Pemain Industri Perlu Menggerakkan Sendiri Industri Pelancongan, Bukan Hanya Harapkan Kerajaan
3 min read
Sudah sampai masanya sekarang ini untuk industri pelancongan di Malaysia dipimpin dan digerakkan dengan aktif oleh pemain industri itu sendiri dan mereka tidak lagi mengharapkan pihak kerajaan atau pihak berkuasa untuk menggerakkan industri bagi pihak mereka.
Pengerusi platform Tourism Productivity Nexus (TPN) yang digelar TPN Champion, Uzaidi Udanis berkata ia adalah harapan dari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang mahu industri yang mampu bawa pulangan besar kepada negara itu dikepalai oleh pihak industri sendiri atau pihak swasta.
“Tun mahu industri memimpin sendiri industri pelancongan ini bukan kerajaan, industri sendiri. Saya berada di sini sebagai Pengerusi Tourism Productivity Nexus, anda tahu apa maksud Nexus, Nexus bermaksud menghubungkan satu titik ke satu titik yang lain.
“Jadi, saya dilantik untuk memastikan semua titik dapat disambungkan dan tidak ada lagi jurang atau titik yang tertinggal daripada kerajaan ke industri ke agensi kerajaan dari semua aspek, untuk memastikan kita semua bersama dalam industri ini.
“Tidak perlu lagi mengharapkan kerajaan lakukan sesuatu untuk industri, kita sendiri sebagai pemain industri kena pacu industri ini ke depan,” katanya ketika berinteraksi dengan peserta program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 Kuala Lumpur di Putrajaya yang bermula hari ini.
Bertempat di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu, ITB Kuala Lumpur memulakan programnya hari ini dan berterusan selama tiga hari sehingga Rabu bersama kira-kira 50 orang pengusaha industri pelancongan dari pelbagai cabang industri.

Ada di antara mereka sebagai syarikat ejen pelancongan, pemilik produk pelancongan, pengusaha restoran, pengamal media sosial dan juga pengusaha pengangkutan seperti bas untuk kegunaan pelancongan hadir di program ITB Kuala Lumpur untuk bersama-sama mencari hala tuju baru industri itu di negara ini.
Mereka dianggap sebagai panel yang terpilih untuk sama-sama memerah minda, mencari idea untuk pakej baru pelancongan yang sama sekali berbeza dengan pakej-pakej yang sedia ada yang ada di antaranya sudah pun lapuk ditelan usia.
Uzaidi yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) dan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia berkata industri pelancongan khususnya di Kuala Lumpur amat terdesak untuk satu tarikan baru pelancongan kerana apa yang ada di ibu negara Malaysia ini sudah basi dan tidak menarik lagi.
Sebagai contoh, Menara Berkembar Petronas yang siap dibina pada tahun 1998 sudah lebih 20 tahun menjadi tarikan pelancong dan ia sudah semakin tenggelam daripada pelbagai tarikan baru yang muncul di seluruh dunia sebagai contoh di Singapura.
“Semua kena duduk bersama dan kita cari apa produk baru pelancongan yang ada di Kuala Lumpur dan di Putrajaya ini untuk menjadi tarikan baru kepada pelancong antarabangsa yang datang ke negara kita,” kata Uzaidi.

Dengan berbaki sehingga hujung tahun sebelum tibanya Tahun Melawat Malaysia 2020, semua pihak khususnya sektor swasta dalam pelancongan perlu bergerak pantas dan aktif untuk mempersiapkan Malaysia bersedia masuk ke tahun 2020 dan bersedia menyambut ketibaan pelancong yang ramai.
Pada hari pertama hari ini, panel ITB Kuala Lumpur dilihat optimis dengan masa depan pelancongan kota metropolitan ini yang sudah pun terkenal dengan kesesakan lalu lintas dan kepadatan penduduknya akan dapat diperbaiki pada masa akan datang.
1 thought on “Pemain Industri Perlu Menggerakkan Sendiri Industri Pelancongan, Bukan Hanya Harapkan Kerajaan”