June 3, 2023

Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu Tarikan Unik Beli Juadah Asli Negeri Kelantan

4 min read

 

Negeri Kelantan telah sinonim dengan nama Negeri Cik Siti Wan Kembang dan juga Taman Serendah Sekebun Bunga sejak dulu lagi. Ia juga menjadi tempat kelahiran satu daripada khazanah budaya negara kita yang cukup disukai ramai iaitu Dikir Barat.

Negeri berkenaan juga sudah terkenal dengan pantai-pantainya yang cantik dan juga lokasi membeli-belah terkemuka berhampiran dengan sempadan Golok iaitu Pengkalan Kubor.

Pantai yang biasa kita dengar namanya seperti Pantai Cahaya Bulan (PCB) yang dulunya dikenali dengan nama Pantai Cinta Berahi, Pantai Irama di Bachok dan juga Pantai Tok Bali yang terkenal dengan kecantikannya.

Pasar Siti Khadijah yang popular juga sentiasa jadi kunjungan orang ramai yang datang ke ibu negeri Kelantan, Kota Bharu.

Orang ramai kini perlu menghalakan kegemaran mereka ke satu tarikan yang tidak kurang auranya dan semakin mendapat tempat dalam kalangan orang Kelantan iaitu Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu yang terletak tidak jauh dari Kota Bharu.

Para pengunjung membeli juadah dari perahu yang datang ke Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu untuk berniaga.

Pasar terapung yang unik ini terletak di Cerana Villa Resort di Jalan Raja Sakti kira-kira 11 kilometer dari ibu negeri.

Ia diadakan pada setiap hari Sabtu bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 1 tengah hari.

Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu amat unik kerana jualan barangan dijual dari bot peniaga yang datang dari sekitar tempat peranginan itu menggunakan laluan Sungai Pengkalan Datu. Cerana Villa Resort terletak betul-betul di tepi sungai berkenaan.

Cerana Villa Resort merupakan produk pelancongan di Kelantan dan pengusahanya merupakan peserta program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) yang diadakan di Kelantan yang berlangsung pada 18 hingga 20 Mac lepas di Kota Bharu.

Biasanya, kalau pasar terapung di negara jiran yang biasa orang ramai akan membeli jualan dari darat atau tebing sungai atau kawasan seperti jeti tapi di Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu, kedua-dua belah pelanggan dan penjual akan sama-sama terapung.

Penjual di atas bot dan sampan manakala pembeli di atas pelantar terapung yang menempatkan Restoran Terapung Cerana Villa.

Pengurus Cerana Villa Resort, Mohd Asri Husin berkata pasar terapung ini merupakan satu langkah untuk menunjukkan keunikan negeri Kelantan kepada orang ramai teristimewanya kepada pelancong dari luar yang datang ke negeri Kelantan.

Menurut beliau, pelancong dari luar dari negeri selain Kelantan sudah mula datang ke pasar terapung ini dengan menaiki bas persiaran dan ada yang memandu sendiri ke Kelantan semata-mata hendak datang ke Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu.

“Kami menghidupkan resort ini dengan prinsip dari perkataan Ceria dan pasar terapung ini adalah dari simbolik huruf E iaitu Eco apabila tarikan pelancongan di tempat peranginan ini melibatkan semua penduduk dan peniaga untuk sama-sama menerima manfaat kesan daripada penganjurannya.

“Selain itu, jika huruf C ialah melambangkan Culture iaitu budaya kerana di Cerana Villa sentiasa menyajikan persembahan budaya negeri kepada orang ramai seperti Dikir Barat dan Rebana Ubi, E ialah Eco tadi manakal R ialah Retreat.

“Kita mahu Cerana Villa Resort menjadi lokasi pilihan untuk pelbagai pihak menjalankan program syarikat mereka untuk membawa kakitangan bercuti dan berehat seketika dari tugas, manakala I ialah Islam dan A adalah Agro, Kita juga ada mengadakan Pasar Tani Agro Pelancongan di kawasan berhampiran tempat peranginan untuk orang ramai membeli produk Agro atau pertanian,” katanya.

Para pengunjung boleh membeli macam-macam jenis makanan negeri Kelantan yang sentiasa kaya dan sentiasa tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Selain Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu, Cerana Villa turut ada unit penginapan yang unik serta cantik di tepi Sungai Pengkalan Datu yang menyajikan ketenangan sungai yang penuh bersejarah itu.

Anda boleh memilih unit penginapan jenis villa dan kabin dengan pemandangan lembangan sungai yang amat cantik sebagai pemandangan anda untuk mencuci mata.

Bukan sahaja penginapan, Cerana Villa juga ada restoran terapung yang menghidangkan sajian makanan yang lazat ala-ala Thailand yang popular di negeri Kelantan dengan harga yang berpatutan dan makanan yang sedap.

Jika anda ingin menyusuri Sungai Pengkalan Datu dengan menaiki bot Perahu Kolek, anda boleh menikmati pengalaman menaiki bot di sungai berkenaan dan pergi melawat beberapa tarikan menarik di sekitar Pengkalan Datu.

Anda boleh melawat Pasar Nelayan Pulau Gajah yang terletak tidak jauh dari tempat peranginan Cerana Villa Resort. Ia hanya menjual ikan-ikan segar yang ditangkap oleh nelayan di perkampungan berkenaan.

Ikan-ikan yang ditangkap biasanya tidak dibawa ke pasar tapi ia hanya dijual kepada orang ramai di pasar berkenaan sahaja tanpa diberikan kepada orang tengah.

Suasana dalaman Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah.

Selain pasar itu, orang ramai akan dibawa melawat ke Masjid Ar-Rahman yang tersergah dengan seni pembinaan Islam dan Melayu. Masjid berkenaan terletak di pulau berkenaan yang ada di Sabak. Masjid itu turut menampilkan gabungan hiasan binaan dari empat negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki.

Jika bertandang ke Cerana Villa Resort, anda boleh mengenali semua sudut tentang budaya negeri Kelantan serta keindahan alam sekitar negeri berkenaan hanya dengan bertandang ke satu tempat sahaja iaitu Cerana Villa Resort. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *