Abam, kau baik dan kau ada kawan pun kawan yang baik

Wahai Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, betapa dirimu begitu baik sampai kesan kebaikan itu meresap ke dalam hati sejumlah besar warga negara sampai mereka berasa resah dan sedih apabila mengetahui bahawa kau sudah meninggal dunia.

Saya berasa hari ini amat sesuai untuk tulisan ini dihasilkan dan dimuatnaik sebagai kata-kata dari saya yang mengenali Allahyarham yang amat mesra dikenali sebagai Abam hanya dari jauh dan tidak sempat berjumpa mahupun bersalam dengan beliau.

Jika roh hambaNya yang meninggal dunia mati dalam Husnul Khotimah, rohnya akan dimuliakan oleh malaikat dan ketika ia dibawa ke langit seluruh penduduk langit akan menyebut namanya sebagai seorang hamba yang dimuliakan Allah, jika seluruh penghuni langit sudah menyebut nama Syed Umar Mokhtar, sudah pasti kebaikannya itu terasa sehingga ke penduduk bumi.

Ada sekali sahaja saya melihat beliau ketika itu beliau makan di sebuah restoran di ibu negara dengan membawa ibunya sekali tetapi hati tidak kesampaian mahu menegur dan bersalam dengan Abam.

Cuma hendak beritahu, Abam, kau baik dan kau ada kawan-kawan yang amat baik juga. Achey dan Fad yang turut sama-sama menganggotai kumpulan Bocey amat menyayangi kau dan sentiasa masih menziarahi kau bila mereka ada masa kerana amat sedih dengan kehilangan kau Abam.

Saya sudah pun menziarahi pusara Abam yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak di Selangor pada saat orang ramai masih tidak putus-putus datang menziarahi. Pada masa itu, syukur kerana tidak lama lepas saya sampai Achey tiba menziarahi kubur rakan baiknya itu.

Menurut Achey, beliau baru sampai dari Jerantut, Pahang dan terus ke kubur Abam untuk menziarahinya.

Pada ketika saya berada di sana, ada satu keluarga besar dari Seremban, menutup perniagaannya di sana dan datang ke tanah perkuburan itu semata-mata untuk menziarahi kubur Abam.

“Baru rasa lega hati saya sudah dapat lihat kubur Abam, sejak dari hari dia meninggal dunia, saya rasa tak lengkap selagi tak datang,” katanya.

Achey yang datang, berdoa di sisi pusara Abam dan kemudian menyiramkan air ke kuburnya.

Kemudian, datang pula seorang lelaki dari Felda Keratong di Bandar Tun Razak di Pahang juga semata-mata mahu menziarahi kubur Abam.

Ketika saya memandu keluar untuk beredar, ada lagi dua tiga kereta baru tiba mungkin untuk tujuan sama.

Kita sudah sedia maklum, jika roh hambaNya yang meninggal dunia mati dalam Husnul Khotimah, rohnya akan dimuliakan oleh malaikat dan ketika ia dibawa ke langit seluruh penduduk langit akan menyebut namanya sebagai seorang hamba yang dimuliakan Allah, jika seluruh penghuni langit sudah menyebut nama Syed Umar Mokhtar, sudah pasti kebaikannya itu terasa sehingga ke penduduk bumi.

Begitu ramai orang yang tersentuh oleh kebaikan yang Abam lakukan sehingga kira-kira 5,000 orang membanjiri Masjid Gombak Utara dan di tanah perkuburan semata-mata ingin bersama mendoakan Abam agar rohnya diberikan rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh dan beriman.

Menurut Ali Puteh yang juga adik kepada Abam, ketika mengusung keranda Abam, katanya ada kira-kira 60 orang yang turut sama mahu mengangkat jenazah Abam, dapat sentuh dengan jari pun jadilah.

Begitulah kebaikan yang amat-amat baik.

Abam, kau baik, kawan-kawan kau pun baik.

Al-Fatihah. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *