September 27, 2023

Ini Sasaran Dan Matlamat Inbound Tourism Bootcamp Untuk Usahawan Pelancongan

3 min read

Hari ini, bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 di Perak membuka tirai di Ipoh dan ia adalah lokasi terakhir penganjuran ITB di seluruh negara dengan 12 bengkel diadakan dari lokasi pertama di Pulau Langkawi pada Januari lepas.

Elok saya ceritakan apa sebenarnya tujuan dan matlamat serta sasaran yang ingin dicapai oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) iaitu platform yang menjadi nadi penggerak ITB sehingga ia menjadi kenyataan membimbing pemain industri pelancongan di seluruh negara khususnya pelancongan ke dalam Malaysia.

Bengkel ITB ini merupakan kunci utama kepada usahawan pelancongan untuk membuka pintu kepada peluang baru dan ia memberi ruang kepada pengusaha itu sendiri memilih untuk membuka peluang yang mana dan apa kejayaan yang ingin capai.

Secara keseluruhannya, ITB adalah peluang kepada usahawan untuk menjadi lebih berdaya tahan, jalinan kerjasama, inovatif, berfikir di luar kotak secara unik, proaktif dan paling utama menjalankan perniagaan bukan seperti selalu tetapi dengan cara baru yang lebih kreatif mempromosikan perkhidmatan mereka.

Sesi modul Tender Kapal Terbang membolehkan para pengusaha faham makna sebenar Lautan Merah dan Lautan Biru dan yang mana menyediakan peluang untuk berjaya yang lebih luas.

Usahawan yang juga pemain utama industri pelancongan tidak boleh lagi sekadar menunggu peluang tiba, bergantung dan mahu sentiasa diberikan bantuan, hanya bertindak bila perlu, mementingkan diri sendiri dan memainkan peranan dalam industri menggunakan cara lama yang sudah semakin lapuk.

Bagi penggerak utama ITB iaitu wakil industri yang memimpin TPN, Pengerusinya yang juga Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dan Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis, cara baru bekerja dalam industri pelancongan pada masa kini ialah dengan memaksimakan penggunaan platform digital untuk mempromosi pakej percutian para usahawan.

Bagi beliau, pemain industri perlu bergerak secara aktif menyertai jelajah yang dianjurkan oleh MITA ke negara lain seperti China, Singapura dan Brunei untuk mempromosikan produk pelancongan yang mereka tawarkan.

Uzaidi mahu para usahawan menghasilkan produk pelancongan dengan tarikan baru yang lebih segar, unik serta berbeza dari produk yang pernah ada di negara ini dan lebih bagus jika ianya hanya ada di Malaysia berbanding negara serantau khususnya negara jiran.

Beliau sentiasa mengingatkan para pemain industri bahawa menguatkan jalinan kerjasama atau networking sesama mereka supaya utuh dan kuat serta berkekalan. Ini adalah kerana pemain industri hanya ada sesama mereka sendiri untuk memajukan industri pelancongan, paling penting antara mereka lah yang akan menaikkan industri sesama mereka sendiri.

Bengkel ITB dengan sepenuh usaha membantu memberikan peluang kepada pemain industri pelancongan iaitu ejen pelancongan, operator produk, penyedia perkhidmatan pengangkutan, hotel, pengusaha homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), atau pengusaha makanan dan minuman supaya merubah tetapan minda supaya berubah mengikut arus perubahan dunia pelancongan yang makin moden.

Dengan perubahan itu, pelancong akan mengetahui bahawa di negara ini ada tarikan pelancongan yang baru dan segar tidak lapuk seperti yang ada di negara ini sudah bertahun-tahun lamanya dan kini sudah tidak menjadi punca tarikan kepada pelancong lagi.

TPN digerakkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia untuk meningkatkan produktiviti sektor pelancongan.

Wakil Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memberikan taklimat tentang aplikasi mengukur produktiviti syarikat para pengusaha pelancongan iaitu EzBe.

Ia memandangkan produktiviti sektor pelancongan merupakan antara yang terendah di negara ini. Pelan Tindakan itu 8 Mei 2017 dengan menetapkan sasaran pertumbuhan minima produktiviti buruh kepada 3.7 peratus setiap tahun menjelang 2020.

Majlis Produktiviti Kebangsaan pada awalnya menubuhkan tiga Nexus produktiviti sektor iaitu peruncitan, makanan dan minuman, elektrik dan elektronik dan produk kimia pada fasa pertama. Pada fasa kedua pada September tahun berkenaan bagi subsektor jentera dan kelengkapan, pelancongan dan agro makanan.

Kini, TPN sudah sampai ke tahap penganjuran bengkel ITB di seluruh negara untuk para pemain industri menggunakan cara yang lebih kreatif mempromosikan pelancongan agar lebih ramai pelancong datang ke Malaysia.

#itbperak #tourismproductivitynexus #mpc #mita #traveling #ipoh #weilhotel #travelmalaysia #travelperak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *