Keadaan di Amerika Syarikat menyedihkan, ada mayat terpaksa disusun di bilik kosong hospital ekoran kekurangan ruang di bilik mayat
2 min read
Keadaan di Amerika Syarikat amat membimbangkan dan menggerunkan. Siapa sangka negara kuasa besar dunia itu kini terjejas teruk akibat penularan wabak koronavirus atau Covid-19.
Hari ini beberapa gambar dipaparkan di portal agensi berita CNN iaitu gambar yang dikongsikan antara para petugas unit kecemasan (ER) di Hospital Sinai-Grace di Detroit yang menunjukkan keadaan mayat yang meninggal dunia disimpan dalam bilik kosong di hospital dan ada yang disusun bertindih di atas satu sama lain di dalam sebuah bilik sejuk beku yang diletakkan di ruangan parkir hospital.

CNN memperolehi gambar berkenaan dari seorang petugas ER hospital berkenaan. Mereka mengsahkan bahawa ia adalah gambar yang diambil pada awal bulan ini ketika mereka terpaksa bertugas selama 12 jam dalam satu syif berdepan penularan wabak itu.
Agensi berita Amerika itu memetik dua sumber yang menyatakan ada satu bilik yang digunakan untuk penyelidikan tabiat tidur digunakan untuk menyimpan mayat kerana tiada orang bertugas di bilik mayat pada waktu malam tambahan pula bilik mayat juga tidak mampu lagi menampung jumlah orang yang meninggal dunia.
“Apa yang saya tahu kini kami (hospital) sudah kekurangan katil untuk menempatkan pesakit jadi kami tidak dapat menggunakan katil untuk menempatkan mayat,” menurut sumber berkenaan.

Dalam gambar itu, dua mayat diletakkan di atas di atas katil sebelah menyebelah, dan satu mayat lagi terpaksa diletakkan di atas kerusi di sebelah katil berkenaa. Kesemua tiga mayat diletakkan di dalam beg mayat berwarna putih.
Dua sumber berkenaan berkata pihak hospital membuat keputusan untuk mendapatkan unit simpanan sejuk yang mudah alih untuk menempatkan mayat-mayat berkenaan.
Sabtu lepas, CNN melaporkan ada lima unit simpanan sejuk beku diletakkan di kawasan letak kereta.
Ada petugas ER di hospital sama turut memberitahu CNN bahawa pada awal bulan ini, hospital itu menerima kira-kira 100 hingga 130 pesakit ketika jangkitan di Detroit memuncak.
Bagaimanapun, sejak beberapa hari lepas, kes jangkitan baru menurun kepada kira-kira hanya 50 pesakit dan jumlah itu mampu dikendalikan oleh pihak Hospital Sinai-Grace
Kini, hospital itu mengambil lebih ramai jururawat tambahan untuk membantu memberikan jagaan dan rawatan kepada kes baru yang terus meningkat.