Satu Jawatankuasa Kerja Diwujudkan Antara Majlis Pelancongan Malaysia – PDRM Pastikan Keselamatan Pelancong Terjamin
2 min read
Jawatankuasa Kerja Keselamatan Pelancong (JKKP) telah diwujudkan semalam di antara beberapa agensi kerajaan dan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) pada mesyuarat pertama kerjasama antara MTC dan pihak Polis Diraja Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (MATiC) semalam.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Sun Teoh Tia dan dihadiri oleh para pegawai PDRM manakala MTC diwakili oleh Presidennya, Uzaidi Udanis.
JKKP akan diketuai oleh PDRM dan ia akan memberikan fokus kepada langkah memastikan keselamatan pelancong luar negara sentiasa selamat dan selesa sepanjang berada di negara ini.
Dalam mesyuarat berkenaan, pihak jawatankuasa telah membuat keputusan akan membuat kunjungan hormat ke pejabat kedutaan 10 negara utama yang pelancong warga negara mereka datang ke Malaysia untuk mengadakan perbincangan untuk memastikan keselamatan pelancong sentiasa terjamin menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) tahun depan.

Pertemuan kedua-dua di antara MTC dan PDRM semalam merupakan yang pertama selepas kunjungan hormat pihak MTC kepada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor pada 9 Julai lalu di Bukit Aman untuk membincangkan tentang keselamatan pelancong luar negara yang hadir di sini.
Dalam mesyuarat semalam, kedua-dua pihak juga berbincang untuk mencari kaedah yang lebih mudah dan sistematik untuk mengambil laporan dan keterangan daripada pelancong jika mereka terlibat dan menjadi mangsa dalam jenayah.
JKKP akan diketuai oleh PDRM dan ia akan memberikan fokus kepada langkah memastikan keselamatan pelancong luar negara sentiasa selamat dan selesa sepanjang berada di negara ini.
Datuk Sun bersama-sama dengan wakil mesyuarat membincangkan tentang langkah untuk menambah baik pusat sehenti Polis Pelancong yang ada di MATiC supaya mudah diakses oleh para pelancong.


JKKP akan turut diwakili oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Bahagian Penguatkuasaan dan beberapa wakil lain yang mempunyai kaitan dengan pelancongan.
Wakil dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut dicadangkan memainkan peranan dalam proses mengambil keterangan dari mangsa.
Uzaidi yang juga Pengerusi Tourism Productivity Nexus (TPN) dan Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) menyuarakan kebimbangannya tentang penyebaran maklumat palsu tentang Malaysia di laman media sosial kerana ia akan beri imej buruk tentang negara kita di mata dunia.
Bagi Datuk Sun, matlamat pihak polis dan pihak berkuasa yang lain ialah untuk memastikan keadaan pelancong luar negara yang datang ke Malaysia sentiasa selesa dan selamat akan menjadi keutamaan yang mustahak.
Untuk memudahkan pelancong, JKKP juga akan mencari jalan menyelesaikan masalah perbezaan bahasa komunikasi jika berlakunya jenayah untuk memudahkan anggota PDRM menerima laporan dari mangsa.

Ada cadangan untuk mengadakan kursus bahasa dalam kalangan anggota pihak berkuasa dan ia masih di peringkat perbincangan jawatankuasa lagi.
Jawatankuasa berkenaan akan bekerjasama rapat dengan agensi dan organisasi yang ada kepentingan dalam industri pelancongan negara untuk memastikan keadaan pelancong dari luar negara yang datang ke Malaysia sentiasa selamat dan ketenteraman mereka sentiasa terpelihara.