October 3, 2023

KSU Luangkan Masa Meraikan Pelancong China Pada Makan Malam Inisiatif Jalur Dan Laluan China-Malaysia

2 min read

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak pada Selasa lepas menghabiskan masa beliau petangnya bersama dengan pelancong dari negara China apabila beliau menghadiri Majlis Makan Malam Meraikan mereka sempena “Festival Budaya Dan Seni Antarabangsa Inisiatif Jalur dan Laluan China-Malaysia” yang berlangsung bermula 13 – 17 Ogos ini.

Beliau hadir pada majlis makan malam itu yang diadakan di Pusat Informasi Pelancongan Malaysia (MATiC) di ibu negara bersama-sama dengan para pelancong dan peserta yang menyertai festival berkenaan dengan menampilkan persembahan kebudayaan mereka.

Turut hadir pada hari itu ialah Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis.

Dalam ucapannya Datuk Isham berkata beliau menyambut baik kedatangan para pelancong berkenaan dan berharap mereka semua dalam keadaan selesa ketika berada di negara ini.

“Ketika melihat anda menikmati buah durian sebentar tadi, baru saya menyedari ke mana buah durian dari negara saya sudah pergi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak.

“Saya turut berharap dapat bersalaman dengan semua yang ada di dalam tempat ini kerana dengan bersalaman dengan anda saya akan terasa seperti sudah berada di seluruh negara China,” katanya.

Menurut beliau, program berkenaan yang diadakan selama empat hari juga sebagai simbol betapa eratnya hubungan bilateral di antara kedua-dua negara sejak sekian lama iaitu kira-kira 45 tahun lalu.

Sementara itu, Uzaidi dalam ucapannya berharap para pelancong China yang datang ke Malaysia akan mempromosikan negara ini kepada rakan-rakan dan ahli keluarga mereka yang lain di Tanah Besar China supaya datang ke Malaysia melancong ke sini membawa rakan-rakan dan ahli keluarga.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis

Pada malam itu, turut diadakan beberapa persembahan seni dan budaya dari negara China dengan menampilkan permainan alat muzik tradisional China yang dikenali sebagai Yangqin.

Artis dari China memainkan lagu dari penyanyi terkenal Michael Jackson dengan lagunya Smooth Criminal menggunakan alat muzik berkenaan.

Uzaidi menyampaikan cenderahati berupa kain batik kepada wakil delegasi dari China.

Banyak kesenian dan kebudayaan lain turut dipersembahkan sepanjang festival itu diadakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *