June 3, 2023

Bos Susu Farm Fresh sedang siapkan Ladang 16 di UPM, Serdang jadi Ladang Edu-Tourism terbaik di Malaysia

3 min read

Rupa-rupanya, Bos Susu tauke besar syarikat susu segar Farm Fresh, Azmi Zainal bukan sahaja hebat jual susu segar, beliau juga seorang yang amat bersemangat dan minat dalam pelancongan.

Oleh sebab itu, kini beliau sedang menyiapkan Ladang 16, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang untuk dijadikan Ladang Edu-Tourism terbaik di Malaysia untuk memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia tentang proses penghasilan susu segar terbaik seperti yang dikeluarkan oleh Farm Fresh Milk Malaysia.

Di Ladang 16 di Serdang ini, Encik Azmi bela bermacam-macam spesis ayam dan burung, beliau membela beribu ikan spesis Koi dari Jepun dan bila digelar beliau seorang yang dalam hati ada taman, Encik Azmi sudah pun menanam pelbagai jenis bunga yang cantik-cantik sebagai tumpuan ladang edu-tourism itu kelak.

Bos Susu melihat ayam spesis Belanda yang diternak dan bakal menjadi tumpuan orang ramai nanti.

Semuanya benda-benda yang beliau lakukan ini ada di Ladang 16, ladang Edu-Tourism di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Ladang yang cantik ini dengan pemandangan indah ini bakal dibuka pada orang ramai selepas semua urusan persiapannya selesai nanti.

Tahukah anda? Dari seekor lembu betina, susu yang dapat diperah pada setiap kali sesi perahan ialah kira-kira 13 hingga 15 liter sahaja

Di kawasan ini nanti ada rumah bangsal yang menjadi ikon dalam logo Farm Fresh, serta rumah pokok yang popular dalam iklan televisyen Farm Fresh.

Rumah bangsal yang terkenal di atas jenama susu segar Farm Fresh di Ladang 16, UPM di Serdang yang menjadi lokasi ladang syarikat itu.

Semalam, beliau yang amat mesra dengan nama Bos Susu sudi menerima kami dan rombongan dari Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) diketuai oleh Presidennya Uzaidi Udanis ke ladangnya dan beliau sendiri jadi pemandu pelancong untuk kami.

Turut serta ialah wakil dari pihak Tourism Productivity Nexus (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pengasas susu Farm Fresh, Azmi Zainal (mengangkat tangan) bergambar bersama dengan rombongan dari MITA yang diketuai Presiden MITA, Uzaidi Udanis (disebelahnya).

Pada awal-awal anda akan melalui bangsal yang terkenal, sebelum akan melalui laluan yang cantik menuju ke kawasan ladang edu-tourism berkenaan.

Ada kolam ikan dengan ribuan ikan koi di dalamnya, ada petting zoo dengan haiwan-haiwan jinak, ada kawasan yang penuh dengan bunga-bunga, ada ladang buah Markisa, ada tempat anda boleh lihat penanaman padi, jagung dan paling pasti ialah kandang lembu yang terbaik di Malaysia.

Dalam hati ada taman Bos Susu, Encik Azmi tauke besar Farm Fresh.
Encik Azmi membawa rombongan melihat ikan spesis Koi yang dipelihara di Ladang 16, UPM.

Kenapa begitu? Menurut Encik Azmi pihaknya memainkan muzik irama Jazz di kandang berkenaan untuk memastikan semua lembu-lembu tenusu di ladang berkenaan dalam keadaan mood yang relaks dan tenang supaya proses pemerahan susu lembu berjalan lancar.

Sistem pengudaraan di dalam kandang berkenaan juga dijaga dengan elok dengan kipas khas yang menyedut udara busuk di dalam kandang keluar dan ketika kami berada di dalam kandang itu, memang tak ada bau busuk langsung.

Encik Azmi sedang menerangkan ciri-ciri unik dan sistem kandang lembu yang diuruskan oleh Farm Fresh di Ladang 16, UPM di Serdang.

Encik Azmi berkata setiap hari pengurusan Farm Fresh akan melakukan proses pemerahan susu sebanyak dua kali sehari dan selepas selesai proses berkenaan susu yang diperah akan terus dihantar ke kilang untuk diproses dan melalui proses tertentu dan ia akan terus dibawa menaiki lori ke pasar raya di seluruh negara.

Farm Fresh amat mengutamakan perkhidmatan dalam tempoh 48 jam, produk susu Farm Fresh akan berada di rak pasar raya untuk anda dapatkan.

“Kita amat berhati-hati dalam mengendalikan susu kerana ia amat sensitif, kerana itulah juga ada pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, jadi kita amat berhati-hati dan cermat untuk memastikan susu keluaran Farm Fresh kekal segar,” katanya.

Tahukah anda? Dari seekor lembu betina, susu yang dapat diperah pada setiap kali sesi perahan ialah kira-kira 13 hingga 15 liter sahaja.

Bayangkan berapa banyak bekalan susu diperlukan oleh Farm Fresh untuk membekalkannya ke seluruh negara bagi memenuhi keperluan anda yang suka minum susu.

Lembu kesayangan Encik Azmi yang bernama Mawar, dalam iklan televisyen Farm Fresh Mawarlah yang akan menjadi bintangnya, menurut beliau.

Sama-samalah kita nantikan nanti ladang edu-tourism Farm Fresh ini akan dibuka dan anda boleh lepak-lepak sambil tengok lembu dan dengar muzik di kandang lembu tu nanti.

Lepas tu, sudah pasti boleh dapatkan susu Farm Fresh dan anda nikmatilah sepuas-puasnya. – Sepatah Dua

2 thoughts on “Bos Susu Farm Fresh sedang siapkan Ladang 16 di UPM, Serdang jadi Ladang Edu-Tourism terbaik di Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *