September 24, 2023

ITB Perak : Kunci Sudah Diserahkan, Sekarang Usaha Penggiat Industri Mahu Buka Pintu Pasaran Yang Mana

2 min read

Kunci sudah diberi, peluang sudah disediakan dan platform sudah di depan mata, kini terpulang kepada usaha penggiat industri pelancongan sendiri untuk memilih pintu mana, peluang mana dan platform mana yang ingin mereka gunakan untuk memaksimakan kedatangan pelancong ke negara ini.

Itulah intipati kata-kata Pengerusi platform Tourism Productivity Nexus (TPN) Uzaidi Udanis dalam ucapannya menutup siri terakhir bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 untuk negeri Perak di Ipoh, kelmarin.

“Kunci sudah diberi, peluang pun sudah disediakan, terpulanglah pada anda hendak buka pintu yang mana, hendak buka pintu pasaran di Singapura ke, di China ke? Kita jangan pandang rendah Singapura ya kerana Singapura ada pasaran pelancong yang besar.

“Hampir semua syarikat besar-besar di dunia ini ada pejabat mereka yang dibuka di Singapura, tapi saya hendak cadangkan kepada anda cuba sasarkan pasaran negara China kerana ia adalah satu pasaran yang amat besar untuk pelancongan negara ini,” kata Uzaidi.

Uzaidi adalah wakil dari sektor industri pelancongan sendiri yang dilantik oleh TPN melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mengepalai platform TPN khusus untuk mencari penyelesaian kepada isu dan masalah yang membelenggu sektor pelancongan serta mencari idea lebih segar untuk kembali memperbaiki prestasi sektor berkenaan.

Beliau dalam industri pelancongan di negara ini merupakan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dan Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA).

Hasil daripada ITB Perak, sebanyak sembilan pakej percutian yang baru dan segar dengan idea baru berjaya dihasilkan kira-kira 60 orang peserta mengikut kumpulan sepanjang tiga hari bengkel berlangsung.

Ia merupakan pakej yang lengkap dengan pelbagai jenis tarikan pelancongan seperti budaya, sejarah, seni bina, aktiviti lasak dan juga membeli-belah.

Sebahagian daripada peserta ITB Perak menerima sijil penyertaan mereka daripada Uzaidi.

Selepas enam bulan sejak ITB pertama di Pulau Langkawi pada Januari lepas, maka lengkaplah kesemua 12 program berkenaan yang dirangka oleh TPN selamat diadakan.

Para penggiat industri dari Kedah, kemudian Pahang, Sabah, Kelantan, Johor, Terengganu, Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur & Putrajaya, Melaka, Kedah dan Ipoh sudah berkumpul bersama-sama dengan Trainer yang pakar dalam bidang pelancongan baru, dunia traveling yang kini dipenuhi dengan pelancong yang mengembara secara kumpulan kecil atau Free Independent Traveler (FIT).

Mereka para pelancong sudah semakin gemar memilih sendiri pakej percutian di destinasi tujuan dengan cara bersama-sama dengan warga tempatan secara direct untuk merasai pengalaman baru dan segar.

Dek kerana itu, pihak TPN mengumpulkan semua kategori penggiat industri pelancongan dari ejen pelancongan, penyedia pengangkutan, pengendali produk pelancongan, penyedia perkhidmatan makanan, pengusaha hotel, pengusaha homestay dan pemilik pelancongan untuk diberikan latihan serta bimbingan untuk bersedia menerima dan menggunakan sepenuhnya revolusi ini untuk kebaikan industri pelancongan negara kita pula.

Pasukan mantap Trainer ITB 2019 (dari kiri) Ahmad Najib Ahmad Ariffin, (dua dari kanan) Isvaran Ramasamy dan Muzammil Mardzuki.

Mereka akan menggunakan aplikasi digital di internet untuk mempromosikan pakej-pakej baru ini terus kepada pelancong di luar negara supaya mereka boleh membuat pilihan terus untuk menempah pakej dan kemudian datang ke Malaysia melancong.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, Malaysia meletakkan sasaran kehadiran pelancong sebanyak 30 juta orang dengan pulangan kira-kira RM100 bilion.

#itbperak #tourismproductivitynexus #malaysiaproductivitycorporation #mpc #mita #ipoh #travelmalaysia #travelperak #malaysiatrulyasia #visitmalaysia2020 #tourismheroes #budayakanpelancongan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *