September 24, 2023

Kembara Air Terjun Pelangi lihat keindahan di depan mata antara tercantik di Malaysia dan mungkin dunia

4 min read

Di mana lagi di negara ini anda dapat melihat pelangi yang amat cantik dan jelas terbentuk di dasar air terjun kecuali di Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing, Pahang.

Banyak pihak yang terlibat dan mengenali Sungai Lembing mengakui Air Terjun Pelangi merupakan antara air terjun yang tercantik di Malaysia kerana pelangi akan terbentuk setiap masa pada waktu pagi jika ada cahaya matahari terus memancar ke air terjun berkenaan.

Dek kerana itulah, pakej mengembara hiking ke Air Terjun Pelangi dianggap pakej yang amat diminati dan menjadi pilihan ramai untuk mendaki bukit ke destinasinya Air Terjun Pelangi ini.

Keajaiban mula berlaku apabila sinaran matahari memancar menembusi titisan air yang jatuh seterusnya membentuk pelangi yang seolah-olah memang ditayangkan di atas layar batu iaitu dinding air terjun itu membuatkan ia jelas dan amat cantik.

Walaupun, lokasi ini sudah pun terkenal tapi masih ramai lagi orang ramai yang tidak tahu akan kewujudan air terjun yang hebat ini yang boleh dikatakan mungkin antara jika dipromosikan dengan betul akan menjadi tarikan pelancongan dunia.

Baru-baru ini pada 4 Januari 2020, bersama dengan syarikat JMB Prestige Services sebuah syarikat perancang percutian mengundang saya untuk sama-sama pergi dan berjalan sehingga sampai ke Air Terjun Pelangi yang benar-benar membuatkan adrenalin anda betul-betul aktif.

Perjalanan bermula tengah malam sebelumnya dari ibu kota menuju ke Kuantan saya bersama Pengurus Perancang Percutian JMB Prestige Services, Badrul Hisham Abdul Muttalib tiba di Anjung Makan Sungai Lembing destinasi pertama sebelum bermulanya kembara Air Terjun Pelangi kira-kira pukul 4 pagi.

Antara pemandangan cantik yang anda dapat lihat ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke checkpoint Lubuk Beruk.
Perjalanan menaiki pacuan empat roda berhenti seketika di satu lokasi untuk menikmati pemandangan indah matahari terbit.

Perjalanan bermula seawal Subuh sebelum matahari terbit sekitar pukul 6.45 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui laluan hutan dan berbukit selama kira-kira 1 jam menuju ke lokasi permulaan perjalanan kembara berjalan kaki.

Menaiki kenderaan itu dengan laluan sebegitu memberikan pengalaman pertama yang boleh buat anda jadi budak kecil semula bila sesekali terhentak-hentak dan kenderaan bergerak laju, memberikan anda rasa teruja serta tidak sabar hendak sampai ke air terjun yang digilai ramai itu.

Kemudian saya yang ketika itu mengikuti satu kumpulan yang merupakan klien JMB Prestige Services tiba di lokasi hentian atau checkpoint untuk memulakan aktiviti mengembara ke dalam hutan untuk sampai ke Air Terjun Pelangi. Checkpoint ini dikenali dengan nama Lubuk Beruk.

Antara spesis burung yang ada di hutan di Lubuk Beruk ini.
Jambatan di Lubuk Beruk yang menjadi tempat bermulanya hiking ke Air Terjun Pelangi sejauh kira-kira 1.2 kilometer.

Perjalanan akhir adalah sejauh 1.2 kilometer selama kira-kira satu jam berjalan menyusuri lantai kanopi hutan di kawasan Sungai Lembing.

Di peringkat 500 meter terakhir, pemandangannya mirip pendakian akhir di Hillary Step di Gunung Everest apabila hanya beberapa meter sahaja lagi untuk sampai ke puncak Everest apabila ramai orang beratur menggunakan tali mendaki batu-batuan air terjun untuk sampai ke Air Terjun Pelangi yang sudah pun ternampak di depan mata.

Trek hiking di Air Terjun Pelangi amat sesuai untuk mereka yang baru hendak bermula hiking kerana ia tidaklah sukar dan cabarannya agak adil di sepanjang laluan.

Kemudian, anda akan sampai ke lokasi di mana pemandangannya tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata apabila di hadapan mata sendiri melihat keindahan air terjun setinggi 250 meter dengan air sejuk mencurah ke bawah. Difahamkan, air terjun berkenaan adalah antara punca mata air dan hulu bagi Sungai Kuantan.

Peringkat akhir pendakian ibarat Hillary Step di Gunung Everest di Air Terjun Pelangi.

Air yang jatuh merupakan titis hujan yang halus dan tidak turun dengan laju malahan ia menjadikan kawasan sekitar Air Terjun Pelangi amat nyaman sahaja.

Keajaiban mula berlaku apabila sinaran matahari memancar menembusi titisan air yang jatuh seterusnya membentuk pelangi yang seolah-olah memang ditayangkan di atas layar batu iaitu dinding air terjun itu membuatkan ia jelas dan amat cantik.

Para pengunjung mula mengambil gambar pelangi yang terbentuk di air terjun sebagai kenangan, menyaksikan keindahan yang amat jarang ditemui di depan mata sendiri.

Jika cuaca mendung dan tiada cahaya matahari, pelangi tidak akan terbentuk serta pelangi hanya akan terbentuk sehingga pukul 10.30 pagi ekoran matahari sudah berubah keduudukan lebih tinggi.

Menambah pengalaman menarik ialah apabila anda mandi pula di air terjun berkenaan dan kemudian pihak syarikat pelancongan ada menyediakan Mee Segera dan air Milo panas ketika berada di atas sana untuk anda mengisi perut.

Di bawah air terjun setinggi ini, dengan titisan airnya yang sejuk terkena ke muka, sambil menikmati pula Maggi Hot Cup dan Milo, pengalaman yang amat unik di Air Terjun Pelangi.

Sepanjang masa anda berada di sana, anda duduklah di batu menikmati pemandangan yang amat cantik Air Terjun Pelangi di depan mata anda.

Anda boleh mendapatkan pakej bersama dengan pihak JMB Prestige Services untuk pergi ke Air Terjun Pelangi kerana mereka menyediakan pakej dengan harga yang menarik. Anda akan menikmati juga pakej berkayak, river cruise dan juga dapat menikmati bbq.

Dalam seumur hidup dan jika anda masih muda, dan ada kawan-kawan suka mengembara, ambil pakej ke Sungai Lembing dan rasai pengalaman yang amat bernilai apabila anda menyaksikan sendiri Air Terjun Pelangi di depan mata anda. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *