Laporan Khas : Perbadanan Produktiviti Malaysia Frontliners Produktiviti Negara
4 min read
Tahun 2020 tidak ada seorang pun yang menjangka seluruh ekonomi dunia akan terbantut akibat satu wabak penyakit yang dibawa oleh satu spesis virus jenis korona yang membawa maut dengan cepat serta mudah berjangkit.
Apabila ekonomi terbantut, kesan daripada kegiatan ekonomi iaitu produktiviti juga terjejas serta memberi impak buruk kepada negara dan penduduknya kerana syarikat tidak boleh beroperasi dengan baik dan hampir semua sektor terhenti disebabkan pandemik itu yang diberi nama COVID-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Di Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diamanahkan untuk menjaga produktiviti dalam negara bertindak cepat dan pantas mengambil langkah perlu untuk membantu individu yang terjejas dalam aspek produktiviti mereka untuk kembali pulih.
BACA JUGA – Sidang Maya Pertama di Malaysia TPN Tourism Virtual Summit Berjaya Tarik Penyertaan 2,041 Orang
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mencetuskan bermacam-macam idea dan program untuk tujuan itu untuk memberikan kepada para pemain industri pilihan dan jalan keluar untuk memulihkan kembali operasi, memperbaiki produktiviti dan mengembalikan punca rezeki.
Tidak hairanlah, ramai setuju bahawa MPC kini adalah barisan hadapan produktiviti negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata MPC mungkin tidak dapat bersama-sama membantu petugas barisan hadapan lain seperti doktor, jururawat dan petugas keselamatan lain tetapi MPC mempunyai peranan berbeza tetapi amat mustahak.
“Sebagai agensi yang terlibat di dalam menggalakkan pertumbuhan produktiviti, MPC sentiasa berusaha dalam membantu rakyat Malaysia dan syarikat untuk terus kekal produktif,” katanya kepada SepatahDua(dot)My.
Menurut beliau, ada beberapa inisiatif serta program dijalankan oleh pihak MPC untuk memastikan pemilik perniagaan sentiasa produktif dengan memanfaatkan sepenuhnya pengguna teknologi digital melalui pelbagai platform internet.

Sebagai barisan hadapan produktiviti, pihak MPC juga mengambil langkah menyediakan khidmat nasihat secara maya seperti klinik kepada mereka yang bermasalah untuk mencari jalan penyelesaian untuk membantu mereka.
“Beberapa inisiatif dan program telah dijalankan oleh pihak MPC dalam usaha memastikan pemilik perniagaan sentiasa produktif memanfaatkan sepenuhnya pengguna teknologi digital, seperti siri perkongsian ilmu melalui Webinar dan Klinik Khidmat Nasihat Maya secara one-to-one bersama pemilik atau pengusaha perniagaan bagi mengenal pasti permasalahan yang dihadapi,” katanya.
MPC Bekerjasama Dengan Pihak Pemain Industri
Sebagai barisan hadapan, MPC sentiasa mengambil langkah bekerjasama dengan pemain industri sendiri melalui platform Nexus Produktiviti di bawah Malaysia Productivity Blueprint (MPB)
Abdul Latif berkata ada sembilan buah Nexus Produktiviti di bawah MPB yang merangkumi sektor ekonomi utama di Malaysia yang dilihat mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan produktiviti negara dan setiap Nexus diterajui oleh seorang pengerusi atau dikenali sebagai Champion daripada kumpulan penggiat industri berkenaan sendiri.
“Melalui platform Nexus Produktiviti ini, penggiat industri bersama-sama MPC berkongsi pandangan dan saranan dalam merangka pelan strategik bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” kata beliau.
Bagi beliau, kerjasama dari pihak industri dan kerajaan sangat penting dalam membantu kerajaan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh industri tersebut dan juga mencari jalan penyelesaian yang terbaik berdasarkan keperluan sektor atau industri tersebut.
Sektor Paling Terjejas Akibat Pandemik COVID-19
Akibat pandemik ini, setiap sektor ekonomi di Malaysia terjejas bahkan perkara sama turut berlaku di seluruh dunia.
Abdul Latif berkata apa yang penting ialah bagaimana kita akan menghadapi norma baharu pasca COVID-19 ini dan adakah masyarakat dan pihak industri sudah bersedia?
Beliau berkata mereka perlu menyesuaikan diri dalam menjalankan perniagaan dalam norma baharu dengan menggalakkan mesyuarat dan semua transaksi dilakukan secara atas talian atau secara maya sebagai satu kebiasaan baharu untuk mengelak penularan wabak ini.
“Semua pihak harus bersama-sama mematuhi semua garis panduan dan prosedur yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa selari dengan saranan kerajaan dalam mencegah penularan COVID-19,” ujarnya.
Tempoh Untuk Produktiviti Pulih
Bercakap dengan berapa lama tempoh untuk krisis ini kembali pulih, beliau berkata tiada siapa yang dapat membuat jangkaan sejauh mana atau selama mana sektor perniagaan dapat pulih kembali.
Walaubagaimanapun, beliau yakin dengan kerjasama kerajaan, industri dan rakyat dalam sesebuah negara, semua perniagaan akan dapat bangkit semula dalam masa terdekat.
“Sebagai contoh, sektor pelancongan sudah kembali beroperasi semula dengan SOP yang telah digariskan. Kerajaan menggalakkan pelancongan secara domestik bagi mengembangkan pendapatan dan ekonomi sektor pelancongan di seluruh negara.
“Setiap hujung minggu, kita dapat lihat pusat-pusat pelancongan utama sentiasa dibanjiri oleh pelancong domestik. Ini menunjukkan kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk memulihkan kembali ekonomi negara dengan berbelanja di dalam negara,” katanya.
Program dan Usaha Yang Dijalankan Oleh MPC Untuk Memperkasakan Produktiviti
Abdul Latif memaklumkan, pihak MPC melalui semua platform Nexus rancak menjalankan aktiviti atas talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini antaranya Siri Webinar, Klinik Khidmat Nasihat Maya, persidangan maya secara video dan pengalaman pelancongan maya melalui platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) serta penganjuran Sidang Kemuncak Maya TPN 2020 yang berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta.
“Hasil daripada sesi TPN Virtual Summit 2020 telah merumuskan strategi kehadapan bagi industri pelancongan seperti rajah di atas – TPN 5R, di mana program TPN Virtual Advisory Clinic (T-VAC) adalah strategi yang kelima (R5), iaitu kalibrasi semula industri (recalibrate the industry),” katanya.

Menurut beliau, selepas isu dan permasalahan penggiat industri dapat dikenal pasti dengan tepat, pihak TPN akan merangka program atau penyelesaian yang bersesuaian dan program pelancongan secara maya iaitu Malaysia Virtual Experience (MyVXp) adalah satu daripadanya.
Untuk kembali pulih, pihak pemain industri perlu berdisiplin.
“Pihak industri perlu disiplindalam pengurusan kewangan mereka, merancang simpanan tunai, mengkali model perniagaan mereka dan mempercepatkan penggunaan teknologi digital.
“Mereka harus cepat melakukan perubahan dan menggunakan kaedah pembayaran dalam talian untuk urus niaga perniagaan dan aplikasi pendigitalan lain untuk memastikan kecekapan dan produktiviti yang lebih baik dalam proses perniagaan mereka.
“Pemain industri perlu proaktif untuk mendapatkan sokongan agensi kerajaan dalam bentuk geran, bantuan dan insentif.
“Industri dan perniagaan harus peka terhadap insiatif dan program kerajaan yang bertujuan untuk memastikan pemulihan ekonomi negara berlaku dengan cepat,” katanya. – Sepatah Dua