Delegasi Tourism Productivity Nexus Terima Anugerah Penarafan Tertinggi 3 Bintang Bagi Program ITB Di Bali, Indonesia
2 min read
Malaysia mencatatkan sejarah dalam bidang kualiti dan produktiviti apabila menerima dua anugerah pada Asia Pacific Quality Organization International Conference (APQO IC) ke-25 dan International Quality and Productivity Convention (IQPC) 2019 yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 13 hingga 17 Oktober lepas.
Delegasi Malaysia dianggotai oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarahnya Ab Rahim Yusoff dan turut serta ialah Pengerusi platform Tourism Productivity Nexus (TPN) Uzaidi Udanis yang juga merupakan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) serta anggota delegasi lain.
Mereka menerima Anugerah Penarafan 3 Bintang untuk program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) 2019 iaitu bengkel intensif untuk bimbingan kepada para pengusaha industri pelancongan untuk pelancongan ke dalam Malaysia.
Penarafan 3 bintang adalah penarafan tertinggi dalam persidangan antarabangsa itu yang merupakan persidangan tentang kualiti pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.
Malaysia menyertai persidangan itu bersama banyak negara lain yang jauh terkenal antaranya Australia, China, Jepun, New Zealand, Rusia, Arab Saudi, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.
Penilaian dibuat oleh pasukan penilai Anugerah Sumbangan Ke Arah Kecemerlangan (ACE) pada program berkenaan.
Program ITB diberikan anugerah sebagai program inovatif berdasarkan penilaian ketat mengikut kriteria tertentu antaranya definisi projek atau produk, impak terhadap produktiviti, kemapanan dan keseragaman, inovasi dan impak ke atas objektif organisasi.

ITB yang mula diadakan sejak Januari di Langkawi sebanyak 14 edisi sehingga ke edisi terakhir di Kangar, Perlis memberikan bimbingan intensif dan rapat dengan pengusaha industri pelancongan dalam usaha membangunkan pakej pelancongan yang segar dan unik untuk pelancong dari luar negara untuk datang ke Malaysia.
Ia diadakan di bawah platform TPN dipimpin oleh Uzaidi selaku wakil pihak industri membimbing secara khusus dari segi pakej, harga dan aktiviti untuk para pengusaha serta dipromosikan menggunakan gaya pemasaran terkini iaitu secara dalam talian melalui platform digital.
Selain anugerah berkenaan, delegasi Malaysia juga menerima Anugerah The Most Favourite Team. Ada dua lagi kategori anugerah diberikan dalam persidangan berkenaan iaitu Best Presentation Team dan Best Performance Team.
The Most Favourite Team merujuk kepada Malaysia yang diwakili oleh TPN sebagai pasukan baru dengan program yang inovatif serta ia mampu bertahan lama serta memang terbukti ia boleh meningkatkan produktiviti industri pelancongan negara.

Pada sesi pembentangan oleh delegasi Malaysia, Uzaidi dan Isvaran mengenakan pakaian kebudayaan dan tradisional Malaysia iaitu Baju Melayu dengan memberikan pembentangan terperinci dan menyeluruh tentang platform TPN serta program ITB yang diadakan di seluruh negara.
Anugerah yang diterima oleh Malaysia pada persidangan itu membuktikan program ITB boleh membantu penggiat industri pelancongan dari pelbagai cabang tidak kira ejen pelancongan, operator produk, pengusaha hotel ataupun pengusaha perkhidmatan kenderaan pelancongan.

Semuanya boleh menyertai mendapat pengetahuan tentang proses menghasilkan pakej pelancongan dengan tarikan yang baru dan segar untuk membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia untuk mencapai sasaran 30 juta pelancong serta RM100 bilion dari pulangan kepada negara pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
1 thought on “Delegasi Tourism Productivity Nexus Terima Anugerah Penarafan Tertinggi 3 Bintang Bagi Program ITB Di Bali, Indonesia”