June 1, 2023

Homestay Kampung Ayer Limau Raikan Delegasi Islamic Tourism Centre MOTAC Dengan Onde-Onde

4 min read

Homestay Kampung Ayer Limau di Masjid Tanah Melaka terus jadi tumpuan antarabangsa apabila ada 11 orang dari negara luar datang ke sana dan merasai pengalaman suasana kehidupan kampung selama sehari pada 18 Julai lepas.

Mereka adalah delegasi antarabangsa untuk Program Kerjasama Teknikal Malaysia untuk Bengkel Pendek Strategi Pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti yang berlangsung dari 14 hingga 27 Julai lepas anjuran Pusat Pelancongan Islam (ITC), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

Anggota delegasi ialah Chim Rithy dari Kemboja, Reneh Thabet Moawad Estacy dari Mesir, Tamar Kakhidze dari Georgia, Akuelou Christine Melanie Tanoh dari Ivory Coast, Alousy Chanthabouly dari Vietnam, Kiran Teena Auckloo dari Mauritius, Sufyan Mahmoud Hassan Deis dari Palestin dan Janice Tracey Sharon Bristol dari Seychelles.

Jika menikmati suasana kampung dan menyertai program di Homestay Kampung Ayer Limau, menikmati hidangan atau berada di rumah yang istimewa ini adalah satu acara yang mesti dilakukan kerana ia adalah simbolik kepada warisan pembinaan rumah Melayu khususnya di negeri Melaka ini.

Baki anggota delegasi berkenaan ialah Chaminda Palitha Pushpa Kumara dari Sri Lanka, Luis Immanuel Soares Doutel dari Timor Leste dan Azibek Adxamovich Fayozov dari Uzbekistan.

Pengalaman mereka di Kampung Ayer Limau bermula kira-kira pukul 10.30 pagi sebaik mereka tiba di kampung berkenaan disambut oleh penduduk kampung dengan alunan nasyid marhaban dari kumpulan marhaban Al-Raudhah sambil menikmati hidangan ringan disediakan oleh penduduk.

Mereka nampak teruja dengan buah rambutan yang lebat, banyak yang dipetik dan dimakan terus sebaik mereka sampai ke Homestay Kampung Ayer Limau, Melaka.
Alunan marhaban dari kumpulan Al-Raudhah, Homestay Kampung Ayer Limau.

Ketibaan mereka disambut oleh Pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau Zohaime Muhamad Sori yang segak lengkap memakai busana pahlawan Melayu dengan tengkolok.

Kebetulan pada hari mereka hadir, pada masa itu sedang musim buah rambutan begitu lebat di pokok-pokok sekitar kampung dan mereka begitu gemar makan buah rambutan.

Selepas diberikan taklimat ringkas tentang aktiviti, para tetamu ditunjukkan demonstrasi memasak kuih tradisional iaitu buah melaka atau onde-onde dan kuih denderam yang selalu menjadi hidangan istimewa penduduk Kampung Ayer Limau khususnya di waktu-waktu petang.

Delegasi Pusat Pelancongan Islam MOTAC diberikan taklimat oleh wakil Homestay Kampung Ayer Limau dan mereka dihidangkan kuih-kuih tradisional Melayu seperti onde-onde, cekodoh pisang dan juga cempedak goreng.

Para delegasi kemudian diberikan peluang untuk merasai sendiri bagaimana membuat kuih berkenaan dari saat menguli tepung dan menghasilkan bentuk kuih denderam dan memasaknya. Macam-macam gaya dan rupa kuih denderam ada. Selesai demonstrasi memasak kuih, mereka diajar bagaimana untuk menganyam rotan oleh para penduduk wanita yang berpengalaman. Kalau bahasa kampung, oleh makcik-makcik.

Ada seorang dua delegasi khususnya dari Georgia begitu berminat dengan anyaman rotan untuk menghasilkan satu raga kecil.

Tamar Kakhidze dari Lembaga Pentadbiran Kebangsaan Georgia mencuba memasak kuih Denderam sambil disaksikan warga Kampung Ayer Limau.
Tamar mencuba menganyam rotan pula.

Selesai anyaman, mereka dibawa ke kebuh getah berdekatan untuk ditunjukkan demonstrasi menoreh getah dan menerangkan maklumat tentang penanaman getah di Malaysia.

Kemudian, mereka ditunjukkan pula cara-cara menjolok buah asam gelugur dan cara-cara untuk menghasilkan asam keping yang menjadi bahan wajib dalam masakan tradisional Melayu dan banyak digunakan dalam masakan tradisional negeri Melaka.

Buah asam gelugur yang dipotong kemudian dijemur untuk menghasilkan asam keping.
Pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau, Zohaime Muhamad Sori bersama delegasi ketika demonstrasi dan penerangan tentang pokok getah dan susu getah.

Mereka selepas itu, dihidangkan makan tengah hari di rumah Zohaime dengan lauk-lauk tradisional masakan khas istimewa untuk mereka. Makan bersila di anjung rumah.

Rumah beliau ialah sebuah rumah yang diperbuat sepenuhnya dari kayu cuma bahagian dapur dan tangga sahaja diperbuat daripada batu dan dipenuhi gaya senibina tradisional penuh dengan ukiran warisan Melayu.

Masakan kampung yang menjadi santapan anggota rombongan MOTAC di rumah Zohaime Muhamad Sori. Ada Asam Pedas Ikan Tenggiri, Masak Lemak Pisang, Ikan Kering Goreng dan Sambal Belacan serta pisang sebagai pencuci mulut.

Jika menikmati suasana kampung dan menyertai program di Homestay Kampung Ayer Limau, menikmati hidangan atau berada di rumah yang istimewa ini adalah satu acara yang mesti dilakukan kerana ia adalah simbolik kepada warisan pembinaan rumah Melayu khususnya di negeri Melaka ini.

Bagi mereka yang menyertai program bersama ITC di bawah MOTAC mereka amat gembira dengan program yang diaturkan untuk mereka di Melaka dan amat bersyukur kerana dapat merasai suasana kehidupan kampung.

“Ia satu pengalaman yang menarik, ini kali pertama saya hadir ke Malaysia, kali pertama datang ke sebuah Homestay dan ia adalah satu pengalaman yang amat unik dan kami berharap kami akan dapat manfaat daripada program ini, satu pengalaman yang amat unik,” kata Reneh Thabet iaitu delegasi dari Kaherah, Mesir.

Pemandu Pelancong pihak MOTAC menerangkan kepada Sufyan Mahmoud dari Palestin tentang keunikan rumah tradisional Melayu di Melaka.
Para peserta delegasi Pusat Pelancongan Islam MOTAC bergambar kenangan bersama tuan rumah Zohaime dan penduduk yang turut sama mengusahakan Homestay Kampung Ayer Limau.

Melihatkan kepada tuan rumah Zohaime yang mengenakan pakaian lengkap busana Melayu, juga membuatkan mereka teruja dan mengambil kesempatan dengan bergambar bersama dengan beliau.

Jika anda mengadakan program dan merasai keunikan kehidupan kampung di Homestay Kampung Ayer Limau di Masjid Tanah, Melaka anda boleh menghubungi Encik Zohaime 019-275 3707 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *