October 3, 2023

Mesti Rasai Pengalaman Whitewater Rafting Dengan River Explorer Dan Tidur Dalam Khemah Di PUBG Camp, Gopeng

4 min read

Aktiviti merasai pengalaman pelancongan lasak atau adventure tourism semakin mendapat tempat dalam kalangan kita sekarang ini di serata seluruh negara Malaysia.

Kebanyakan aktiviti pelancongan lasak seperti mengembara dengan berjalan kaki (hiking), sukan lasak tali seperti Flying Fox, abseiling, aktiviti sukan lasak air seperti tubing (pelampung), Whitewater Rafting (sukan perahu arus deras), kayuhan kayak dan mendaki gunung dapat sambutan yang hebat.

Lokasi-lokasi hiking di mana-mana boleh dikatakan penuh dan meriah dengan orang ramai.

Sekarang ini, banyak orang yang buka pusat aktiviti pelancongan lasak dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai datang dan nikmati pengalaman lasak berkenaan.

BACA JUGA – Kembara Air Terjun Pelangi Lihat Keindahan Di Depan Mata Antara Tercantik Di Malaysia dan Mungkin Dunia

Negeri Perak, adalah antara tempat yang banyak lokasi seperti ini yang hampir setiap hujung minggu penuh dengan penggemar pelancongan lasak.

Satu daripada pusat yang ada di Perak ialah di Kampung Jahang, Gopeng iaitu River Explorer-PUBG Camp yang lokasinya terletak di tepi sungai Kampar.

Cara terbaik untuk menghabiskan masa di REX-PUBG Camp ialah dengan bermalam satu malam di tapak perkhemahan mereka dan cuba merasai dua aktiviti pelancongan lasak dengan mereka.

Pertama sekali, mereka ada pengiktirafan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) dari pihak Tourism Productivity Nexus (TPN) yang disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Lokasi REX-PUBG Camp Sediakan Aktiviti Adventure Tourism

Nama pun dah menarik, tak tengok lagi aktiviti yang disediakan. Nama pendek mereka ialah REX untuk River Explorer untuk kemudahan aktiviti pelancongan lasak dan PUBG Camp ialah nama lokasi mereka yang juga ada disediakan pengalaman perkhemahan bermalam di sana.

REX dimulakan oleh Shamsul Mokti yang berasal dari Sabah pada tahun 2015. Dia berasal dari daerah Tenom lokasi di mana terletaknya Sungai Padas yang popular untuk sukan Whitewater Rafting. Beliau mengusahakannya secara bersama dengan rakannya Nor Farhanna Mokhtar.

Shamsul Mokti atau Sam (kiri sekali) yang berasal dari Tenom, Sabah memulakan REX pada 2015 sebagai pusat untuk menyediakan kemudahan untuk orang ramai merasai, mencuba dan melakukan aktiviti pelancongan lasak khususnya Whitewater Rafting.
Pemilik dan Pengendali Bersama REX-PUBG Camp Nor Farhanna Mokhtar mampu mengendalikan pusat pelancongan lasak sebegini biarpun di usia muda dan berdepan pelbagai cabaran bersama dengan Sam.

Mereka menyediakan peluang untuk anda merasai aktiviti Abseiling Air Terjun, Teroka Gua Kandu dan Gua Tempurung, Jungle Trekking, Kayak, Whitewater Rafting, River Tubing dan kemudahan bermalam di PUBG Camp.

Petugas River Explorer (REX) menyiapkan perahu getah untuk aktiviti Whitewater Rafting di tepi Sungai Kampar. Penerangan lengkap turut diberikan kepada para pelanggan mereka sebelum aktiviti dimulakan.
Whitewater Rafting, satu pengalaman yang amat berharga yang anda perlu buat dan rasai.

Para petugas mereka mempunyai kelayakan pengiktirafan di bawah Sierra Rescue International (RRC Pro) dan akan sentiasa memastikan keselamatan anda.

REX-PUBG Camp Tidak Jauh Dari Susur Keluar Plaza Tol Gopeng

Lokasi REX-PUBG Camp terletak di satu kawasan yang tidak jauh dari Plaza Tol Gopeng dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan kawasannya luas, bersih serta redup kerana diteduhkan oleh ladang kelapa sawit yang luas.

Cara terbaik untuk menghabiskan masa di REX-PUBG Camp ialah dengan bermalam satu malam di tapak perkhemahan mereka dan cuba merasai dua aktiviti pelancongan lasak dengan mereka.

Lokasi perkhemahan di PUBG Camp, Kampung Jahang, Gopeng. Tapak atas simen yang bersih. Siap ada kerusi lagi untuk lepak ambil mood melihat pemandangan sungai.
Pemandangan kawasan Sungai Kampar dari tapak perkhemahan di PUBG Camp, Kampung Jahang, Gopeng.
Bila anda ada di tepi sungai ini, rasa dia memang layan habis guys!!

Aktiviti pertama yang patut dicuba ialah meneroka gua atau buat Abseiling Air Terjun. Aktiviti kedua selepas dah penat berpeluh-peluh tu ialah buat Whitewater Rafting di laluan sepanjang 7 kilometer menyusuri Sungai Kampar yang jernih dan bersih serta sejuk.

Bila anda mencuba aktiviti rafting ini, team REX turut menyediakan jurugambar di beberapa lokasi tertentu untuk merakamkan gambar anda ketika mencuba aktiviti berkenaan supaya boleh jadi kenangan kerana telah berjaya menjayakan aktiviti lasak.

Jangan risau, sebab sebelum bermula anda akan diberikan penerangan yang lengkap dan mereka akan pastikan anda faham perkara berkaitan keselamatan sebelum bermula melakukan aktiviti.

REX-PUBG Camp Amalkan Pematuhan SOP COVID-19

Ketika kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semua tempat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti amalan penjarakan fizikal, sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman dan kebersihan peralatan.

Tempat menyimpan peralatan seperti perahu getah, jaket keselamatan dan pendayung semua disusun teratur supaya proses mengambilnya mematuhi penjarakan fizikal.

Proses pematuhan SOP oleh REX-PUBG Camp, Gopeng ketika zaman pandemik COVID-19 sekarang.

Semua kelengkapan sentiasa selamat dan perahu getah juga sentiasa diperiksa untuk memastikan ia sentiasa bersedia untuk digunakan pada setiap masa.

Untuk anda dapatkan maklumat lanjut tentang REX-PUBG Camp, anda boleh tinjau laman Facebook mereka di “rexpubgcamp“.

REX-PUBG Camp sesuai untuk anda yang mahu pertama kali mencuba aktiviti sukan pelancongan lasak Whitewater Rafting ini. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *