumah Limas. Rumah berkenaan dibina di dalam kawasan KWSAB dan kelihatan cantik dengan gaya senibina Melayu yang amat jarang dilihat pada masa sekarang ini.


Secara ringkas, rumah berkenaan diberi nama Rumah Limas kerana ia mempunyai lima ciri-ciri yang lengkap untuk dipanggil sebagai sebuah rumah. Limas bermaksud lima ciri yang sepatutnya ada pada sebuah rumah.
Mohd Khuzzan berkata beliau amat berbangga dan berbesar hati dengan kewujudan perkhidmatan shuttle ini yang membolehkan pelancong dari Singapura datang dan melawat kompleks ini termasuk melawat Rumah Limas.
“Kita berada di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, pusat kebudayaan yang turut mempamerkan rumah tradisional yang ada di lapan buah daerah di Johor iaitu Rumah Limas Johor.
“Rumah Limas ialah satu contoh sebuah rumah tradisional negeri Johor yang menyerlahkan seni bina yang berasaskan kebudayaan orang Melayu,” katanya ketika berucap kepada wakil ejen pelancongan dalam majlis di KWAB.
Kemudiannya, para wakil ejen pelancongan dibawa melawat Galeri Tenun Johor untuk menyaksikan khazanah negeri Johor iaitu kain tenun. Tahukah anda, ada empat orang sahaja yang boleh merupakan penenun kain di seluruh negeri Johor dan tiga daripadanya berada di galeri berkenaan.
Galeri itu menyingkap sejarah tenun negeri Johor yang lebih dikenali sebagai Tenun Johor Corak Muar. Di sana ada juga ruang pameran cerita tentang sejarah kedatangan tekstil di rantau Nusantara, segmen motif dan reka corak kain tenun berkenaan.
Wakil ejen pelancongan kemudian dibawa menyaksikan persembahan tarian selamat datang oleh para penari dari Yayasan Warisan Negeri Johor dan persembahan paluan gendang.


Di akhir majlis, para ejen pelancongan dijamu dengan jamuan minum petang dan dijamu makan durian sepuas-puasnya. Sambil makan para ejen disajikan dengan persembahan muzik dan tarian.
1 thought on “Lebih Ramai Pelancong Singapura Akan Lawat Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar Bermula 15 Julai Ini”