May 30, 2023

Evolusi Pelancongan Kembaraan (Adventure Tourism)

3 min read

Adventure Tourism atau dalam istilah bahasa melayunya, pelancongan kembaraan adalah satu bentuk pelancongan yang mungkin dilihat sebagai baharu di Malaysia.

Tidak mustahil sekiranya ramai yang bertanya akan maksud sebenar terma ini serta apakah perbezaannya dengan kegiatan-kegiatan lasak mahupun bentuk pelancongan lain (khususnya yang sering dilakukan di kawasan alam semulajadi).

Malah, ramai juga di kalangan masyarakat kita (termasuklah organisasi-organisasi tertentu) yang masih kabur tentang hal ini sehinggakan ada yang menyamakan pelancongan kembaraan ini dengan rekreasi luar (berdasarkan corak pengendaliannya yang hampir sama) dan ada juga yang melabelkannya sebagai ekopelancongan (berdasarkan lokasi pelaksanaannya yang sering melibatkan kawasan alam semulajadi).

Oleh yang demikian, maka semakin ramailah para penggiat atau peminat Adventure Recreation ini yang dahulunya hanya melakukan aktiviti di kawasan-kawasan berhampiran kediaman mereka sahaja, menjelajah atau melancong ke lokasi-lokasi baharu (baik di dalam mahupun di luar negara).

Jadi, dari manakah asal-usulnya pelancongan kembaraan ini?

Adventure Tourism atau pelancongan kembaraan ini sebenarnya berasal dari pelaksanaan kegiatan rekreasi luar ataupun Outdoor Recreation.

Rekreasi luar ini secara ringkasnya boleh ditakrifkan sebagai sebarang bentuk kegiatan (samaada aktif atau pasif) yang biasanya dijalankan di waktu lapang/masa senggang, menyeronokkan, mendatangkan faedah kepada pelakunya dan dilakukan di persekitaran luar.

Dalam pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di persekitaran luar ini, ada di kalangan kita yang memilih untuk melakukan aktiviti-aktiviti berbentuk lasak dan berisiko walaupun rekreasi luar berdasarkan konsep sebenarnya, tidak semestinya merujuk kepada kegiatan-kegiatan yang lasak, aktif atau berisiko tinggi semata-mata.

Contoh-contoh seperti membaca novel di bawah pokok ataupun ketika berehat di dalam hammock yang diikat di pokok, berkelah bersama keluarga di tepi tasik, bersiar-siar di kawasan alam semulajadi, sunbathing di tepi pantai ataupun bergembira bersama rakan-rakan sambil menikmati permandangan hutan serta kesejukan air terjun adalah tergolong sebagai aktiviti rekreasi luar.

BACA JUGA – COVID-19 : Jangan Sampai Kerajaan Ambil Tindakan Betul, Tapi Orang Ramai Salah Bertindak

Namun demikian, aktiviti seperti mendaki gunung beraltitud tinggi, berkayak di sungai berarus deras, paragliding, eksplorasi gua dan pelbagai lagi aktiviti berisiko tinggi yang lain juga adalah aktiviti rekreasi luar bagi sesetengah kumpulan penggiat kerana aktiviti-aktiviti tersebut turut memenuhi empat ciri yang dinyatakan terdahulu.

Bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan dalam masa yang sama memudahkan lagi pemahaman terhadap klasifikasi aktiviti-aktiviti tersebut, beberapa pengkaji dan ahli akademik dalam bidang ini merujuk pelaksanaan aktiviti rekreasi luar yang bersifat lasak dan berisiko ini sebagai Adventure Recreation.

Seterusnya, akibat kepesatan pengendalian dan populariti aktiviti Adventure Recreation ini, masyarakat terkemudian telah mula melihat potensi Adventure Recreation sebagai suatu sumber pendapatan.

Dari konteks ini, pelbagai organisasi mahupun syarikat/entiti perniagaan telah diwujudkan bagi menawarkan aktiviti sebegini sebagai produk perniagaan ataupun servis komersil.

Lokasi-lokasi tertentu yang dahulunya boleh dilabelkan sebagai kawasan terpencil (remote area) telah mula dipermudahkan cara untuk sampai ke sana (acccesibility) dan pelbagai jenis aktiviti telah dipasarkan menerusi pendekatan pemasaran strategik serta promosi secara meluas kepada seluruh segmen pasaran.

Oleh yang demikian, maka semakin ramailah para penggiat atau peminat Adventure Recreation ini yang dahulunya hanya melakukan aktiviti di kawasan-kawasan berhampiran kediaman mereka sahaja, menjelajah atau melancong ke lokasi-lokasi baharu (baik di dalam mahupun di luar negara).

Selain itu, corak pelaksanaan Adventure Recreation juga turut berubah. Jika dahulunya hanya dilakukan secara berseorangan mahupun berkumpulan (bersama keluarga atau kenalan rapat) secara percuma, tetapi kini ianya telah bertukar kepada pembelian pakej-pakej aktiviti yang turut merangkumi sewaan peralatan, makanan dan minuman ketika beraktiviti, perkhidmatan malim dan operator aktiviti, serta beberapa lagi perkara lain seperti perlindungan insurans dan penginapan.

Dengan kata lain, situasi ini merujuk kepada aktiviti-aktiviti Adventure Recreation yang telah dikomersilkan dan versi komersialisasi Adventure Recreation serta perkaitannya dengan aspek pelancongan inilah yang dikenali sebagai Pelancongan Kembaraan (Adventure Tourism).

Mohamad Khairi Alwi

Penulis adalah Pensyarah Pengurusan Rekreasi dan Pelancongan STHEM, Universiti Utara Malaysia dan beliau juga merupakan Head of Initiative Working Group of Adventure Tourism Frontier (IWGTAF).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *