September 26, 2023

Rasakan perasaan seram lokasi penggambaran Munafik 2 bersama cruise Hafiz’s Cherating Activities

3 min read

Kalau anda ke Cherating di Pahang, kebiasaan orang ramai akan mengetahui daerah itu dengan kecantikan banyak pantai-pantainya yang bersih. Kalau ke Cherating, aktiviti yang biasa terdetik dalam minda ialah mandi laut dan bersantai berkelah di tepi pantai atau makan makanan laut.

Ada satu aktiviti yang anda boleh cuba nanti selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti di Cherating iaitu menaiki bot menyusuri Sungai Cherating menikmati keindahan sungai itu yang bersih dan pada waktu malam melihat kencantikan makhluk Allah yang bernama kelip-kelip.

Apa yang menakjubkan, spesis kelip-kelip di Sungai Cherating ialah spesis Non-synchronous Firefly iaitu spesis jantan dan betina tidak berkelip dengan cara yang sama tetapi ada corak tersendiri.

Anda boleh mencuba aktiviti ini bersama dengan Hafiz’s Cherating Activities antara perkhidmatan yang terbaik disediakan untuk orang ramai di Cherating.

Kenapa terbaik? Perkhidmatan ini dikendalikan oleh pemiliknya, Mohd Hafiz Abdul Majid dan beliau memberikan khidmat terbaik lengkap dengan penerangan lengkap serta bersemangat kepada orang ramai. Pada Februari tahun lepas, beliau menyertai program bengkel Inbound Tourism Bootcamp (ITB) Pahang di Kuantan yang dianjurkan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN).

Ada dua jenis pengembaraan yang anda mesti rasai bersama Mohd Hafiz iaitu Mangrove River Tours (Nature with Wildlife Watch) dan Kelip-Kelip @ Fireflies Watch. Masing-masing ada tarikannya tersendiri yang akan membuatkan anda teruja.

Pemandangan Sungai Cherating ketika menaiki bot untuk pakej Mangrove River Tours yang menyediakan dua perkhidmatan iaitu pada pukul 9 pagi dan apda pukul 4 petang oleh Hafiz’s Cherating Activities.

Pertama, anda harus cuba pakej Mangrove River Tours iaitu menyusuri Sungai Cherating dan menikmati kebersihan sungainya dan belajar tentang jenis-jenis pokok bakau yang ada serta menjejaki haiwan liar di sekitarnya seperti ketam dan ular.

Anda juga akan dibawa melihat lokasi penggambaran filem Munafik 2 iaitu satu lorong sungai yang kecil dan keadaan rupa hutan bakau yang ada memang menyeramkan dan sekali pandang anda akan bersetuju memang sesuai lokasi itu jadi lokasi shooting filem.

Suasana menyeramkan di kawasan lokasi penggambaran filem Munafik 2 di Sungai Cherating.

Lokasi itu kalau dalam filem arahan Syamsul Yusof itu ketika para pelakon menaiki bot dalam gelap gelita dan diganggu hantu yang bercakap dalam loghat bahasa Indonesia.

Di kawasan Sungai Cherating, ular yang biasanya ditemui ialah ular jenis Ular Tiong yang mempunyai belang berwarna kuning dan hitam. Pada waktu petang, mereka akan dilihat berehat di ranting-ranting pokok bakau. Perjalanan pakej ini akan mengambil masa kira-kira satu setengah jam hingga dua jam.

Ular tiong yang melingkar dahan-dahan pokok di tepi-tepi Sungai Cherating.

Selain mencari ular, Mohd Hafiz akan menerangkan tentang jenis-jenis buah bakau antaranya Bakau Kurap, Bakau Minyak, Nyirih dan Tumu Merah. Keunikan buah-buah bakau ini, Allah dah ciptakan ia sesuai dengan ekosistem kerana ia dicipta seakan sudah bersedia apabila gugur akan tercacak di tanah dan tunasnya akan berada di atas sedia untuk tumbuh di kawasan paya.

Pengunjung mendengar penerangan oleh Mohd Hafiz di bilik penerangan sebelum memulakan cruise melihat kelip-kelip.
Jeti yang disediakan untuk bot bergerak untuk pakej cruis di Hafiz’s Cherating Activities selamat dan selesa serta bersih.

Pakej kedua yang anda kena cuba ialah pakej melihat kelip-kelip atau firefly di sekitar Sungai Cherating. Pakej ini hanya ada di waktu malam biasanya bermula pada pukul 7.30 malam.

Apa yang menakjubkan, spesis kelip-kelip di Sungai Cherating ialah spesis Non-synchronous Firefly iaitu spesis jantan dan betina tidak berkelip dengan cara yang sama tetapi ada corak tersendiri.

Memang cantik, Mohd Hafiz juga ada kepakaran untuk berkomunikasi dengan kelip-kelip sehingga kelip-kelip itu boleh terbang dan datang kepada anda di dalam bot, umpama alam fantasi saat impian yang diinginkan jadi kenyataan kelipan cahaya terbang mendatangi anda, bayangkanlah sendiri keindahannya.

Mohd Hafiz memulakan perkhidmatan ini pada tahun 2007 pada masa itu hanya ada pakej melihat kelip-kelip dan pengembaraan sungai di waktu siang hanya dengan sebuah bot dengan kapasiti enjin 15 kuasa kuda (hp) sahaja.

“Awal-awal dulu saya tidak ada banyak pelanggan, atau pelancong, dan kena bersaing dengan ada operator lain.

“Ada ketikanya ada dua atau tiga orang sahaja pelanggan, dan saya tidak tahu apa yang saya perlu lakukan.

“Kemudian, saya cuba belajar apa yang operator lain lakukan dan sekarang saya memberikan maklumat saintifik tentang kelip-kelip kepada pengunjung saya,” katanya.

Mohd Hafiz menceritakan kisahnya awal-awal memulakan perkhidmatan yang pada masa itu hanya ada dua atau tiga orang sahaja pengunjung yang mendapatkan khidmat beliau.

Kini sudah ramai orang yang mengikuti pakej oleh Hafiz’s Cherating Activities dan beliau juga ada bermacam-macam pakej yang lain seperti Banana Boat Ride, melihat penyu bertelur dan melepaskan anak-anak penyu.

Untuk maklumat dan untuk anda melihat apa perkhidmatan yang Mohd Hafiz tawarkan anda boleh tinjau laman Facebook mereka di Hafiz’s Cherating Activities. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *