Esok Ulangtahun Pembinaan Terusan Wan Mat Saman, Bengkel ITB Bertuah Dapat Bertemu Generasi Ke-8 Beliau
4 min read
Ketika program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 di Kedah berlangsung kumpulan sekratariat yang terdiri daripada kakitangan Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berpeluang menikmati pengalaman yang amat bermakna apabila dapat bertemu dengan generasi ke-8 kepada Allahyarham Wan Muhammad Saman Wan Ismail atau kita kenal beliau sebagai Wan Mat Saman.
Wan Mat Saman ialah Perdana Menteri Kedah (kini dikenali sebagai Menteri Besar Kedah) pada tahun 1885 yang mencetuskan idea membina terusan sepanjang 36 kilometer bermula dari Alor Setar sehingga ke kaki Gunung Jerai. Terusan itu dibina bermula pada 13 Ogos 1885. Kalau diikutkan esok adalah hari ulangtahun pembinaan terusan yang amat bersejarah itu.
Pada masa itu, Wan Mat Saman mengerahkan penduduk kampung untuk menggali terusan sepanjang 35 kilometer dari kaki Gunung Jerao di Kuala Muda hingga ke Tandop, Alor Setar. Ia dikatakan terusan terpanjang di dunia yang digali menggunakan kudrat manusia.
Kerja pembinaan terusan difahamkan membabitkan 5,000 tenaga penduduk tempatan.
Pada zaman ini, tarikh 24 Julai 2019, kumpulan sekratariat ITB Kedah bersama saya mengunjungi rumah generasi ke-8 Wan Mat Saman iaitu Haji Mohd Baseri Haji Mohd Ghazali yang sudah berusia 75 tahun.

Kami sampai dirumah beliau kira-kira pukul 10.30 malam dari Sungai Petani bersama anak beliau, Intan Sareeza bertujuan untuk pergi meninjau produk pelancongan Kolam Air Panas Ulu Legong di Baling, Kedah yang berdekatan dengan rumah beliau.
Betapa pemurahnya Haji Mohd Baseri dan gembira menerima kedatang kumpulan sekretariat ITB kerana melayan kunjungan kami dengan masakan ala-kampung bersama dengan buah durian.
Selepas selesai makan, barulah anak Haji Mohd Baseri iaitu seorang daripada peserta ITB memberitahu bahawa ayahnya itu adalah waris ke-8 bekas Perdana Menteri Kedah berkenaan. Kini jawatan itu digelar Menteri Besar Kedah.


Saya bertanya kepada beliau bagaimana mereka mengetahui arah yang hendak dibina terusan berkenaan kalau tidak ada teknologi moden seperti kompas atau GPS pada masa itu? Beliau menjawab, Wan Mat Saman mengarahkan pekerja yang membina terusan membakar jerami padi yang diikat-ikat bersama.
Asap yang dihasilkan dari pembakaran jerami itu akan ditiupkan angin dan arah asap berkenaan menjadi panduan mereka untuk menentukan arah mana terusan berkenaan akan dibina.
Moyang kepada beliau, iaitu Wan Mat Saman dilahirkan di Alor Janggus, kira-kira 9 kilometer dari Alor Setar pada sekitar 1830-an dan mendapat pendidikan asas dalam pengajian Al-Quran ketika kecil. Beliau ialah Menteri Besar Kedah yang pertama pada masa itu.
Mengikut sejarah, kerana kecemerlangan tugas beliau, Sultan Kedah pada masa itu, Sultan Ahmad Tajuddin III memilih Wan Mat Saman mengiringi baginda ketika melawat Siam (Thailand) pada tahun 1865 untuk melihat pembangunan di sana.
Dek kerana keupayaan hebat Wan Mat Saman, Sultan Ahmad Tajudin mewujudkan satu jawatan Perdana Menteri pada tahun 1870 dan melantik Wan Mat Saman sebagai Perdana Menteri Kedah.
Ketika melawat Siam, beliau tertarik dengan pelbagai terusan yang menjadi jalan perhubungan serta pengangkutan di Bangkok. Ini menimbulkan ilham kepadanya untuk membina sebatang terusan di Kedah bagi mengemaskan sistem tali air di negeri itu. iltizam yang tinggi bagi melihat hasil padi ditingkatkan, Wan Muhammad Saman mengerah penduduk kampung membina terusan itu.
Bagi Haji Mohd Baseri, beliau berasa amat berbangga dan bertuah kerana beliau adalah generasi ke-8 individu yang bertanggungjawab dalam menjadikan negeri Kedah negeri jelapang pagi di Malaysia.

Beliau bercerita bahawa di sekitar tempat kediamannya itu, ada tempat yang paling bersejarah iaitu lokasi pertemuan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu di Baling English School atau kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tunku Putra.
Pada masa itu wakil kerajaan ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall manakala wakil PKM ialah Chin Peng, Chien Tien dan Rashid Maidin. Pertemuan bersejarah itu dikenali sebagai Rundingan Damai Baling 1955.
Haji Mohd Baseri juga bercerita bahawa ketika zaman PKM bermaharajalela, Baling adalah kawasan yang berada di bawah kawalan komunis dan kerap kali berlaku konflik di antara komunis dan penduduk di kawasan itu.
Ini kata-kata dan bukti sejarah. Pada 13 Ogos 1885, di atas batu peringatan di muara Terusan Wan Mat Saman yang dibina untuk menghargai jasa Perdana Menteri Kedah itu, diatasnya ia tertulis :-
‘Sanah 1303, 10 hari bulan Syawal, Kadam Wan Muhammad Saman Ibni Wan Ismail, mulai korek sungai di hujung Sungai Pengkalan Kundur tuju ke Gunung Jerai dan muka kualanya di seberang tentang dengan Balai Air Kota Setar ini, tamat’
Ini adalah kata-kata yang tertera di atas batu itu pada tahun berkenaan. Sejarah tanah air kita.
Begitulah negeri Kedah, yang mempunyai banyak dan penuh dengan lokasi sejarah dan artifak Kedah Tua sehinggalah pembinaan terusan yang bersejarah untuk mengairi sawah padi yang merupakan yang terpanjang di dunia pada masa itu.
Esok merupakan tarikh ulangtahun bermulanya pembinaan Terusan Wan Mat Saman yang memakan masa kira-kira 10 tahun untuk disiapkan dengan beribu-ribu orang pekerja.
Intan Sareeza memaklumkan bahawa keluarga beliau mengadakan kenduri tahlil semalam sempena meraikan ulangtahun hari bermulanya pembinaan terusan itu.
Beliau kini menceburkan diri dalam bidang pelancongan sebagai ejen pelancongan dan turut menyertai satu persatuan yang menguruskan pakej untuk pelancong melawat gua-gua di Gunung Baling dan Gunung Pulai.
#itbkedah #tourismproductivitynexus #malaysiaproductivitycorporation #mita #alorsetar #baling #wanmatsaman #terusanwanmatsaman #sungaipetani #travelmalaysia #tahunmelawatmalaysia2020 #visitmalaysia2020