Seramai 68 Orang Pelajar Jepun Di Homestay Kampung Ayer Limau Merasa Kehidupan Kampung, Kelapa Sawit Pun Dimakan!!
4 min read
Homestay Kampung Ayer Limau di Masjid Tanah Melaka terus menjadi lokasi tumpuan antarabangsa apabila satu rombongan pelajar Jepun seramai kira-kira 68 orang datang ke sana dan menghabiskan masa satu malam mengikuti program di homestay berkenaan yang pengisiannya amat dekat dengan budaya dan adat sopan Malaysia.
Kesemua pelajar berkenaan ialah dari Ikubunkan Global High School, Tokyo di Jepun datang ke Malaysia selepas sembilan bulan menghabiskan masa di New Zealand ,menjalani penggal persekolahan mereka di sana. Mereka datang ke Melaka sebagai satu antara tempat persinggahan mereka di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan kemudian ke Johor Bahru.

Sebaik mereka sampai di homestay berkenaan pada 30 Oktober lepas, para pelajar berkenaan disambut meriah oleh warga Kampung Ayer Limau dengan Bunga Manggar diketuai oleh Pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau Zohaime Muhamad Sori.
Sempena cuti sekolah, tempahlah pengalaman anda untuk menghabiskan masa gaya kampung dengan bermacam-macam aktiviti di Homestay Kampung Ayer Limau, dengarnya kalau beritahu anda tahu tentang mereka di portal Sepatah Dua ni, dapat diskaun nanti.
Para pelajar ini sudah berada di perantauan selama lebih sembilan bulan jauh dari negara asal mereka, jadi mereka membawa beg pakaian yang bersaiz amat besar dan sudah tentunya amat berat. Beg diangkat daripada bas oleh penduduk kampung dan dikumpulkan sebelum satu majlis menyambut kedatangan mereka dibuat.
Hendak dijadikan cerita, orang kampung terpaksa mengerahkan mana-mana penduduk yang memiliki kenderaan pacuan empat roda ala trak pikap untuk datang untuk bantu mengangkat beg para pelajar itu yang amat berat.

Petang itu juga sebanyak 17 keluarga menerima anak angkat mereka untuk bersama-sama menghabiskan masa di rumah kampung dengan gaya hidup budaya orang Melayu di Malaysia ini.
Para keluarga angkat akan memasak makan malam dan semua anak-anak angkat dari Jepun akan menikmati masakan kampung. Di rumah keluarga angkat, pelajar perempuan akan mencuba memakai Baju Kurung sementara pelajar Melayu memakai Baju Melayu pula.

Pada malam itu, wakil guru sekolah berkenaan Minako Miyasaka melawat semua pelajarnya di rumah keluarga angkat masing-masing dan melihat mereka mencuba memakai pakaian tradisional dan juga turut makan malam.
Keesokannya, para pelajar dari Ikubunkan Global High School mengikuti program merasai pengalaman melakukan aktiviti kegemaran orang kampung seperti memasak, menganyam bakul, menoreh getah dan memahami tentang pokok kelapa sawit.
Mereka diajar buat roti canai, masak Onde-Onde Buah Melaka dan mencuba memakan tebu.


Pelbagai gelagat mereka apabila cuba menebar roti canai. Ada pelajar perempuan yang baru belajar membuat Buah Melaka sudah pandai memasaknya dengan dibantu oleh para wanita yang merupakan tulang belakang untuk Homestay Kampung Ayer Limau.
Acara terakhir untuk pelajar-pelajar itu ialah mereka berjalan kaki kira-kira 1 kilometer pada waktu pagi ke ladang kelapa sawit dan di sana mereka diterangkan tentang buah kelapa sawit, pokok kelapa sawit dan perihal minyak sawit. Kemudian mereka berjalan kaki semula ke rumah di mana mereka mula-mula tiba di homestay berkenaan.

Seorang wakil pelajar dari Ikubunkan Global High School di Tokyo, Hikari Shibutani berkata ketika tiba di Kuala Lumpur beliau nampak banyak bangunan tinggi dan amat sukar untuk melihat langit yang membiru tetapi apabila ke Homestay Kampung Ayer Limau Hikari dapat melihat langit dan suasana kampung yang menghijau.
“Saya boleh juga nampak burung-burung, ayam dan banyak binatang di kawasan kampung, masakannya walaupun nampak agak pedas tetapi pedasnya tidaklah terlalu kuat dan saya amat menyukai suasana di sini,” katanya yang amat fasih berbahasa Inggeris.


Kesemua pelajar Ikubunkan Global High School dari Tokyo, Jepun kemudian meneruskan pengembaraan mereka ke Johor Bahru sebelum ke Singapura dan kemudian berlepas ke Cebu, Filipina.
Program mencuba pengalaman hidup sebagai orang kampung di Malaysia dengan pelbagai aktiviti merupakan antara produk utama pelancongan di Homestay Kampung Ayer Limau untuk dirasai oleh pelancong dalam dan luar negara.
Anda yang mempunyai organisasi tempatan dan antarabangsa boleh menempah pakej-pakej tertentu lengkap dengan aktiviti seperti ini.
Pihak Homestay Kampung Ayer Limau yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Budaya dan Seni akan membantu anda untuk menghasilkan pakaj yang berbaloi serta menikmati pengalaman yang wajib tak boleh lupa. – Sepatah Dua