SANTIKA HULU LANGAT PERINTIS GAYA BAHARU PELANCONGAN DENGAN MALAYSIA VIRTUAL EXPERIENCE (MYVXP)
3 min read
Hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya mengumumkan bahawa pergerakan rentas negeri dibenarkan sekaligus mencetuskan keinginan ramai untuk pulang ke kampung berjumpa dan melawat ibu bapa.
Hujung minggu terdekat minggu depan sudah pasti jalan raya dan lebuh raya pasti sesak dengan kenderaan orang ramai yang akan berpusu-pusu untuk pulang ke kampung. Walaupun pergerakan rentas negeri dibenarkan penjagaan diri mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Jika anda bimbang akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, mungkin boleh pergi melawat lokasi menarik sekitar Lembah Klang kerana aktiviti melancong domestik juga sudah dibenarkan semula. Anda boleh memilih untuk ke satu lokasi unik hanya di Hulu Langat iaitu Santika Hulu Langat.
Pada Hari Raya ke-2, iaitu 25 Mei yang lepas, Santika Hulu Langat sudah memulakan sesi perintis untuk program Malaysia Virtual Experience (MyVXp) yang digerakkan oleh platform Tourism Productivity Nexus (TPN) dibawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) iaitu membawakan pelancongan secara maya atas talian.

Program berkenaan dihoskan oleh Pengurus Santika Hulu Langat, Hasan Suyat membawakan persembahan muzik dengan Angklong secara langsung atas talian dimainkan oleh pemain Angklong profesional Zack Osman yang dinamakan Seloka Raya Sing Angk Long.
Dalam sesi berkenaan yang dihadiri oleh 30 orang pengunjung, Hasan menerangkan tentang sejarah serta cara memainkan alat muzik Angklong yang merupakan satu daripada variasi alat muzik tradisional orang Nusantara.
BACA JUGA – Kembara Air Terjun Pelangi Lihat Keindahan Di Depan Mata Antara Tercantik Di Malaysia Dan Mungkin Dunia
Memandangkan pada sesi pertama MyVXp, suasana masih lagi hangat dalam jiwa menyambut Hari Raya Aidilfitri jadi Zack memainkan banyak lagu Hari Raya pada sesi itu yang berlangsung kira-kira satu jam.
MyVXp dicetuskan untuk menghidupkan kembali peluang kepada industri pelancongan untuk kembali beroperasi sekaligus proses meningkatkan produktiviti tidak terjejas dengan teruk kerana operasi masih berjalan dengan normal baharu.
Pada peringkat awal pelancongan sudah dibenarkan ini, orang ramai pasti bukan semua ingin terus melancong jadi mereka masih boleh menggunakan platform MyVXp untuk merasai pengalaman sama.
Dalam sesi berkenaan, Hasan turut berkongsi tentang alat muzik Angk Long dan orang ramai yang ingin memiliki turut boleh membeli Angk Long beserta dengan alat tunjuk ajar bagaimana untuk bermain Angk Long berkenaan.

Program MyVXp bersifat eksklusif kerana pengunjung atas talian di dalam satu sesi dihadkan untuk tidak terlalu ramai. Ia membolehkan interaksi secara dekat dengan peserta dan apa juga pertanyaan dan persoalan tentang produk pelancongan berkenaan dapat dijelaskan dengan baik.
Bayaran yang dikenakan adalah untuk membantu usahawan pelancongan kembali meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka melalui perkongsian pengalaman mereka.
Difahamkan pihak Santika Hulu Langat iaitu satu lokasi kampung yang menyediakan tempat penginapan dengan suasana tenang jauh dari kesibukan bandar yang terletak di Batu 18.5, Kampung Jawa, Hulu Langat.
Kampung Jawa di sana ialah satu-satunya kampung yang kebanyakan penduduknya adalah berketurunan Jawa dan ia adalah satu-satunya kampung sebegitu di kawasan berkenaan.
Di Santika juga ada satu program yang mendapat sambutan ramai iaitu Sarapan Santika yang diadakan pada setiap hujung minggu iaitu Santika menyajikan sajian sarapan daripada hidangan Melayu dan Malaysia bersama dengan persembahan Angk Long secara Live.

Pada sesi pertama itu, Santika Hulu Langat berjaya meningkatkan kutipan jualan mereka sebanyak RM1,200 dan Santika menyasarkan untuk mengutip RM50,000 sebulan dalam operasi mereka termasuk menggunakan platform baru MyVXp berkenaan. – Sepatah Dua