SESI PERTAMA MYVXP ONLINE FREDO FLYBAITS TURUT DIHADIRI MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA
2 min read
Sesi Santai Hari Raya Bersama Fredo pada 31 Mei lepas yang turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Inisiatif baru Malaysia Virtual Experience (MyVXp) untuk menggerakkan produktiviti sektor pelancongan yang terjejas akibat wabak Covid-19 mendapat sokongan kuat dari Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Pada 31 Mei lepas, beliau sama-sama hadir dan mengikuti sesi langsung atas talian bersama artis iaitu penyanyi kumpulan Flybaits yang popular sekitar tahun 80-an, Fredo atau nama sebenarnya Mohd Amani Abdullah.
Program MyVXp digerakkan oleh platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memberi peluang kepada pihak yang terjejas pendapatan ketika penularan wabak virus korona ini kembali boleh mencari rezeki melalui perkongsian produk atau pengalaman secara langsung atas talian.
Nancy berkata, MyVXp adalah satu produk pelancongan baru yang kreatif dan inovatif dalam usaha menyesuaikan diri dengan norma baharu.
“Kita hendaklah memanfaatkan sebaik-baiknya platform digital dan teknologi yang ada sebagai satu alternatif dalam merancakkan kembali perniagaan masing-masing bagi menghadapi pandemik ini dan seterusnya memastikan kelangsungan industri pelancongan dan kebudayaan negara,” katanya.
Program MyVXp Santai Hari Raya Bersama Fredo diadakan menggunakan aplikasi GoToMeet dengan menampilkan Fredo bersama isterinya, Suzlynna Mustapha mempersembahkan nyanyian lagu-lagu popular dari kumpulan Flybaits termasuk lagu Hari Raya.

Seramai kira-kira 22 orang mengikuti program berkenaan dengan bayaran RM38 untuk satu skrin. Bayaran berkenaan adalah inisiatif untuk membantu Fredo mencari rezeki ekoran penularan wabak Covid-19 membuat ramai pihak terjejas dan hilang punca pendapatan khususnya artis dan anak seni.
Ketika sesi ini, Fredo Flybaits telah mendendangkan lagu-lagu popular beliau seperti “Kenangan Lalu”, “Kasih Berubah” dan “Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta” dan lagu permintaan istimewa “Fly Me to the Moon”.
Sesi MyVXp biasanya dilangsungkan dengan jumlah hadiri yang tidak terlalu ramai untuk memberi ruang eksklusif peribadi kepada mereka berinteraksi dengan hos dengan lebih dekat.
BACA JUGA – Penggiat Industri Pelancongan Digesa Cari Tarikan Pelancongan Unik, Berbeza dan Istimewa
Bagi mereka bayaran RM38 adalah berbaloi kerana dapat berbual dan bertanyakan soalan dengan pihak yang berkongsi pengalaman mereka di dalam setiap sesi berkenaan.
Program MyVXp masih dalam peringkat eksperimen untuk pihak MPC melihat ruang untuk menambahbaik persembahan sesi atas talian khususnya berkaitan kelajuan akses internet serta kualiti visual ketika sesi berjalan.

Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis berkata MyVXp merupakan platform baharu untuk produk pelancongan, segmentasi pasaran dan strategi pemasaran yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Bagi Fredo, beliau mengucapkan terima kasih kepada MPC dan TPN yang sudi menjemputnya untuk menggunakan platform baharu berkenaan dan mengakui beliau masih banyak yang perlu dipelajari berkaitan tekonologi berkenaan. – Sepatah Dua