Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pakej terbaik bantu industri pelancongan hadapi cabaran COVID-19 – MITA
2 min read
Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) menganggap Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentangkan Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad semalam sebagai yang terbaik pernah industri pelancongan negara ini terima bagi menghadapi masalah ketika ini iaitu penularan wabak COVID-19.
Berkenaan kehadiran pelancong luar ke Malaysia, MITA akan melihat pasaran dekat atau dikenali sebagai “Low Hanging Fruit” seperti dari Indonesia dan Thailand untuk menarik lebih ramai pelancong melawat Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Pihak MITA dalam satu kenyataan hari ini berkata impak negatif akibat wabak itu adalah antara cabaran yang paling besar industri pelancongan di negara ini termasuk seluruh dunia hadapi.
Presidennya Uzaidi Udanis berkata ahli berdaftar di bawah MITA mengalami sebanyak 80 peratus pembatalan tempahan sejak musim kemuncak Tahun Baru Cina sehingga sekarang.


Sebanyak 95,972 tempahan bilik hotel telah dibatalkan sehingga 9 Februari yang mengakibatkan kerugian kepada pihak industri sebanyak RM40 juta.
“Yang Amat Berhormat Tun mendengar segala cabaran dan cadangan oleh penggiat industri pelancongan.
“Beliau bukan sahaja mengambil 100 peratus cadangan kami (penggiat industri) tetapi ditambahkan Plus Plus lagi seperti memberi bantuan one-off RM600 kepada pemandu bas persiaran, pemandu pelancong dan pelepasan cukai individu sebanyak RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik.
“Ini adalah pakej rangsangan game changer untuk industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Beliau berkata pelbagai insentif yang boleh merangsang industri seperti kemudahan jaminan bantuan istimewa berjumlah RM2 bilion dan kemudahan mikro kredit RM200 juta oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) juga turut dilancarkan.
“Untuk memaksimakan impak positif dari Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, pihak MITA akan menganjurkan acara MITA e-TRAVEL FAIR 2020 yang akan dianjurkan secara digital online dari 15 Mac hingga 30 Mac nanti.
“Sebanyak 500 orang pengusaha industri pelancongan yang terdiri dari ejen pelancongan, taman tema dan hotel dari seluruh negara akan menawarkan “Harga Runtuh COVID-19″ sehingga 70 peratus diskaun untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negara,” katanya.
Pada MITA e-TRAVEL FAIR 2020 nanti pelanggan juga boleh menempah percutian dengan menggunakan baucer digital bernilai RM100 yang diumumkan semalam oleh Dr Mahathir.
Uzaidi menjangkakan lebih 100,000 orang pelanggan akan membeli pakej pelancongan domestik pada MITA e-TRAVEL FAIR 2020 nanti dengan anggaran jualan sebanyak RM20 juta.
Pelbagai acara seperti pertunjukan tarian budaya dan cabutan bertuah akan diadakan secara langsung atas talian (online) yang boleh disaksikan semua orang tanpa perlu bersesak-sesak ke dalam dewan pameran seperti kebiasaannya.
“Acara sebegini adalah pertama kali diadakan dalam industri pelancongan dan kami percaya inisiatif MITA ini boleh membantu usahawan industri pelancongan mengurangkan kos pemasaran dan meningkatkan pulangan dan jualan secepat mungkin,” kata Uzaidi.
Berkenaan kehadiran pelancong luar ke Malaysia, MITA akan melihat pasaran dekat atau dikenali sebagai “Low Hanging Fruit” seperti dari Indonesia dan Thailand untuk menarik lebih ramai pelancong melawat Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Selanjutnya, MITA akan turut bekerjasama dengan platform Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mengetengahkan produk pelancongan terbaik dari progam Inbound Tourism Bootcamp (ITB) dan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx).
“Jelajah MITA akan dianjurkan tidak lama lagi.
“Malaysia amat bertuah kerana mempunyai pelbagai jenis produk yang unik untuk menarik pelancong antarabangsa antaranya adalah produk Agro Pelancongan seperti durian Musang King, Tongkat Ali dan Gaharu,” kata Uzaidi. – Sepatah Dua