MYVXP : FREDO FLYBAITS JADI ARTIS PERTAMA MALAYSIA BUAT PERSEMBAHAN NORMAL BAHARU EKSKLUSIF ATAS TALIAN

Penyanyi lagenda kumpulan Flybaits, Fredo menjadi artis pertama di negara ini yang menggunakan platform media sosial secara online melalui sesi langsung untuk membuat persembahan kepada peminat di alam maya secara interaktif dan eksklusif selepas negara terjejas ekoran wabak Covid-19.

Beliau atau nama sebenarnya Mohd Amani Abdullah hari ini mengadakan sesi sidang media secara sidang video menggunakan aplikasi GoToMeet untuk memperkenalkan program berkenaan yang julung-julung kali akan diadakan pada 31 Mei ini.

Pada 31 Mei ini, beliau akan membuat persembahan dalam program Santai Hari Raya Bersama Fredo Flybaits pada pukul 11 pagi selama kira-kira satu jam.

Fredo (barisan kedua, dua dari kiri) dengan para peserta dalam sesi bersama media pagi tadi.

Fredo akan memainkan lagu-lagu popular kumpulan Flybaits serta lagu dari album solo Fredo sendiri bersama peminat yang membayar sejumlah harga untuk bersama beliau secara eksklusif.

Usaha ini digerakkan oleh platform Tourism Productivity Nexus (TPN) dibawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk membantu semua pihak yang pendapatan mereka terjejas untuk kembali mendapat rezeki melalui perkongsian secara dalam talian yang dikenali sebagai Malaysia Virtual Experience (MyVXp).

Pengerusi TPN Uzaidi Udanis berkata matlamat MyVXp ini ialah untuk melakukan eksperimen serta memperbaiki perkongsian pengalaman atas talian, meningkatkan tahap kemahiran serta kepelbagaian individu, untuk memberikan lebih peluang kepada mereka yang terlibat dalam industri pelancongan seperti pemandu pelancong, pemilik dan pengendali produk pelancongan serta ejen pelancongan.

“Kita perlu membina semula industri dari segi landskap, ekosistem industri pelancongan di negara ini supaya kita boleh bersaing dengan negara-negara lain dan untuk memberikan lebih kepelbagaian kepada pelanggan iaitu para pelancong yang kini sudah tidak boleh keluar dan mengembara seperti sebelum ini.

“Kita juga perlu menggunakan sebaik-baiknya teknologi khususnya melibatkan interaksi secara maya ini untuk digunakan semua pihak yang boleh menerima manfaat daripadanya dan bukan sahaja industri pelancongan,” katanya yang juga Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA).

BACA JUGA – PKP : Meeting Online, Tiada Lagi Lewat Ke Mesyuarat Atau Terperangkap Dalam Trafik

Pada sesi bersama media hari ini, Fredo meluahkan rasa syukur kerana dipilih untuk menjadi artis pertama untuk menjayakan MyVXp ini dan beliau komited untuk turut menyuarakan idea yang sama kepada artis lain yang kini pendapatan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya berharap rakan-rakan dan pasukan yang menjayakan ini akan melakukan yang terbaik untuk memperkenalkan teknologi yang bagus ini untuk turut diambil manfaat dan digunakan oleh pihak lain dan bukan juga artis untuk kembali mencari rezeki,” kata Fredo.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata pihaknya melalui TPN berdepan cabaran untuk berusaha membantu pengusaha pelancongan meningkatkan produktiviti mereka ketika negara diuji dengan wabak pandemik yang menyebabkan seluruh dunia terjejas.

“Cabaran utama kami di TPN ialah ketika ini pengusaha pelancongan, perniagaan mereka tidak boleh beroperasi dan mereka tidak ada pendapatan, oleh sebab itu kita mencuba membuat eksperimen kali ini menggunakan teknologi ini untuk membantu mereka berkongsi secara maya ia seakan-akan pelancongan tetapi secara atas talian.

“Idea ini kita akan gunakan untuk membantu mereka kalau boleh bukan hanya untuk pelancongan tetapi juga untuk sektor lain yang boleh menerima manfaat daripadanya,” katanya.

Sebaik selesai sesi sidang media, Fredo membuat persembahan secara eksklusif kepada wakil media yang turut serta gabungan-gabungan lagu popular kumpulan Flybaits antaranya Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta dan Kasih Berubah.

Fredo atau nama sebenarnya Mohd Amani Abdullah ketika menyampaikan lagu pada sesi bersama media hari ini.

Pihak TPN dan MPC telah merangka beberapa sesi perkongsian secara langsung berkaitan pelancongan antaranya perkongsian tentang Negeri Sembilan yang bertajuk Negeri Sembilan : Where Women Rule The Clan, tentang Semporna bertajuk The Untold Beauty Of Semporna Island dan sebelum ini bersama Santika Hulu Langat dalam sesi Seloka Raya Sing Angk Long. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *