Pakej Magical Kampung Baru bawa anda jalan-jalan dan anda boleh beli Rempeyek paling sedap di sana
3 min read
Tahukah anda? Kampung Baru yang terletak ibu kota Kuala Lumpur adalah tempat yang anda boleh cari dan beli kuih rempeyek yang popular dan rasanya kalau dibeli dari sana semuanya sedap-sedap belaka.
Selama ini, ramai yang mungkin tahu, Kampung Baru hanya kaya dengan tempat makan sahaja.
Dengan mengikuti pakej jalan-jalan Magical Kampung Baru yang di kendalikan oleh Fuad Fahmy yang merupakan anak jati kampung itu, anda akan dapat tahu sisi lain Kampung Baru serta apa yang menyebabkan orang Kampung Baru begitu sayangkan kampung mereka serta rumah-rumah tradisional di situ kerana ia amat kaya dengan nilai sejarah.
Pakej Magical Kampung Baru merupakan pakej pelancongan yang bertaraf antarabangsa kerana ia sudah pun disertai oleh ramai pelancong dari pelbagai negara dari seluruh dunia dan ia merupakan pakej juara di bawah Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang mana pengalamannya amat berbaloi untuk dirasai oleh semua orang.
Sejarah yang terpahat kekal di situ bukan sahaja sejarah mereka sebagai orang kampung malahan sejarah pembangunan negara serta ibu negara Malaysia ada tersemat di Kampung Baru.
Fuad mula mengilhamkan pakej Magical Kampung Baru pada 2017 selepas tahu bahawa begitu banyak maklumat sejarah dan keistimewaan kampung itu yang boleh diceritakan dan dikongsikan olehnya kepada para pelancong yang datang melawat negara ini.

Kampung Baru sudah pun berusia kira-kira 119 tahun dan ia bermula pada tahun 1899 melalui tanah kurniaan Sultan Selangor pada masa itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa.
Keluasan asal ialah 223 ekar dan ada tujuh kampung iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Pindah, Kampung Paya, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.
Selepas itu, Malay Agricultural Settlement (MAS) telah ditubuhkan dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 3(1) The Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1950 yang meletakkan urus tadbir Kampung Baru di bawah bidang kuasa Lembaga Pentadbir MAS.
Kini ia menjadi sebuah kampung tradisional yang letaknya betul-betul di celah kepesatan pembangunan ibu kota Kuala Lumpur dengan rumah tradisional binaan Melayu masih kekal teguh berdiri. Kecantikan dan keistimewaannya jelas tidak dapat ditandingi oleh bangunan-bangunan pencakar langit yang ada di segenap penjuru Kampung Baru.
Anda akan dibawa berjalan kaki kira-kira tiga jam setengah di dalam pakej Magical Kampung Baru melalui celah-celah tamadun Kampung Baru melihat keadaan rumah-rumah kampung yang masih elok dan juga menjamah hidangan tradisional Melayu dan Malaysia iaitu Sate yang sedap.
Fuad akan membawa anda ke beberapa perhentian dan beliau akan menjelaskan apa keistimewaan Kampung Baru termasuk fungsinya pada awal sebagai penempatan orang Melayu di ibu negara.
Anda akan dibawa ke beberapa lokasi dengan pemandangan berlatar belakang bangunan pencakar langit yang sesuai untuk bergambar untuk dimuatnaik di dalam media sosial dan disebarkan ke serata dunia kecantikan Kampung Baru.


Dalam sesi jalan-jalan itu anda akan singgah di rumah Fuad dan menikmati kuih-muih Melayu serta minum kopi yang istimewa serta berbual-bual sambil berehat sebelum meneruskan peringkat akhir pakej Magical Kampung Baru.
Pada bahagian akhir, anda akan berjalan ke Masjid Kampung Baru dan Fuad akan bercerita tentang keistimewaan serta sejarah masjid yang sudah lama juga berdiri di ibu kota Kuala Lumpur itu.
Kemudian, anda akan berjalan kaki ke kedai makan Sate di Kampung Baru yang menyajikan hidangan Sate yang sedap. Anda juga boleh memesan makanan lain jika hendak merasa hidangan yang istimewa ada di Kampung Baru ini.
Jika anda orang Malaysia pun, elok ambil pakej ini untuk anda ketahui betapa istimewanya penempatan orang Melayu bernama Kampung Baru ini dan betapa ia merupakan satu bahagian sejarah Malaysia yang amat-amat perlu untuk kita hargai.


Pakej Magical Kampung Baru merupakan pakej pelancongan yang bertaraf antarabangsa kerana ia sudah pun disertai oleh ramai pelancong dari pelbagai negara dari seluruh dunia dan ia merupakan pakej juara di bawah Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang mana pengalamannya amat berbaloi untuk dirasai oleh semua orang.
Fuad merupakan peserta program Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun lepas.
Beliau sudah mencipta banyak kejayaan dan membawa ramai pelancong untuk berkenalan lebih rapat dengan Kampung Baru. – Sepatah Dua