September 27, 2023

Kem Akademi Azam pentingkan bakti pada orang lain khususnya anak yatim dan mahu jadi tarikan untuk Hammockers

3 min read

Jika anda ada satu kawasan luas dan ia adalah sebuah pusat peranginan yang cantik di tepi pantai dengan suasana yang sentiasa berangin, biasanya sudah pasti seseorang itu akan memaksimakan tempat berkenaan sebagai tempat pelancongan serta mahu membuat keuntungan.

Tetapi pendekatan itu amat berbeza bagi Kem Akademi Azam di Kuantan yang merupakan sebuah tempat peranginan yang amat cantik di tepi Pantai Sepat, Kuantan, Pahang kerana kawasan resort yang unik itu bukanlah semata untuk mengaut keuntungan dari industri pelancongan semata-mata.

Pengasas Kem Akademi Azam, yang lebih dikenali sebagai Pak Nik.

Bagi pemiliknya iaitu Ustaz Nik Mohd Azam Nik Wajis, beliau lebih gembira dan berasa amat bahagia jika pusat peranginan Kem Akademi Azam itu lebih memberikan pengalaman menarik kepada golongan anak yatim untuk mengadakan program di sana di samping mereka dapat berseronok di tepi pantai.

Jika anak anda berminat bermain dengan kucing, di Kem Akademi Azam juga ada banyak kucing yang baik dan manja.

Saya ada singgah dan menghabiskan masa di kem berkenaan yang suasana dalam umpama dalam taman dengan bangunan-bangunan di kem berkenaan amat unik seperti chalet yang dibina daripada kayu dan yang paling menarik, menghadap ke arah pantai.

Suasana di kawasan sekitar dan chalet di Kem Akademi Azam di Pantai Sepat, Kuantan.

Kem Akademi Azam ada 40 unit chalet sebuah-buah dan bilik, empat buah dormitori dengan setiap satunya boleh memuatkan 35 orang dan ada empat buah dewan.

Gambar spesis rama-rama yang terdapat di dalam Kem Akademi Azam yang kelihatan seperti taman yang cantik di tepi pantai yang sentiasa berangin dan nyaman.

Beliau yang mesra dipanggil Pak Nik ketika ditanya mengapa beliau lebih senang jika mengadakan program bersama anak yatim, beliau berkata itu cara beliau berasa bahagia dengan berkongsi apa yang ada di pusat peranginan miliknya itu khususnya memberikan kegembiraan kepada golongan berkenaan.

Apa yang menariknya di Kem Akademi Azam ialah, di kem berkenaan angin pantai boleh dikatakan bertiup sepanjang masa dan amat jarang sekali di sana tidak ada angin bertiup. Biasanya di tepi pantai, ada juga masa dan musimnya angin tidak bertiup dan keadaan sedikit panas tetapi tidak di Kem Akademi Azam.

Keadaan di Kem Akademi Azam sentiasa berangin dan nyaman ditambah pula dengan pepohon kelapa yang banyak menjadikan kawasan kem berkenaan teduh.

Pak Nik berkata di kem berkenaan ia lebih memberikan fokus kepada program motivasi, kepimpinan serta pembinaan pasukan serta program melibatkan hari-hari besar contohnya hari keluarga, program syarikat dan juga program sekolah serta institusi pengajian tinggi.

Jika anda dan keluarga hendak merasai pengalaman tinggal di dalam kawasan seperti taman dengan daun nyiur pepohon kelapa melambai-lambai, datanglah ke Kem Akademi Azam di Pantai Sepat ini kerana, suasana di sana sentiasa tenang.

Jika anak anda berminat bermain dengan kucing, di Kem Akademi Azam juga ada banyak kucing yang baik dan manja.

Dua ekor anak kucing ini antara yang paling manja yang akan mahu mendekati anda jika anda di Kem Akademi Azam.

Pak Nik adalah peserta program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Pahang di Kuantan yang diadakan pada tahun lepas.

Bercakap tentang program ITB, beliau berkata cara kerja dan pemikiran beliau mengendalikan Kem Akademi Azam berubah selepas mengikuti ITB kerana beliau lebih banyak berfikir dan merancang untuk mewujudkan tarikan baru yang lebih segar untuk kedatangan para pelancong khususnya pada Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun ini.

“Saya melihat kepada satu hari nanti, kem ini akan menjadi tempat tarikan untuk para penggemar mereka yang suka tidur menggunakan hammock kerana di sini ada banyak pokok, jadi saya akan ikat hammock supaya para hammockers boleh menikmati ketenangan di Kem Akademi Azam dengan hammock mereka,” katanya.

Selain itu, di Kem Akademi Azam, mereka ada sebuah kolam ikan yang sebelum ini merupakan sebuah kolam renang dan kini ia menempatkan 1,300 ekor ikan iaitu 1,000 ekor Ikan Talapia Merah dan kira-kira 300 ekor ialah Ikan Patin yang diternak untuk dijual dan kini saiz ikan-ikan di dalamnya sudah besar.

Kolam ikan yang asalnya sebuah kolam renang di Kem Akademi Azam yang penuh dengan Ikan Talapia Merah dan Ikan Patin.

Menurut Pak Nik, tidak lama lagi beliau akan menangkap ikan-ikan berkenaan untuk dimasak dan jika sedap nanti ia akan dijual kepada orang ramai.

Jika ada pertubuhan berasaskan kebajikan kepada anak yatim, dan mereka ingin mengadakan program di sana Pak Nik akan memberikan penginapan secara percuma kepada mereka semua di Kem Akademi Azam.

Kepada anda yang inginkan kelainan merasai keadaan sentiasa berangin di tepi pantai, datanglah ke Kem Akademi Azam di Pantai Sepat untuk merasai pengalaman itu dan berehat di tepi kolam ikan yang begitu unik penuh dengan pokok kiambang yang fungsinya memastikan air kolam berkenaan sentiasa bersih. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *