September 26, 2023

Program ITB dan B2B Perlis Cipta Sejarah Termeterai Kerjasama Pengusaha Pelancongan Malaysia dan Thailand

3 min read

Program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Perlis dan program pertemuan perniagaan antara penggiat industri pelancongan Malaysia dan Thailand (B2B) mencatat sejarah apabila kejayaan direkodkan pada kedua-dua program yang diadakan berturut-turut.

Ini kali pertama dua program berkenaan diadakan sebegitu tidak seperti kebiasaan apabila ITB diadakan berasingan dengan program pertemuan B2B. Program ITB diadakan bermula 9 hingga 10 Oktober manakala program B2B bersambung pada 11 Oktober iaitu semalam.

Ini adalah kejayaan besar bagi platform Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam sejarah penganjuran ITB yang bermula sejak awal tahun ini di Pulau Langkawi sebagai destinasi penganjuran pertama.

Pada program ITB, kejayaan ditempa apabila program jelajah jalan kaki Che Det Walk pertama kali diadakan dengan penyertaan daripada peserta luar negara iaitu 35 orang ejen pelancongan dari Satun, Thailand sama-sama berjalan kaki dari Masjid Zahir ke Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir di Alor Setar, Kedah.

Ejen pelancongan Thailand bergambar di hadapan Masjid Zahir di Alor Setar sebelum memulakan Che Det Walk.

Tidak cukup dengan itu, begitu banyak urusniaga pelancongan di antara pengusaha Malaysia dan Thailand termeterai pada pertemuan B2B apabila loceng silih berganti berbunyi menandakan ada urusan perniagaan telah terjalin selepas selesai perbincangan kedua-dua pihak.

Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis dalam ucapannya menggesa negara jiran Malaysia itu membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia memandangkan ketika ini mata wang Baht lebih tinggi nilainya berbanding Ringgit Malaysia.

“Kalau Singapura boleh menghantar datang ke Malaysia hampir 11 juta orang, Kalau Indonesia lebih kurang 4 juta, inikan Thailand negara yang gah negara yang kini menikmati nilai mata wang Baht berbanding dengan mata wang Ringgit.

Pengerusi atau Champion TPN Uzaidi Udanis semasa berucap kepada para penggiat industri Malaysia dan Thailand di Kangar, Jumaat lepas.

“Saya rasa kita boleh ambil peluang untuk menerima lebih ramai pelancong ke Malaysia terutama daripada Satun,” katanya dalam majlis penutup program B2B dan ITB Perlis di Kangar pada Jumaat lepas.

Beliau berkata bagaimanapun semua itu adalah mustahil jika tiada kerjasama daripada para pemain industri sendiri untuk meningkatkan lagi kualiti industri pelancongan bukan sahaja di Malaysia malahan di Thailand.

Sehari sebelum itu, delegasi ejen pelancongan dari Thailand disambut di pintu masuk sempadan di Wang Kelian yang menghubungkan Malaysia dan Thailand sebelum dibawa ke Alor Setar menyertai Che Det Walk.

Delegasi Thailand dan wakil dari TPN bergambar bersama di pintu masuk sempadan Thailand-Malaysia di Wang Kelian, Perlis.

Pada sesi B2B pula, jika ada termeterai kerjasama perniagaan antara ejen pelancongan Thailand dan pengusaha pelancongan Malaysia para panel dari pihak TPN akan memberikan cop pada borang dan kemudian membunyikan loceng menandakan kejayaan telah tercipta.

Sebelum program bermula pada delegasi dari Thailand dipersembahkan dengan tarian kebudayaan negeri Perlis iaitu Tarian Canggung oleh para peserta ITB dan pengusaha pelancongan dari Malaysia.

Ini adalah kerjasama pertama yang dimeterai pada sesi B2B di Kangar, Jumaat lepas di antara wakil Ants Hotel Nurul Aiman Haziqah Abdullah dan wakil The One Boutique Hotel di Satun, Nawaphan Chadlee.

Sebaik bermula sahaja program B2B, loceng tidak berhenti dibunyikan oleh para panel iaitu Isvaran Ramasamy, Muzammil Mardzuki dan Ahmad Najib Ariffin yang juga merupakan jurulatih bengkel ITB.

Pertemuan B2B melibatkan pengusaha pelancongan Malaysia dari Perlis, Kedah dan Perak.

Program ITB dan B2B di Perlis dianjurkan oleh TPN di bawah MPC untuk meningkatkan produktiviti pelancongan ke dalam negara dengan matlamatnya membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

ITB Perlis adalah program edisi ke-14 selepas edisi Miri, Sarawak. – Sepatah Dua

#itbperlis #kangar #tourismproductivitynexus #mita #mpc #visitmalaysia2020 #tahunmelawatmalaysia2020 #tahunmelawatperlis2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *