September 26, 2023

Min House Camp mahu jadi pusat peranginan bebas asap tahun 2020

2 min read

Bermula tahun 2020, sebuah pusat peranginan yang sudah pun menjadi tumpuan seluruh dunia untuk datang ke sini merancang untuk memastikan kawasan mereka bebas asap untuk memastikan kualiti alam semulajadi di kawasan itu terpelihara.

Pusat peranginan berasaskan organik di Kubang Kerian, Kelantan Min House Camp merancang pada tahun ini untuk menjadikan kem mereka bebas pencemaran alam sekitar khususnya asap kenderaan dengan memastikan kenderaan tidak akan dibawa masuk.

Sebelum berangkat pulang, anda mesti menghabiskan masa di Galeri Kelulut dan merasa sendiri madu Kelulut terus dari koloninya sendiri supaya lengkap kunjungan anda ke Min House Camp

Penasihat Min House Camp, Syazwan Zanini berkata kem itu menjadi tumpuan pelancong dari luar negara kerana mereka benar-benar mementingkan suasana persekitaran alam sekitar serta tumbuhan herba organik yang ditanam sendiri di dalam kawasan kem mereka tidak tercemar oleh anasir-anasir luar yang merosakkan alam sekitar.

Di sini, ada dua taman herba organik yang ditanam dengan sayur-sayuran serta tumbuhan herba yang dipelihara dengan baik juga dengan baja organik dihasilkan daripada proses kompos dan kualiti herba perlu dijaga dengan baik agar sentiasa kelihatan segar dan tidak berisiko memudaratkan bila dimakan.

Satu daripada kebun organik yang ada di Min House Camp yang ditanam dengan pelbagai sayuran dan herba.

Beliau berkata paling utama Min House Camp adalah rumah kepada lebih 20,000 Kelulut yang diternak oleh pemilik kem berkenaan Wan Noriah Wan Ramli.

Pihak pengurusan kem berkenaan turut menjual dan mengeluarkan madu kelulut yang dikeluarkan sendiri oleh mereka dan boleh dibeli.

Usaha mengurangkan pencemaran juga dilakukan untuk memastikan koloni Kelulut di dalam Min House Camp terpelihara dengan baik.

Antara koloni-koloni Kelulut yang ada di Min House Camp di perkarangan Galeri Kelulut.

“Kita hendak buat supaya kereta perlu diletakkan di luar selepas ini untuk elak asap kenderaan dari mencemarkan kawasan alam sekitar khususnya habitat Kelulut yang sudah lama ada di Min House Camp.

“Kini, kita sedang menjalankan pelbagai proses untuk memastikan perancangan itu boleh mula dibuat pada tahun ini,” katanya yang juga anak kepada pemilik Min House Camp.

Min House Camp merupakan pusat peranginan organik yang telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat serantau iaitu ASEAN Green Hotel Standard dan ASEAN Community Based Tourism Standard serta telah mendapat pengiktirafan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Min House Camp ada perancangan lain untuk menjadikan kem berkenaan sebuah resort kesihatan organik yang akan menawarkan pakej kesihatan seperti pakej kesihatan berhenti merokok serta pakej terapi stress pada satu masa nanti.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, anda memang digalakkan untuk ke Kubang Kerian, Kelantan dan menginap di Min House Camp dengan dikeliling suasana dalam kampung yang tenang dan betul-betul redup dan teduh sepanjang masa.

Pada sebelah paginya, anda boleh menikmati kenyamanan suasana pagi dan berjalan di kebun organik serta membawa keluarga anda melihat ikan-ikan guppy yang cantik yang turut dipelihara di dalam kawasan Min House Camp ini.

Sebelum berangkat pulang, anda mesti menghabiskan masa di Galeri Kelulut dan merasa sendiri madu Kelulut terus dari koloninya sendiri supaya lengkap kunjungan anda ke Min House Camp. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *