September 26, 2023

Santika Hulu Langat Angkat Budaya Jawa, Melayu dan Malaysia Jadi Elemen Utama Dengan Tarikan Unik Muzik Angklung

3 min read

Tahukah anda? tidak jauh dari Ampang, Selangor di Hulu Langat ada satu tempat peranginan untuk anda menginap dan merasakan suasana seperti di kampung keluarga anda. Keadaannya bukan seperti pusat peranginan yang dibina menyerupai kampung tetapi memang rupanya seperti kampung biasa yang penuh kehijauan.

Tempat yang admin maksudkan ialah Santika yang terletak di Kampung Jawa di dalam daerah berkenaan yang terkenal dengan lokasi perkelahan terkenal seperti Air Terjun Sungai Gabai dan Sungai Congkak. Santika Hulu Langat mengangkat budaya Jawa melalui pakaian, budaya Sunda melalui muzik dan budaya Melayu dan Malaysia melalui makanan.

Santika Hulu Langat mengangkat budaya Jawa melalui pakaian, budaya Sunda melalui muzik dan budaya Melayu dan Malaysia melalui makanan.

Santika Hulu Langat ialah satu produk pelancongan yang menyertai Inbound Tourism Bootcamp (ITB) di Selangor dari 17 hingga 19 Jun lepas.

Pemilik dan Pengurus Santika Hulu Langat Hasan Suyat yang juga peserta ITB Selangor di Subang pada Jun lalu.

Pemilik Santika Hulu Langat, Hasan Suyat berkata sejarah tempat itu bermula pada 2011 dengan nama Orchard Homestay dengan konsep secara homestay di bawah Kerajaan Negeri Selangor dengan 13 buah rumah pada awalnya, disebabkan permintaan yang banyak dari pasaran tempatan pihak Santika membina rumah tamu tambahan.

Beliau memaklumkan disebabkan terma homestay perlu digunakan apabila tetamu menginap di rumah dengan ada tuan rumah di dalamnya, pihaknya mengubah nama daripada Orchard Homestay kepada Orchard Santika. Pada tahun ini, namanya ditukar kepada hanya Santika.

Rumah kampung yang diberi nama Embah antara contoh unit penginapan rumah kampung yang ada di Santika Hulu Langat.
Santika Hulu Langat dengan suasana kampungnya.

“Dari mana dapat nama Santika? Nama Santika kita dapat daripada nama moyang saya iaitu belah emak saya iaitu namanya Roliah binti Siraj bin Santika dan kalau diikutkan Allahyarham Santika itu sendiri tidak pernah menjejakkan kaki di Tanah Melayu atau di Malaysia ini.

“Haji Siraj ada datang ke sini dan bersama-sama dengan anak buahnya dan boleh dikatakan di satu kawasan Kampung Jawa ini adalah seluruhnya keturunan Haji Siraj atau keturunan Santika dan daripada situlah kita dapat idea untuk menggunakan nama Santika,” katanya.

Kawasan Santika berkeluasan 7 ekar dan ada unit rumah penginapan berbentuk rumah kampung Melayu seperti Rumah Melayu dan Rumah Limas.

Ada satu tarikan utama di Santika iaitu di sini amat popular dengan permainan Angklung yang mana ia diminati oleh Hasan sendiri untuk bermain alat muzik itu.

Santika Hulu Langat mengangkat budaya Jawa melalui pakaian, budaya Sunda melalui muzik dan budaya Melayu dan Malaysia melalui makanan.

Di Santika, ada satu acara istimewa iaitu Sarapan Santika yang diadakan setiap hujung minggu menampilkan makanan tradisional Melayu yang biasa dihidangkan semasa sarapan untuk pengunjung yang menginap di Santika dan untuk pengunjung dari luar.

Hidangan makanan tradisional untuk acara Sarapan Santika.

Selain itu semasa acara Sarapan Santika, pada masa itu ada persembahan Angklung iaitu alat muzik tradisional dan ia dimainkan secara langsung di dewan di mana semua orang sedang menikmati sarapan pagi berkenaan.

Alat muzik Angklung dimainkan oleh pemain Angklung profesional, Zack Osman pada setiap masa sarapan Santika diadakan. Menurut Hasan, pada 12 Disember iaitu tarikh 12/12 nanti ada 100 orang tetamu akan bermain Angklung pada acara Sarapan Santika dari Idrissi International School.

Hasan turut mengajar orang ramai yang berkunjung ke Santika Hulu Langat bermain Angklung.
Pemain Angklung Zack Osman bermain Angklung di Santika Hulu Langat untuk acara Sarapan Santika.

Santika kini sudah menjadi lokasi tumpuan dunia apabila pengunjung dari pelbagai negara sudah pun datang dan menikmati pengalaman budaya Melayu, Malaysia dan Jawa di sini.

Mereka yang dari rantau Scandinavia, negara Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Jerman, Perancis, Kanada, Singapura, Rusia, Turki, Indonesia, dan Lithuania antara yang sudah menjejakkan kaki ke sini.

Organisasi besar juga banyak yang datang dan mengadakan program mengenali budaya di Santika Hulu Langat antara yang besar iaitu syarikat petroleum Rusia Gazprom Oil & Gas serta syarikat gas dari Korea Selatan, Kogas.

Syarikat dari China dan Jepun juga ada mengadakan program di Santika Hulu Langat ini.

Suasana Dewan Santika ketika acara sarapan Santika berlangsung setiap hujung minggu bermula pukul 8.30 pagi.

Bagi anda yang sukakan suasana kampung, dan betul-betul hendak rasa macam balik kampung Santika Hulu Langatlah pilihan tepat kerana ia amat dekat dengan ibu negara serta dikelilingi kehijauan yang mendamaikan.

Ada juga kolam renang yang disediakan untuk kanak-kanak bermandi manda selain pohon buah-buahan yang merendang di sekitar kawasan Santika Hulu Langat. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *