Che Det Walk : Tarikan Baru Jalan-Jalan Kaki Hayati Sejarah Alor Setar
3 min read
Tahukah anda di Alor Setar kini ada tarikan pelancongan baru yang amat menarik? Di ibu negeri Kedah Darul Aman itu kini ada Che Det Walk iaitu perjalanan berjalan kaki di sekitar Alor Setar selama kira-kira tiga jam sambil melihat kiri kanan bangunan dan tempat bersejarah.
Kami dapat merasai pengalaman berjalan kaki dalam sesi Che Det Walk bersama-sama dengan ejen pelancongan dari daerah Satun di Thailand yang hadir untuk program pertemuan usahawan dan usahawan (B2B) yang akan diadakan di Kangar, Perlis esok.
Platform Tourism Productivity Nexus (TPN) diwakili Pengerusinya Uzaidi Udanis menyambut delegasi dari Satun di pintu masuk sempadan ke Malaysia di Wang Kelian, Perlis. Delegasi dari negara jiran disambut dengan paluan gendang, tiupan serunai dan Bunga Manggar di pintu sempadan.

Mereka kemudian dibawa ke Alor Setar di Masjid Zahir yang merupakan masjid yang penuh dengan sejarah sebelum memulakan Che Det Walk.
Para ejen berkenaan teruja apabila mengetahui mereka akan berjalan kaki di bandar Alor Setar untuk melihat persekitaran sejarah dan warisan yang ada pada bangunan-bangunan lama yang tersergam di bandar berkenaan.
Alor Setar kini bukan hanya setakat Pekan Rabu tetapi ia kini bakal meriah dengan adanya Che Det Walk.
Sama seperti bersejarahnya Che Det Walk ini, kembara jalan kaki ini bermula di Masjid Zahir yang merupakan Masjid Negeri di Kedah ini. Ia terletak di perkarangan Istana Pelamin.
Masjid ini dibina pada tahun 1912. Tanah berdirinya masjid ini ialah tempat bersemadinya pejuang perang negeri Kedah yang gugur ketika berperang dengan Siam pada tahun 1821.

Ada tiga lokasi Che Det Walk yang amat menarik untuk diperhatikan, diteliti dan diingat jalan penceritaan sejarahnya. Memori itu boleh digunakan untuk diceritakan semula kepada generasi yang lebih muda dan diwariskan kepada mereka untuk menyampaikan cerita yang sama ke generasi akan datang.
Selain Masjid Zahir, lokasi yang istimewa ialah Monumen Di Sini Bermulanya Alor Setar kerana di situlah tanda lahir berdirinya sebuah daerah yang kini gah sebagai ibu kota negeri Kedah.
Monumen itu didirikan di lokasi alor atau anak sungai yang berhampirannya ada pokok Setar di mana berasalnya nama Alor Setar.
Kemudian lokasi ketiga yang amat istimewa ialah Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad yang merupakan persinggahan terakhir Che Det Walk ini.
Kompleks ini mempunyai lima pusat pameran yang mempamerkan sejarah hidup serta kegemaran-kegemaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri pada ketika ini buat kedua kalinya dalam sejarah selepas kali pertama memegang jawatan sama dari tahun 1981 hingga 2001.
Ia termasuk lokasi rumah kelahiran beliau sendiri yang turut mempamerkan artifak serta peralatan yang bersejarah yang pernah digunakan oleh Tun Dr Mahathir dan keluarga beliau ketika menetap di rumah berkenaan.

Bagi para ejen pelancongan dari Thailand, mereka berkata mereka kerap kali ke Alor Setar ketika membawa pelancong datang tetapi kali ini kali pertama mereka berjalan kaki meninjau sekitar Alor Setar dan menelusuri sejarahnya. Biasanya, kalau datang mereka hanya ke Pekan Rabu untuk membeli-belah sahaja.
Kehadiran para ejen pelancongan dari Thailand ialah usaha industri pelancongan di Malaysia melalui TPN untuk mempertemukan penggiat industri pelancongan negara dengan para ejen dari negara jiran supaya mereka dapat menjalankan perniagaan serta menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Malaysia.
Dengan produk pelancongan seperti Che Det Walk ini bukan sahaja ia boleh menarik pelancong dari negara jiran, ia juga berpotensi untuk menarik pelancong dari negara Eropah serta negara-negara lain untuk datang dan mengenal sejarah Alor Setar dan sejarah hidup Perdana Menteri Malaysia sendiri.

Bagi anda yang ingin merasai pengalaman Che Det Walk, anda boleh merasainya dan dibawa oleh pemandu pelancong yang boleh menggunakan bahasa yang anda selesa.
Alor Setar kini bukan hanya setakat Pekan Rabu tetapi ia kini bakal meriah dengan adanya Che Det Walk.
#itbperlis #kedah #alorsetar #travelmalaysia #masjidzahir #visitmalaysia2020 #malaysiatrulyasia