October 3, 2023

Ada Lebih 16 Gua Indah Di Baling, Gunung Pulai Mesti Dipelihara Demi Khazanah Alam

7 min read
Tahukah anda? di daerah Baling, Kedah ada terdapatnya gua-gua yang cantik dengan bentuk batuan yang amat unik hasil dari proses alam semulajadi dan amat sesuai untuk diterokai serta boleh menjadi satu dari antara produk tarikan pelancongan yang bertaraf dunia.

Tahukah anda? di daerah Baling, Kedah ada terdapatnya gua-gua yang cantik dengan bentuk batuan yang amat unik hasil dari proses alam semulajadi dan amat sesuai untuk diterokai serta boleh menjadi satu dari antara produk tarikan pelancongan yang bertaraf dunia.

Difahamkan, ada lebih 16 buah gua di daerah Baling dan lokasi utamanya ialah di dua buah gunung yang tersergam indah di pekan Baling iaitu Gunung Pulai dan Gunung Baling. Buat anda peminat pelancongan yang berasaskan cabaran alam semulajadi atau adventure tourism, Baling amat sesuai untuk menjadi destinasi pelancongan anda untuk tujuan itu.

Untuk memudahkan pemahaman, artikel ini akan menjelaskan tentang tarikan gua-gua di Baling jika anda berasal dari Kuala Lumpur. Ia akan menjelaskan bagaimana anda hendak sampai ke Baling dan kemudahan penginapan yang ada di sekitar Baling yang selesa dan kemudian tarikan-tarikan gua yang ada.

PERJALANAN DARI KL DENGAN BAS DARI TBS

Jika anda hendak sampai ke Baling dengan menaiki bas ekspres, anda boleh menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan pada waktu malam dan anda akan sampai di Baling pada waktu awal-awal pagi menjelang Subuh. Bas ekspres yang ada jadual perjalanan ke Baling banyak dan anda boleh membuat pilihan untuk bertolak pada waktu yang sesuai dengan perancangan perjalanan anda.

Biasanya, waktu paling lewat bas bertolak ke TBS adalah sekitar pukul 10.30 malam dan akan sampai ke Baling lebih kurang pada pukul 4 pagi.

Biarlah keindahan gua ini terus terpelihara dan generasi akan datang ratusan tahun akan datang masih boleh menyaksikan keindahannya

Saya berpeluang pergi ke Baling dan merasai sendiri pengalaman meneroka gua di Baling dengan atas undangan seorang pengusaha pelancongan Intan Sareeza Mohd Baseri yang mahu menjadikan penerokaan gua di Baling sebagai tarikan pelancongan di Kedah dan ingin menarik pelancong dari luar negara merasai pengalaman itu.

Dengan menaiki bas dari TBS saya sampai ke Baling hampir pada waktu dinihari dan pada ketika itu hujan yang lebat. Duduk seketika menikmati curahan hujan yang lebat sebelum ia reda pada masa waktu solat fardhu Subuh pun sudah hampir masuk.

Dari terminal bas Baling, anda boleh dengar seruan azan dari Masjid Pekan Lama Baling dan anda boleh jalan kaki ke masjid yang terletak di seberang Sungai Baling.

PENGINAPAN DI BALING MOUNTAIN GARDEN VILLAGE

Jika anda bersolat Subuh di masjid dan selepas selesai, duduk seketika beriktikaf di masjid sebelum anda boleh berjalan kaki ke arah stesen bas tadi dan anda akan sampai ke kawasan yang ada dua tiga buah kedai untuk anda bersarapan pagi. Saya bersarapan di Kedai Makan Pak Yob yang terletak berhadapan dengan masjid baru pekan Baling.

Dekat sahaja dengan kedai berkenaan ada satu kedai roti canai yang roti canainya amat sedap dan amat lembut. Kalau ditanya pada saya, saya memilih roti canai yang dimasak oleh orang Melayu lebih sedap daripada roti canai yang dimasak oleh mamak.

Kawasan penginapan Baling Mountain Garden Village di Baling yang berlatar belakang Gunung Baling.

Selepas itu, anda boleh menghubungi Baling Mountain Garden Village untuk tempat penginapan anda kerana anda takkan menyesal kalau menginap di sini. Unit penginapan ialah Chalet tetapi bersambung panjang dengan berlatar belakangkan pemandangan Gunung Baling yang amat indah. Tengok sahaja sudah cukup untuk membuatkan anda tenang.

Dengan hiasan dalaman ala-ala unit penginapan ala Inggeris, Baling Mountain Garden Village sudah cukup memahat kenangan anda untuk jatuh cinta pada daerah Baling.

Hiasan dalaman chalet di Baling Mountain Garden Village

Harga bermula dari sekitar RM120 hingga RM180 bergantung pada rekaan dalaman dan musim ketika anda sampai dan menginap di situ. Saya amat mencadangkan anda untuk menginap di Baling Mountain Garden Village.

KEMBARA MENEROKAI GUA DI BALING BOLEH BERMULA

Sekitar tengah hari selepas usai solat Zohor, anda sudah boleh mula menerokai gua yang ada di Baling ini bermula di kawasan gua di kaki Gunung Pulai.

Jika anda jarang hiking atau trekking, ia tidak menjadi masalah cuma anda kena pastikan anda tidak ada masalah lelah atau kepenatan yang melampau kerana penerokaan gua melibatkan pergerakan mendaki dan memanjat batuan. Anda kena pakai alas kaki atau kasut yang sesuai untuk tujuan itu untuk memastikan keselamatan anda.

Saya bersama pasukan Jejak Mistik di Baling, Kedah yang boleh membawa anda meneroka gua-gua indah dan cantik yang ada di Baling, Kedah ini.

Untuk menerokai gua, anda boleh hubungi pasukan Jejak Mistik yang memang aktif meneroka gua-gua di Baling dan mereka menyediakan perkhidmatan guide untuk anda meneroka keindahan gua di Baling.

Mereka amat baik dan ramah belaka serta mereka akan anggap anda seperti keluarga mereka walaupun baru pertama kali berjumpa.

CABARAN PERTAMA CERITA MISTIK DI GUA KELAMBU DAN GUA BUNIAN

Pada kembara saya di Baling, saya bermula dengan menerokai Gua Kelambu yang terletak di kaki Gunung Pulai berdekatan dengan sebatang sungai.

Ada cerita menarik kalau anda mula-mula sampai di Gua Kelambu ini. Guide saya untuk kembara di Baling ialah Encik Selendang Delima. Itulah nama yang beliau mahu dirinya dikenali dengan nama di media sosial Facebooknya.

Untuk sampai ke pintu gua, anda perlu melalui sebuah jambatan yang seperti tergantung tapi ia bergantung dengan besi bukan dengan kabel. Di penghujung jambatan, ada dua batang pokok yang kita kenal sebagai pokok hiasan menjadi umpama pintu gerbang dan pintu masuk ke laluan terus ke pintu gua.

Titi yang merentangi sungai untuk ke pintu Gua Kelambu.

Melepasi pagar, anda akan diberitahu oleh Selendang Delima ada nya banyak pokok-pokok bunga hiasan yang memenuhi ruang di situ seakan-akan ia sebuah taman purba yang amat cantik. Spesis-spesis bunga yang ada juga amat jarang dilihat dan difahamkan ia merupakan sebahagian daripada spesis-spesis bunga orkid.

Menurut Selendang Delima, lokasi itu ialah taman larangan pada satu masa dulu ketika zaman pemerintahan Kerajaan Langkasuka. Itu ialah kawasan Taman Larangan Puteri dan jikalau ada Putera masuk ke dalam taman itu, mereka akan dipancung kepala. Jika anda berjalan di kawasan itu, anda akan merasa betul-betul seperti anda sedang berada dalam taman.

Bunga-bunga orkid yang ada di luar kawasan Gua Kelambu yang seakan-akan Taman Larangan.

Tidak jauh dari situ, anda akan masuk ke dalam Gua Kelambu yang dikatakan ia sebelum ini adalah sebuah istana. Guide akan menceritakan tentang corak-corak batuan yang membentuk seakan-akan bentuk haiwan seperti katak, gajah dan kambing gurun. Dikatakan semua haiwan itu hidup sebelum ini tapi ia telah disumpah oleh Sang Kelembai.

Anda akan diceritakan tentang kewujudan makam di dalam gua berkenaan dan juga ruang yang dipanggil Kelambu di mana tempat Tuan Puteri beradu bersama dengan anaknya.

Selepas Gua Kelambu, anda akan dibawa ke Gua Bunian pula atau namanya Gua Tembus. Artikel ini tidak menceritakan mengikut turutan gua yang saya teroka, ia boleh berbeza mengikut perancangan dan cadangan Guide anda nanti di Baling.

Pintu masuk ke Gua Kelambu di kaki Gunung Pulai.

Selendang Delima menjelaskan gua itu ialah gua bunian dan ada bunian yang mendiami gua itu. Apa yang mistik, ialah katanya bunian di gua itu boleh nampak anda tapi anda takkan nampak bunian itu.

KULIT SIPUT SEDUT YANG BANYAK CETUSKAN MISTERI DAN TANDA TANYA

Di satu bahagian di dalam Gua Bunian ini, ada satu lokasi yang dipenuhi kulit siput sedut yang kelihatan telah dibersihkan untuk dimakan oleh manusia. Biasanya kita kalau makan siput sedut kita akan potong bahagian belakang siput itu untuk memudahkan kita menyedutnya.

Begitulah yang berlaku pada siput-siput yang ada di atas lantai Gua Tembus. Semua cangkerang siput sedut berkenaan sudah dipotong dan diproses. Menurut guide, cangkerang siput itu dibuang oleh bunian selepas memakannya.

Inilah pintu masuk ke Gua Tembus atau dipanggil juga dengan nama Gua Bunian.
Cangkerang siput yang bertaburan yang sudah dipotong belakangnya seperti sudah dimakan oleh manusia dan difahamkan ia dimakan oleh bunian.

Kalau anda ada di lokasi itu dan berada di situ nanti, anda mesti akan tertanya-tanya tentang bagaimana wujudnya cangkerang di dalam gua berkenaan. Adakah ia dibuang oleh penduduk-penduduk kampung atau sebaliknya?

Difahamkan juga, siput sedut spesis itu sukar ditemui di kawasan berdekatan dengan gua berkenaan malah boleh dikatakan tidak ada tetapi ia hanya ada di lokasi yang agak jauh dari sungai berkenaan. Jadi, apakah penjelasan yang anda boleh berikan yang paling logik tentang fenomena ini?

MAKAM LAMA BERHAMPIRAN GUA KELAMBU DAN GUA BUNIAN

Di kawasan Gua Kelambu dan Gua Bunian, ada lokasi berhampiran terdapat beberapa makam dan kubur lama yang dikatakan Makam Diraja dan makam orang-orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam sistem pemerintahan Langkasuka pada ketika itu.

Biasanya di istana-istana, kawasan makam diraja di mana ia merupakan tempat bekas Sultan disemadikan terletak tidak jauh dari kawasan istana.

Dapat dilihat dengan jelas satu makam yang mempunyai dua batu nisan yang berukir tapi sudah amat usang serta ada tertera tahun pada batu nisan itu 997 Masihi.

Amat jelas ia adalah sebuah kubur lama. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ada kajian intensif dilakukan ke atas makam-makam ini untuk mengenalpasti ia makam milik siapa dan kepunyaan siapa.

Guide saya, Selendang Delima menunjukkan kawasan makam lama yang ada berhampiran dengan Gua Kelambu di kaki Gunung Pulai.

Terdapat cerita bahawa ada idea untuk menjadikan kawasan kaki Gunung Pulai itu sebuah kuari untuk mengeluarkan produk batu.

Bagaimanapun, penduduk di sekitar kawasan Gunung Pulai tidak bersetuju dan mahu keindahan gua-gua di sini terus dipelihara dan dikekalkan bagi menjadikan ia warisan dan legasi untuk anak cucu kita di masa akan datang.

Antara keindahan alam sekitar yang ada di kaki Gunung Pulai, lokasi gua-gua indah di daerah Baling, Kedah ini.

Pada pendapat saya, jika diteruskan pembinaan kuari sudah pasti semua keindahan gua khususnya batuan-batuan yang cantik akan terjejas malahan mungkin akan berkubur terus selama-lamanya.

Biarlah keindahan gua ini terus terpelihara dan generasi akan datang ratusan tahun akan datang masih boleh menyaksikan keindahannya.

#itbkedah #tourismproductivitynexus #mpc #mita #travelmalaysia #travelkedah #tahunmelawatmalaysia2020 #visitmalaysia2020 #travelwriter #travelblogger #malaysiatrulyasia #kedahdarulaman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *