Apakah Itu Adventure Tourism?
4 min read
Pelancongan Kembaraan ataupun istilah baharu yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya (MOTAC) iaitu Pelancongan Pengembaraan dan Aktiviti Lasak, mungkin dianggap sebagai 1 bidang pelancongan yang agak kontemporari di Malaysia (baik dari sudut akademik mahupun industri) namun secara relatifnya, ianya sudah sekian lama dijalankan di dunia.
Sehubungan itu, telah wujud banyak definisi yang telah diberikan oleh pelbagai organisasi mahupun individu untuk mengungkap maksud sebenar istilah tersebut. Ada definisi yang bersifat umum/meluas perspektifnya, sebagaimana definisi yang diutarakan di dalam beberapa dokumen seperti ISO 21101:2014 serta laporan rasmi daripada United Nation World Tourism Organisation (UNWTO) dan Adventure Travel Trade Organisation (ATTA).
Dalam masa yang sama, terdapat juga definisi-definisi yang bersifat spesifik dan terhasil daripada kajian beberapa pengkaji akademik dalam bidang ini. Tidak ketinggalan juga, beberapa definisi operasional yang digunapakai oleh beberapa organisasi tertentu seperti Malaysia Productivity Corporation (menerusi pendekatan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) Business Certification – Adventure Tourism Operators), Indonesia Adventure Travel Trade Association (pertubuhan yang menaungi keseluruhan persatuan-persatuan ‘wisata pertualangan’ di seluruh Indonesia), Adventure Tour Operators Association of India (ATOAI) dan lain-lain lagi.
BACA JUGA – Evolusi Pelancongan Kembaraan (Adventure Tourism)
Dengan kewujudan pelbagai definisi ini, ianya mungkin menghadirkan sedikit kesukaran untuk kita mengadaptasi definisi khusus bagi tujuan kajian, menjalankan inisiatif-inisiatif keusahawanan/perniagaan berkaitan bidang ini, mahupun untuk memahami konsep pelaksanaan sebenar Adventure Tourism.
Oleh yang demikian, satu inisiatif penyelidikan secara Content Analysis telah dijalankan terhadap kesemua definisi Adventure Tourism yang sedia wujud (dari kedua-dua sumber iaitu penerbitan akademik serta dokumen-dokumen berkaitan industri) bagi mendapatkan titik persamaan untuk membantu pemahaman umum berkaitan istilah tersebut. Dapatan kajian menjurus kepada beberapa key points seperti berikut:
Adventure Tourism adalah suatu bentuk pelancongan yang:
1) kebiasaannya dilaksanakan di kawasan alam semulajadi seperti gunung, sungai, laut, gua dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ada juga aktiviti Adventure Tourism yang dijalankan di kawasan luar bandar mahupun kawasan bandar namun corak pelaksanaannya adalah diinspirasikan oleh cabaran-cabaran yang terdapat di kawasan alam semulajadi / diadaptasi dari bentuk cabaran asal yang wujud di kawasan alam semulajadi.
2) dijalankan oleh individu atau kumpulan di sesebuah kawasan di luar daripada kawasan kediaman (place of residence) individu atau kumpulan tersebut. Dengan kata lain, melakukan lawatan ke sesebuah lokasi baharu/lain yang tidak biasa bagi kita, tidak melebihi tempoh setahun, samaada secara excursion (day-trip) ataupun bermalam di lokasi tersebut.
3) melibatkan aktiviti yang mencabar, lasak dan bersifat adventurous serta boleh dikategorikan kpd 3 kategori utama berdasarkan elemen-elemen geografi di mana aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan (darat, air atau udara).
4) memerlukan keupayaan fizikal dan daya tahan mental yang agak tinggi berbanding jenis-jenis pelancongan lain. Ini kerana walaupun mungkin menerima sedikit bantuan atau ‘kemudahan’ dari segi panduan aktiviti mahupun logistik dan peralatan, setiap adventure tourist itu perlu merasai atau melakukan sendiri aktiviti Adventure Tourism yang diceburinya secara hands-on.
5) mempunyai risiko dalam setiap proses pelaksanaan aktivitinya. Konsep inherent risk adalah terpakai di dalam setiap pelaksanaan aktiviti Adventure Tourism.
Setiap jenis aktiviti ada risikonya tersendiri dan kemungkinan untuk berlakunya kemalangan boleh wujud dalam pelbagai bentuk (dari kecederaan kecil hinggalah kecacatan kekal mahupun kematian). Ringkasnya, pengurusan risiko dan keselamatan adalah amat perlu dititikberatkan walaupun risiko ini juga menjadi salah satu motivasi utama atau daya penarik untuk melakukan sesuatu aktiviti tersebut.
Penting juga dinyatakan di sini bahawa walaupun risiko mampu menarik minat penggiat atau adventure tourists namun kepuasan (satisfaction) serta faedah yang diharapkan menerusi penglibatan dalam Adventure Tourism ini bukanlah terhasil daripada risiko tersebut tetapi wujud setelah seseorang atau kumpulan itu berjaya mengatasi risiko tersebut dengan selamat!
6) melibatkan pengaplikasian kemahiran dan penggunaan peralatan tertentu yang mana bergantung sepenuhnya kepada keperluan spesifik, corak dan kaedah pengendalian serta lokasi pelaksanaan sesuatu aktiviti tersebut.
7) dilakukan secara lawatan berpandu (guided tour), baik dari sudut pelaksanaan secara hard adventure mahupun soft adventure. Dengan kata lain, di samping aplikasi kemahiran-kemahiran teknikal atau hard skills, di sinilah beberapa kemahiran insaniah (soft skills) seperti kemahiran merancang, kepimpinan, komunikasi, pengurusan kumpulan dan facilitation turut diperlukan secara optimum. Elemen-elemen ini perlu ada dalam pelaksanaan Adventure Tourism kerana ianya bukan sahaja diperlukan bagi melicinkan perjalanan sesuatu aktiviti tetapi juga adalah satu indicator samaada kita benar-benar melaksanakan Adventure Tourism ataupun kita hanya melaksanakan sesuatu itu secara ‘suka-suka’.
8) Akhir sekali, urusan komersial atau ‘jual-beli’ adalah terlibat secara langsung dalam setiap pelaksanaan Adventure Tourism. Dari konteks ini, kita perlu menyedari bahawa apa jua jenis/kategori aktiviti pelancongan, adalah juga suatu bentuk perniagaan.
Bentuk perniagaan yang dimaksudkan di sini ialah ‘perniagaan menjual pengalaman!’ (business of selling experiences!), di mana berbanding menjual tangible products, kita menawarkan intangible products dalam bentuk ‘perkhidmatan’ ataupun service. Dengan kata lain, secara umumnya kita menjual pengalaman menerusi penawaran perkhidmatan (yang kebiasaannya wujud dalam bentuk pakej-pakej aktiviti Adventure Tourism) kepada pelancong untuk melakukan aktiviti lasak, berisiko dan mencabar.
Mohamad Khairi Alwi
Penulis adalah Pensyarah Pengurusan Rekreasi dan Pelancongan STHEM, Universiti Utara Malaysia dan beliau juga merupakan Head of Initiative Working Group of Adventure Tourism Frontier (IWGTAF).